Friday 16 November 2012

Hijrah Diri

           Hari ini merupakan Jumaat pertama dalam tahun hijrah yang baru iaitu tahun yang ke 1434. Teringat tajuk khutbah sebentar tadi di Masjid Kampung Baru iaitu "Hijrah Diri". Alhamdulillah khutbah tersebut banyak memberikan ilmu serta motivasi yang bermanfaat buat saya. 

        Definisi hijrah mempunyai makna yang sangat luas. Tahun hijrah diambil sempena  hijrahnya Rasulullah S.A.W dan kaum Mujahirin ke Madinah dari Makkah setelah mendapat perintah dari Allah S.W.T. Tahun hijrah mula diguna pakai ketika zaman kekhalifahan Saidina Umar Al Khattab kerana ketika itu Islam belum ada tarikh yang khusus untuk diguna pakai sebagai tarikh dan sejarah seharian. Tidak dinafikan hijrah mengandungi hikmah yang sangat luