Sunday 28 October 2012

Cinta Islamik VS Couple

Bismilahhirrahmanirrahim..



        Sudah menjadi lumrah kepada setiap insan yang fitrahnya ingin mencintai dan dicintai. Apatah lagi naluri remaja yang ingin meningkat ke alam dewasa sudah pasti ingin mengetahui apakah itu Cinta.

        Defenisi Cinta ialah satu perasaan positif yang diberikan kepada insan lain mahupun benda lainnya. Cinta adalah emosi dan kasih sayang yang kuat dan ketarikan peribadi. Pendapat lainnya, cinta adalah sebuah kegiatan atau aksi aktif yang dilakukan manusia terhadap objek lain berupa pengorbanan diri, empati, perhatian, kasih sayang, membantu, menuruti kehendak, patuh dan sanggup melakukan apa sahaja yang dikehendaki oleh objek tersebut. Namun cinta hakiki yang harus kita ketahui adalah kepada Rabb kita iaitu Allah S.W.T. Itulah cinta yang Maha Agung.

        InsyaAllah saya ingin berkongsi mengenai masalah couple dan Cinta Islamik yang makin berleluasa pada hari ini. Sebelum itu saya ingin berkongsi dahulu mengenai isu Cinta Islamik. Ini kerana saya merasa kita seharusnya lebih keras terhadap mereka yang dah tahu tapi masih lakukan juga berbanding yang jahil agama lalu mereka couple seperti budaya barat. Apakah itu cinta Islamik? Cinta Islamik merujuk kepada Insan yang ingin bercinta tetapi ingin menggunakan agama sebagai landasan percintaan mereka yang jelas haram disisi Islam. Antara ayat-ayat yang kerap diguna pakai oleh mereka ialah seperti:

"Saya cinta awak kerana Allah S.W.T."

"Kita bercinta tapi tak couple pun."

"Selamat pagi Cinta."

"Selamat pagi rindu."

        MasyaAllah beraninya mereka! Sudah terang lagi bersuluh hubungan yang tidak sah itu mereka menggunakan agama Allah sebagai alasan untuk menghalalkan perhubungan mereka.

Allah Berfirman: 
 "Dan janganlah kalian mendekati zina. Sesungguhnya zina adalah perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk." (Al Israa; 32) 

       Cuba lihat ayat Allah diatas. Allah menggunakan ayat "mendekati" bukan pula "lakukan". Ini oleh kerana Allah telah dahulu meletakkan 'awareness' kepada setiap insan agar lebih berhati-hati agar tidak terjerumus dalam kancah zina. Disini kita harus jelas memahami zina bukan sahaja apabila telah bertemunya dua khitan yakni bersetubuh secara haram. Namun setiap hajat yang belum halal terhadap pasangan adalah zina. Bertepatan dengan hadith Rasulullah S.A.W:

"Sesungguhnya Allah S.W.T  telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat, sedangkan faraj(kemaluan)hanya menuruti atau tidak menuruti."

       Selalunya mereka yang terkena sindrom Cinta Islamik ini adalah dari kalangan pelajar sekolah atau pelajar IPT yang cerdik pandai lagi soleh dan solehah. Namun kerana cinta yang menurut hawa nafsu akhirnya mereka terjebak juga. Kalau kita lihat pada hari ini di Universiti atau kolej Islam  sendiri tidak kurang ramainya 'berdating' di kafeteria mahupun di perpustakaan contohnya itu belum lagi Universiti atau kolej sekular.

      Ada juga dari kalangan mereka ini yang tahu menjaga kononnya ikhtilat di kampus atau disekolah. Namun apabila bertemu di Facebook, Twitter dan sebagainya bukan main lagi lagatnya. Kemana pergi ikhtilat yang dijaga itu? Mereka ini sering berbalas mesej, bergayut didalam telefon hingga ke pagi.

       Sungguh saya pelik, kononnya yang si teruna nak membimbing si dara. Si dara pula ingin berkongsi masalah, minta perhatian atau nasihat dari si teruna. Apabila subuh menjelang si teruna mahupun si dara kejutkan pasangannya dirikan solat. Apa salahnya kalau anda sertai Usrah? Ataupun menuntut ilmu agama melalui kuliah-kuliah agama, dengan rakan sejenis dan sebagainya. Sungguh alasan anda tidak munasabah jika dengan dia sahaja baru anda nak menuntut ilmu agama!

       Dewasa ini, penzinaan yang makin berleluasa juga hingga akhirnya menghasilkan anak luar nikah bukan sahaja dari kalangan remaja mahupun dewasa yang jahil mengenai agama namun mereka yang tahu mendalam mengenai Islam. Jangan terkejut jika ada wanita yang asalnya dari sekolah agama seperti MAAHAD ataupun Universiti/Kolej Islam yang mengandung anak luar nikah. Hingga terjadinya pembuangan bayi. Nauzubillah Min Zalik! Kesimpulannya yang sudah arif mengenai ilmu agama tidak menjamin apa-apa jika iman dan takwa mereka terhadap Allah S.W.T sangatlah lemah.

       Ada juga yang bertanya bagaimana bila dah bertunang? Jawapannya sama sahaja. Apabila kita bertunang itu tidak menjamin apa-apa kerana akad nikah yakni bernikah belum lagi dilaksanakan untuk menghalalkan hubungkan kita bersama pasangan kita insyaAllah.

       Bagi yang sudah terlanjur bercinta. Ayuh cepat-cepat bernikah. Jangan tunggu lagi takut sesuatu yang tidak diingini terjadi. Jangan beri alasan seperti "saya masih belajar", "duit tak cukup lagi" atau yang seumpanya dengannya. Jika macam tu jangan bercinta! Buat mereka yang merasa miskin harta yakinlah bahawa Allah yang melimpahkan kurniaan rezeki kepada kita. Bukankah Allah dah janji kepada kita bagi sesiapa yang bernikah maka Allah akan murahkan rezeki kita. Apa lagi kahwinlah! Oppss pastikan anda dah cukup merasa ingin bertanggungjawab dan cukup ilmu didada insyaAllah.

        Mengenai isu couple pula selalunya terjadi dikalangan remaja mahupun dewasa yang jahil mengenai ilmu agama. Bagi mereka bersentuhan, berpelukan, berciuman apatah lagi melakukan hubungan seks adalah perkara yang sangatlah biasa. Bergayut dan mesej siang malam tiada hentinya. Cinta berlandaskan hawa nafsu yang tiada kesudahannya hingga mendatangkan bala Allah S.W.T jika tidak segera bertaubat. Persoalannya apa bezanya couple dan Cinta Islamik? Bagi saya sama sahaja. Maka oleh itu haruslah kita jauhi perkara ini sama sekali. Sekali lagi saya mengingatkan buat mereka yang sudah terjebak agar segera bernikah. Semoga Allah merahmati kalian.

 Firman Allah S.W.T:
          "Dan wanita-wanita yang baik untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adlah untuk wanita-wanita yang baik (pula)." (An Nur ;26) 

         "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang bertakwa." ( Al Furqan ; 74)


Wallahu Waliyyut Taufiq.




     


Saturday 27 October 2012

Dunia Ini Ibarat Kapal Nakhoda

Bismillahirrahmanirrahim.



         InsyaAllah hari ini saya ingin berkongsi satu hadith yang sangat menarik buat para pembaca semua. Semoga post kali ini mampu memberi ibrah kepada kita semua dan meneguhkan hati kita sebagai seorang pendakwah dan khalifah Allah S.W.T di Bumi Sang Khaliq ini.

Sayyidina Nu'man Bin Basyir meriyawatkan bahawa RAsulullah S.A.W bersabda: "Perumpamaan orang yang mentaati perintah Allah dan orang yang melanggari perintah Allah adalah seumpama (orang-orang yang menaiki sebuah kapal yang besar) yang telah menetapkan tempat mereka secara undian. Sebahagian orang ada yang mendapat tempat di dek atas dan sebahagian lagi dibahagian bawah. Apabila orang-orang yang dibawah itu memerlukan air, mereka akan pergi ke atas lalu (berjalan) di celah-celah orang yang berada diatas. Orang-orang yang dibawah itu berfikir, jika kita melubangi bahagian kita (yakni bahagian bawah) ini (supaya kita tidak perlu pergi keatas sebaliknya dapat mengambil air terus dari lubang itu) dan kita tidak akan meyusahkan orang yang diatas (maka alangkah baiknya). Sekiranya orang-orang yang diatas membiarkan orang orang-orang yang dibawah dengan keadaan mereka itu dan tidak mencegah mereka daripada berpendapat sedemikian (dan mereka membuat lubang itu) maka mereka kesemuanya akan karam. JIka orang-orang yang yang diatas lubang itu memegang tangan-tangan orang-orang yang dibawah (menahan mereka daripada melubangi bahagian mereka) maka mereka sendiri serta semua penumpang yang lain akan selamat." (Hadith Bukhari)

       MasyaAllah sungguh cantik dan mudah cara perumpaan yang Rasulullah S.A.W sampaikan agar para sahabat dan kita pada hari ini mudah memahami maksud Baginda tadi. Dan sudah pasti apa yang Baginda sabdakan itu bersumber dari Allah. MasyaAllah sungguh hebat ilmu Allah. Allah Maha Agung!

       Pembaca sekalian, didunia ini sudah pasti Allah akan cipta pasangan masing-masing. Allah Maha Adil bukan? Islam dan Kafir, Suami dan Isteri, Kaya dan Miskin, Jahat dan Baik, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan seumpanya. Semuanya ada hikmah. Begitu juga pasti ada hamba yang taat dan yang tidak taat.

       Dalam hadith diatas tadi, dunia telah diumpamakan seperti sebuah kapal yang semua penumpangnya pasti saling terkesan dengan kesalahan penumpang yang lain. Penduduk seluruh dunia adalah seumpama satu kaum yang menumpang diatas sebuah kapal. Dalam kapal itu ada orang yang taat kepada Allah dan ada juga yang sebaliknya. Jika keadaan mereka yang tidak taat itu lebih berleluasa maka bukan sekadar orang-orang yang melakukan penderhakaan itu sahaja yang akan mendapat kesannya bahkan seluruh kaum didunia turut mendapat kesannya. Oleh sebab itu, untuk menyelamatkan kehidupan insan daripada kemusnahan maka sangat penting untuk kita selaku khalifah Allah ini mencegah penderhakaan terhadap Allah. Sekiranya tidak dilakukan sedemikian maka mungkin seluruh insaniah akan terperangkap dalam azab Allah. Bertepatan dengan satu hadith Rasulullah:

Sayyidina Zainab Binti Jahsy meriwayatkan bahawa beliau berkata kepada Rasulullah "Wahai Rasulullah, apakah mungkin kami akan binasa (diazab) sedangkan dalam kami masih ada orang-orang yang soleh?" Baginda menjawab, "Ya, apabila keburukan berleluasa." (Hadith Bukhari)

        Sebagai contoh ketika bencana Tsunami melanda Aceh suatu ketika dahulu. Aceh juga turut dikenali sebagai Serambi Mekkah tempat kelahiran Wali Songo yang ramai juga orang Soleh disitu sehingga hari ini. Tetapi disebakan penderhakaan terhadap Allah makin berleluasa maka bencana Tsunami telah menimpa di Bumi Aceh sehingga orang-orang soleh disana pasti terkena juga tempiasnya.

        Para pembaca sekalian, kita dilahirkan tidak sia-sia. Allah mencipta kita dengan satu tujuan. Iaitu sebagai hamba yang mengabdikan diri kepadaNya serta menjadi khalifahNya di muka Bumi ini yakni mengerjakan Amar Makruf Nahi Mungkar iaitu menegakkan kebenaran dan mencegah akan kemungkaran.

       Jadi tunggu apa lagi. Ayuh kita bergerak dengan satu tujuan iaitu mengislahkan Ummah masa kini yang telah lesu. Saya mengajak para pembaca sekalian dan diri saya sendiri agar menjadi Insan yang beriman serta bertakwa kepada Allah S.W.T. Ya, kita semua pendakwah. Si Pendosa yang mengajak manusia kearah kebaikan dan ingin meraih SyurgaNya InsyaAllah. Jom!!!







Monday 15 October 2012

Duhai Wanita #1


         Kali ini saya ingin berkongsi mengenai wanita. Satu isu yang mungkin sedikit sensitif .Saya mungkin bukanlah seorang yang arif mengenai wanita tapi InsyaAllah saya ingin berkongsi permasalahan mengenai isu wanita dan fitnah-fitnah yang timbul dari wanita era ini. Pendapat kita mungkin sangatlah berbeza dari segi penelitian dan hujah. Pendapat saya boleh jadi benar dan boleh jadi salah. Didalam konteks ini, saya hanya ingin berkongsi mengenai wanita Islam kerana untuk memasukkan sekali isu mengenai wanita bukan Islam memerlukan hujah dan pandangan yang lebih luas dan teliti. Pendapat saya ini jika benar ambillah sebagai ibrah namun jika salah sila tegur saya. Komentar anda sangatlah diperlukan dan amat saya hargai.Mungkin kita sudah sedia maklum mengenai satu hadith yang berbunyi:

 Rasulullah S.A.W bersabda, “Tidak aku tinggalkan fitnah yang lebih dahsyat selepas pemergianku melainkan fitnah wanita” (Hadith Bukhari)


         Adakah kita benar-benar faham mengenai hadith tersebut. Maksud baginda sangatlah mendalam. Dan hadith itu sudah pun terbukti kini. Saya sedar ramai wanita yang ‘terasa’ mengenai hadith tersebut namun saya akan cuba untuk terangkan mengenai maksud baginda tadi.

        Sebelum itu saya akan menghuraikan maksud fitnah yang sebenarnya. Fitnah bukanlah sekadar kita menuduh seseorang tanpa bukti dan saksi. Tapi maksud fitnah yang sebenarnya adalah kucar-kacir. Sudahkah hari ini dunia menjadi kucar-kacir? Ya sudah terbukti. Lihatlah sekeliling anda.

        Sebagai contoh maksud fitnah yakni kucar-kacir: "Ketika itu semua keluar untuk makan tengah hari dan tinggal anda seorang di dalam pejabat.  Didalam pejabat itu penuh dengan CCTV. Suatu ketika itu, barang seorang kakitangan telah hilang. CCTV telah membuktikan bahawa anda tidak mencuri.  Para saksi juga tiada bukti untuk menuduh anda. Tapi syak wasangka terhadap anda tetap ada dikalangan mereka. Dan itulah maksud sebenar fitnah. Kucar-kacirnya pemikiran mereka dan bersikap buruk sangka terhadap anda." Wallahualam.

        Antara fitnah-fitnah mengenai wanita pada masa kini bukanlah secara langsung diatas kehendak mereka sendiri namun kerana eksploitasi dan rancangan pihak tertentu dalam menjalankan agenda mereka bagi menggunakan kaum yang lemah dan mudah terpengaruh dengan hawa nafsu ini sebagai umpan mengkucar-kacirkan dunia.

        Fitnah-fitnah yang sudah mula tersebar luas kini seperti pertunjukkan fesyen muslimah. Masih gah dan angkuhnya segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab ini menggunakan terma ‘muslimah’ sedangkan pakaiannya langsung tidak menepati piawaian syarie. Lihat sahaja ketika pertunjukkan fesyen, bukan main tinggi lagi bonggol unta di kepala model yang dikatakan ‘muslimah’ itu. Pakaiannya juga ketat dan menunjukkan bentuk badan si pemakai.  Hanya kerana menggenakan tudung atau selendang maka ianya dikatakan pakaian muslimah tanpa memikirkan aspek lain berpakaian menutup aurat. Ini jelas satu kejahilan yang tidak boleh disangkal lagi.

       Iklan-iklan di televisyen, pengacara, duta sesuatu produk, artist-artist semuanya menggunakan wanita. Ini mampu menggugat dan menggoncang dunia bagi mereka yang benar-benar nampak dan sedar. Ramai wanita tidak sedar mereka telah dieksploitasi oleh pihak tertentu.

       Aurat wanita dan lelaki sedikit berlainan. Mereka bukan hanya wajib menutup aurat bahkan wajib untuk tidak menampakkan susuk badan mereka. Sedangkan lelaki hanya harus untuk tidak mendedahkan susuk tubuh mereka. Sebagai contoh: harus bagi lelaki memakai seluar jeans ‘skinny’ selagi cukup syarat menutup aurat sedangkan haram pula bagi wanita.


“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan(ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al Ahzab; 59)


    Rasullah S.A.W bersabda: “Dua golongan penghuni neraka yang mana aku sendiri belum pernah melihat keadaan mereka didunia iaitu golongan yang membawa cemeti seperti seekor lembu lalu menggunakannya untuk memukul manusia dan juga kaum wanita yang berpakaian seperti bertelanjang, menggoyangkan badan dan berlenggak-lenggok, kepala mereka ada suatu seperti bonggol di kepala unta yang bergoyang-goyang. Mereka tentu tidak akan memasuki syurga atau mencium baunya. (Hadith Muslim)



          Baiklah, jika wanita sendiri sahaja sudah terkena tempias fitnah tersebut apatah lagi lelaki bukan? Sebab itu baginda dah bersabda awal 1400 tahun dahulu seperti hadith pertama tadi. Fitnah seperti ini amatlah dahsyat buat lelaki yang nafsu utamanya hanya wanita. Sedangkan wanita nafsunya ada sembilan. Oleh itu tidak hairan jika kita lihat kini seorang lelaki yang gagah walau dia seorang cendikiawan, pemimpin hatta seorang raja mudah tersungkur jatuh hanya kerana seorang wanita.

           Ingin saya berkongsi satu travelog sepanjang di kampus tempat saya menuntut. Sudah dua tiga kali perkara ini berlaku kepada saya. Pada mulanya saya amat malu untuk berkongsi disini dan hentikan niat saya ini. Tapi jika ianya dapat menjadi ibrah dan kebaikan buat para saudari seIslam saya maka ianya tidak salah. Rasulullah S.A.W lebih malu dari seorang gadis pingitan namun baginda tidak malu dalam menyampaikan kebenaran hatta menyampakain mengenai permasalahan wanita. Kita semua harus mencontohinya.

            Selalu ketika saya berjalan di kaki lima di blok kolej setelah selesai kuliah. Lalu tidak jauh dari saya ada segelintir wanita tengah berborak. Sedia maklum yang diwajibkan menundukkan pandangan ketika ada mahram berdekatan. Saya berjalan seperti biasa memandang ke hadapan bagi memastikan perjalanan saya. Mereka ketika itu lima puluh meter dari saya. Lalu dengan tidak sengaja saya ternampak bentuk tubuh mereka.  Saya lantas mengalihkan pandangan. Astagfirullah! Kesan cahaya matahari telah ‘membogelkan’ mereka yakni pakaian yang mereka pakai menjadi ‘transparent’ ketika ada cahaya.

            Mereka ketika itu memakai baju kurung. Setelah dua tiga kali kes itu terjadi pada saya dan saya yakin pasti ada lagi ikhwah yang mengalami nasib sama seperti saya akhirnya saya sedar dan ingin buat satu konklusi bahwa para wanita harus teliti dalam memilih dan membeli baju kurung. Carilah kain yang bukan sekadar sejuk dan selesa dipakai tetapi juga sedikit tebal agar tidak mudah tembus dek cahaya. Ye sudah terbukti banyak baju kurung yang ‘mudah tembus’ ketika dibawah panahan cahaya matahari. Alhamdulillah mungkin mereka dah pakai serba lengkap bagi menutupi aurat mereka seperti memakai sarung kaki dan lengan namun mereka tidak sedar akhirnya mereka terbuka juga aurat mereka hasil ‘rakusnya’ mentari.

    Rasulullah S.A.W pernah memalingkan muka kerana Asma’ Binti Abu Bakar lalu didepan baginda dan memakai pakaian yang tipis hingga mudah tembus dan menampakkan tubuhnya. Lalu baginda bersabda: “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh maka tidak boleh baginya menampakkan ini dan ini. Yakni muka dan telapak tangannya. (Hadith Abu Dawud)  


             Cuba kita bayangkan jika perkara yang saya lalui tadi terjadi terhadap lelaki yang memang dah jelas penyakit didalam hatinya. Apakah perasaan mereka ketika itu? Apakah tidak bergelocak iman dan nafsu mereka? Saya rasa ketika itu sudah tidak perlu wanita yang dah memang berpakaian menjolok mata untuk menjadi penyebab ramainya kes rogol dan pemerkosaan kerana pemakaian wanita Islam sendiri yang tidak memakai pakaian menurut tuntutan syarie. Itulah maksud fitnah wanita yang cuba disampaikan Rasulullah S.A.W hingga mampu mengkucar-kacirkan dunia kerana telah ‘menggilakan’ para lelaki diluar sana.

Seorang Ulama’ terkemuka iaitu Sheikh Ali Tentawi pernah mengatakan: “Mata lelaki itu mampu membogelkan wanita yang dalam berpakaian lengkap.”


         Wallahualam Bissawab. Mari sama-sama renungkan dan muhasabah. InsyaAllah saya akan terus berkongsi mengenai isu yang sama mengenai wanita mengenai post yang akan datang nanti.





Sunday 14 October 2012

Mutarabbi #Bab 1


            Jam sudah menunjukkan pukul 5 petang. Lebih kurang dua jam lagi sebelum Qais pulang ke rumah. Qais kelihatan tekun mengemas buku-buku dari troli ke rak masing-masing. Perpustakaan Tan Sri Dato’ Seri Sanusi Junid di Kolej Islam Antarabangsa mula kelihatan lenggang dengan kelibat para pelajar. Qais terus mengerjakan tugasnya tanpa menghiraukan mata yang memandang.
         Qais seorang penuntut di Kolej Islam Antarabangsa dalam jurusan Diploma Pentadbiran Perniagaan. Dia kini di semester empat dan menuntut di tahun dua. Tinggal lebih kurang setahun setengah sebelum dia menamatkan pengajiannya di kolej itu dan bercita-cita melanjutkan pelajaran pula di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Qais juga berkerja sebagai pekerja separuh masa di perpustakaan kolej tersebut.
          Setiap kali sesi kuliahnya selesai. Dia akan bergegas ke perpustakaan untuk mula bekerja. Begitulah rutin harian Qais di kolej. Kerap kali sahabat Qais menemaninya di perpustakaan. Salam dan Bakriy juga penuntut dalam jurusan yang sama dengan Qais. Boleh dikatakan dari semester pertama lagi mereka tidak pernah berenggang. Persahabatan mereka bagai aur dengan tebing. Bila tiba waktu mendaftar mata pelajaran untuk semester baru mereka pasti berusaha untuk mendapatkan kelas yang sama.
        Separuh dari warga kolej mengelar mereka ‘Bujang Lapuk’. Mana tidaknya, kemana sahaja pasti bertiga. Ibarat filem lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham Sudin dan Dato’ Aziz Satar didalam filem Bujang Lapuk. Sungguh epik filem tersebut. Kisah tiga sahabat yang ingin menuntut ilmu persilatan.
 “Salam…Bakriy…kamu semua tak balik lagi ke? Aku hari ini pulang naik bas. Korang pulanglah dulu ye. Tak perlu tunggu aku”, Qais menegur sahabatnya yang sedang khusyuk menelaah buku.
“Err..baiklah jikalau begitu. Kami pulang dulu Qais. Kau hati-hati ye, kata Bakriy.”
        Di suatu sudut di dalam perpustakaan itu ada meja yang bertentangan dengan tingkap. Seorang gadis sedang sibuk menaip sesuatu didalam laptopnya di meja itu. Jarang sekali dia menoleh ke kiri dan kanan. Sentiasa fokus dengan kerjanya.
        Gadis itu kerap memakai jubah dan jilbab serba hitam. Jilbabnya labuh hingga ke paras pinggang. Dia juga turut mengenakan sehelai purdah bagi menutupi mukanya. Hanya mata dan dahinya kelihatan.
        Sudah lama Qais memerhatikan gadis tersebut. Semenjak Qais mula bekerja di perpustakaan di semester  tiga. Sering kali Qais pulang ke rumah dalam pukul tujuh malam namun gadis itu belum juga pulang ke rumah. Perpustakaan akan tutup dalam pukul lapan malam. Selalunya hanya tinggal seorang librarian iaitu Abang Noah bertugas di kaunter pertanyaan sedangkan gadis itu pula di meja tersebut.
        Kadang-kadang timbul rasa risau dihati Qais mengenai gadis itu. Apa tidaknya hari sudah lewat malam maka sudah sepatutnya gadis itu berada dirumah. Qais terfikir bahawa kolej terletak dekat dengan kawasan kilang dan laluan diluar kolej terlalu gelap apabila menjelang malam kerana lampu pejalan kaki di sekitar jalan ditutupi oleh pokok-pokok yang tebal. "Bukankah ianya amat bahaya buat gadis seperti itu", desis hatinya.
         Apatah lagi gadis seperti itu yang berpakaian mengikuti sunnah Ummul Mukminin. Bagi Qais, dia sepatutnya sedar akan hal itu dan lebih memahami akan perkara itu berbanding gadis-gadis biasa diluar sana. Ada juga terlintas dihati Qais untuk menegur gadis itu tapi selalu tidak kesampaian kerana sifat Qais yang sangat pemalu.   
        Setelah selesai tugas Qais jam juga tepat menunjukkan pukul tujuh malam. Qais bergegas ke bilik Chief Librarian iaitu Abang Arif untuk punch card keluar. 
       Hari itu Qais pulang dengan kelegaan dan merasa puas kerana dapat selesaikan tugasnya dengan sempurna. Perpustakaan kelihatan kemas dan bersih hasil kerajinan Qais. Qais juga pulang dengan sedikit hampa memikirkan nasib gadis itu. Terdetik dihatinya lalu mendoakan agar Allah melindungi gadis itu dari mara bahaya.

Thursday 11 October 2012

Ikhlaskan Dirimu Kerana Allah...

        



         Assalamualaikum. Apa khabar iman kita hari ini? Makin meningkatkah ketakwaan kita hari ini atau masih statik seperti semalam tanpa peningkatan? Ayuh orang-orang yang dirindu syurga, kita terus memperbaiki diri dan menjadi insan yang lebih baik dari semalam. Jangan lupa mari kita sama-sama berselawat ke atas Rasulullah S.A.W. Sollualannabi!

        InsyaAllah hari ini saya ingin berkongsi satu Hadith Qudsi yang sangat menarik.  Bak kata orang-orang sekarang. Ohsem! Sebelum itu dah berapa banyak ibadat yang kita lakukan hari ini? Adakah semata-semata kerana Allah? Ayuh pembaca sekalian, jom baca hadith dibawah:

        Abu Hurairah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Mula-mula manusia yang akan diadili pada hari kiamat ialah seseorang yang gugur dalam peperangan. Dia didatangkan, lalu Allah memperlihatkan nikmat yang telah Allah berikan kepadanya semasa didunia sehingga dia melihatnya. Allah bertanya: 'Apakah yang telah kamu buat ke atas nikmat-nikmat tersebut?' Dia menjawab: 'Aku berperang di jalanMu sehingga aku gugur syahid.' Allah berfirman: 'Kamu berdusta, sebaliknya kamu berperang supaya kamu digelar seorang yang berani dan gelaran itu telah diberikan.' Kemudian diperintahkan supaya wajahnya diseret dan dilemparkan kedalam neraka.' 
        "Lalu seorang yang belajar ilmu dan mengajarkannya serta membaca Al Quran didatangkan, lalu Allah memperlihatkan nikmatNya yang telah diberikan kepadanya sehingga dia ditanya: 'Apakah yang telah kamu buat atas nikmat-nikmat tersebut? Dia menjawab: 'Aku belajar ilmu serta mengajarkannya dan aku membaca Al Quran keranaMu.' Allah berfirman: 'Kamu berdusta, sebaliknya kamu belajar ilmu supaya disebut sebagai seorang yang alim dan kamu membaca Al Quran supaya disebut sebagai qari. Dan gelaran tersebut telah diberikan.' Kemudian diperintahkan supaya wajahnya diseret dan dilemparkan kedalam neraka.' 
        "Kemudian orang yang Allah luaskan dan kurniakan kepadanya berbagai-bagai jenis harta seluruhnya, dia didatangkan kepada Allah lalu diperlihatkan nikmatNya yang telah diberikan kepadanya sehingga dia melihatnya, Allah bertanya: ' Apa yang yang telah kamu buat dengan nikmat-nikmat tersebut?' Dia menjawab: ' Aku tidak meninggalkan satu jalan yang engkau sukai supaya bersedekah keranaMu.' allah berfirma: 'Kamu berdusta, tetapi kamu melakukannya supaya disebut sebagai dermawan, dan gelaran tersebut telah diberikan.' Kemudian diperintahkan supaya wajahnya diseret dan dilemparkan kedalam neraka."   (Riwayat Muslim dan al-Nasa'i)

        Bagaimana setelah membaca hadith diatas? Mari kita sama-sama muhasabah diri. Sungguh tiada siapa pun mampu menilai keikhlasan kita melainkan Allah. Sesungguhnya keikhlasan itu adalah hak Allah yang apabila kita beribadat lakukanlah sepenuhnya hanya keranaNya bukan kerana yang selain dariNya. Jangan lupa bahawa tiada sekutu bagi Allah.

         Keikhlasan itu hadir dari hati yang tawadduk dan memurnikan tujuan bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah dari sesuatu yang mampu mengotorinya. Ikhlas adalah salah satu pilar terpenting dalam Islam. Ini oleh kerana ikhlas adalah salah satu syarat ibadah kita diterima oleh Allah. Ikhlas juga melahirkan kekhusyukan dalam melaksanakan ibadah  terutamanya tiang agama kita iaitu solat.

    Amalan seseorang  yang berbuat riya' (tidak ikhlas), itu adalah amalan batil yang tidak berpahala apa-apa, bahkan ia akan mendapatkan dosa (Syarh Muslim 9/370, Imam An Nawawi)

"Katakanlah, sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama" (Az Zumar; 11)

         Keikhlasan juga seiring dengan niat. Ini kerana setiap ibadat itu bermula dengan persoalan untuk apa kita kerjakan ibadat tersebut. Niat semata-mata kerana Allah maka keikhlasan itu akan lahir dengan sendirinya.

"Amalan yang dilakukan tanpa disertai dengan ikhlas dan tanpa mengikuti tuntutan Rasulullah S.A.W bagaikan seorang musafir yang membawa bekal berisi beras . Bekal itu hanya memberatkan tapi tidak memberi manfaat apa-apa." (Ibnu Qayyim dalam kitab Al Fawaid)

           Wallahu Waliyyut Taufiq

Monday 8 October 2012

100% Bergantung Pada Allah..

        



        Era khalifah Umayyah telah berlangsung selama lebih kurang 90 tahun (661m - 750). Bani Umayyah telah mewarisi kepimpinan Islam daripada Khulafa Ar Rasyidin yang empat. Ketika era ini, syiar Islam terus tersebar luas hingga ke Timur. Perluasan Afrika Utara dan Asia Tengah. Pembukaan kota Sepanyol dan India. Juga perluasan ke Nimes, Perancis. Satu kejayaan besar dalam sejarah Islam.
        
        Zaman Bani Umayyah telah melahirkan khalifah-khalifah yang hebat. Antara khalifah yang amat saya kagumi adalah Khalifah Umar Abdul Aziz. Kewarakan dan kezuhudan beliau tidak dapat disangkal lagi. Saya pasti ramai yang sudah tahu kisah-kisah beliau yang mampu memberikan ibrah dan muhasabah kepada diri kita. Salah satu doa beliau yang sungguh menyentuh relung hati saya ialah:

Ya Allah, janganlah Engkau biarkan aku sendiri dalam menguruskan urusanku kerna sungguh aku tidak mampu. Dan jangan pula Engkau letakkan urusanku sepenuhnya pada manusia kerna sesungguhnya mereka akan mempersia-siakan ku. Sesungguhnya aku letakkan segala urusan ku sepenuhnya disisi Mu. Kau yang Maha Mengetahui dan Maha Pemberi yang terbaik.
        
    Sungguh puitis doa beliau. Doa itu menunjukkan betapa saling dekatnya beliau dengan Allah dan meletakkan sepenuhnya pengharapan beliau kepada Allah tanpa sedikit pun menyekutukanNya. Rintihan dalam menyedari betapa lemah dan kerdilnya diri kita ini yang tidak mampu serta tiada daya upaya dalam melakukan satu apa pun tanpa bantuan dariNya. Sedar betapa tiada satu pun makhluk dimuka Bumi ini lebih-lebih lagi manusia yang mampu membantu kita selain kalau menjadi perantaraan atau terus dariNya.

       Wahai orang-orang yang dirindu Syurga! Berhati-hatilah kita. Sungguh kadang-kadang tanpa kita sedari telah pun menyekutukan Allah. Sedarkah kita salah satu dosa besar ialah menyekutukan Allah? Namun sedar tidak sedar kita tersungkur dan akhirnya kita lakukan juga. Nauzubillah Minzalik. 

         Sebagai contoh yang pertama, kita telah dilanda ujian dengan diberikan kesusahan yang datang dari pelbagai rupa. Kita berdoa kepada Allah tapi kita lebih menaruh harapan kepada manusia untuk datang membantu. Sungguh itu telah menyekutukan Allah.

           Contoh kedua, apabila kita dikurniakan sesuatu yang datangnya dari tangan manusia kita terus lupa bahawa pemberian itu sebenarnya dari Allah. Kita lupa yang manusia itu hanya menjadi perantaraan Allah untuk membantu kita. Maka kita telah jatuh menyekutukan Allah.

            Mungkin kita sedar bahawa untuk berharap kepada diri sendiri memang kita tidak mampu.  Namun selalu kita lupa, manisnya doa dan menjadi lafaz yang bukannya datang dari hati yang kukuh jati. Hari-hari kita berdoa agar dikeluarkan dari segala kesulitan dan kepayahan namun kita telah dahulu berharap kepada yang selain Allah dalam menyelesaikan masalah kita. Betapa cemburunya Allah!

Katakanlah: Allah jualah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala jenis kesusahan; dalam pada itu, kamu (masih) mempersekutukan ( Allah dengan sesuatu yang lain). (Surah Al An'aam; 64)

           Wahai penduduk Syurga! Marilah kita sama-sama muhasabah diri. Cemburu Allah itu lebih dari pasangan yang mempunyai rasa cinta. Lupakah kita yang Dia itu 'Maha'? Selalu bila masalah melanda, kita cepat-cepat mencari manusia untuk meluahkan segala rasa. Lupakah kita yang mereka itu juga manusia yang lemah dan mempunyai pelbagai masalah yang mungkin tidak terungkap? Sejadah yang lusuh dipenjuru bilik itu lebih baik buat kita untuk bertemu Allah bagi meluahkan segalanya. Dan selalu pula kita lupa apabila dikurniakan sesuatu yang datangnya dari tangan manusia maka kita telah lupa bahawa pemberian itu tidak bukan datangnya dari Allah semata? Ayuh buka hati kita seluas-luasnya. Letaklah sepenuh pengharapan kepada Allah. 100 peratus penuh. InsyaAllah Dia akan permudahkan segalanya.

             Wallahu Walliyut Taufiq
              

Tuesday 2 October 2012

Wahai Seorang Kekasih...


Nazrey Johani- Wahai Kekasih

Wahai seorang kekasih,
Telah lama engkau dirindui,
Pilu sedih dalam kerinduan,
Menangis pun tak berair mata,
Namun hati tetap gembira,
Syafaatmu menanti disana,

Sungguh tabahnya hatimu,
Menanggung derita yang melanda,
Biarpun perit pedih tersiksa,
Kerana UMAT kau tempuhi jua,

Wahai Rasul,
Kaulah segalanya,
Contoh terbaik,
UMAT AKHIR ZAMAN!,
Akhlak mu tinggi,
Akan kami jejaki,
Sifatmu sempurna pelengkap peribadi,

Wahai Rasul,
Kami merindui,
Sinaran wajahmu,
Mendamaikan jiwa,
Manis senyum mu penawar hiba,
Di hati kami kaulah segalanya.

        Teringat kali pertama tengok video diatas semasa program mini 3R di Surau Al Izzah, Taman Samudra, Gombak ketika Ramadhan beberapa bulan lepas. Sungguh saya tertarik dengan musik latar belakang video diatas tersebut. Syahdu dan tenang lagunya. Bait-bait lirik yang menyentuh rohani. Lagu mengenai manusia teragung yakni Rasulullah S.A.W. Sungguh ego lelaki ini tidak mampu menahan air mata yang mengalir dihadapan adik-adik peserta mengenangkan baginda dan suasana diakhirat kelak.

           Pembaca yang dikasihi sekalian, beberapa kali agaknya kita ingat pada Rasulullah untuk hari ini sahaja? Berapa banyak kita bersalawat keatas baginda? Itu tidak kira selawat yang ada didalam solat. Atau mungkin kita terlalu sibuk menuntut ilmu dan bekerja? Kononnya ingin menjadi Insan yang berjaya di dunia? Memiliki kehidupan yang selesa dengan mengejar dunia semata? Memiliki Serikandi yang cantik lagi solehah? Memiliki Pahlawan Allah lagi soleh? Persoalannya pula, beberapa kali kita ingat tentang kematian pada hari ini? Berapa banyak pula usaha kita hari ini untuk tegakkan agama Allah S.W.T?

           Adakah kita semua ingat ketika ajal Rasulullah semakin dekat menjemput tiba. Baginda tiada hentinya menyebut UMATKU! UMATKU!. Cukuplah saksi utama Aisyah r.a dan Para Malaikat yang ada disitu ketika itu. Betapa sayang dan cintanya Rasulullah kepada kita. Walau baginda tidak kenal siapa pun kita sebenarnya yang hidup sesudahnya.

            Pembaca sekalian, tiada hentinya Rasulullah S.A.W menangis di padang mahsyar nanti. Sesetengah riwayat mengatakan hingga kering air mata baginda. Adakah kita tahu sebab mengapa? Jikalau kerana akan ada dari umatnya yang menjadi Penzina, Pembunuh, Pemakan Riba, Makan Harta Anak Yatim dan dosa-dosa yang seumpanya tidaklah baginda menangis hingga kering air matanya sebab itu semata-mata. Ini oleh kerana baginda sudah pun tahu memang akan ramai Umatnya yang bakal jadi sebegitu diatas dosa dan kelalaian mereka sendiri. Cuma baginda menangis kerana dia tahu dari kalangan Umatnya, tiada satu pun yang mampu menahan siksaan Allah S.W.T di akhirat kelak. Baginda sedar betapa murkanya Allah ketika itu. Azab api siksaan yang amatlah pedih yang kita tidak akan mampu menerima walaupun sesaat. Hingga Rasulullah berdoa agar kesemua Umatnya dimasukkan kedalam Syurga bersamanya.

        Adakah pembaca tahu mengenai kisah Rasulullah yang sudah tahu akan kematian kedua cucu kesayangannya sesudah wafatnya baginda? Baginda menceritakan mengenai perkara itu kepada Fatimah r.a hingga puteri kesayangan baginda itu menangis. Namun Rasulullah sanggup menyimpan syafaatnya hingga akhirat kelak buat Umatnya walaupun baginda boleh sahaja menggunakan syafaatnya itu untuk menyelamatkan kedua-dua cucunya dari dibunuh kejam.

             Lihatlah betapa besarnya kasih dan sayangnya Rasulullah kepada kita. Baginda lebih mementingkan  Umatnya berbanding dirinya sendiri. Tidak dapat saya bayangkan suasana di padang mahsyar yang amat menggerunkan ketika itu. Hanya Rahmat Allah dan Syafaat Rasulullah yang mampu menjaga kita ketika itu. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang-orang soleh yang dijanjikan nikmat Syurga kelak.

           Wallahu Waliyyut Taufiq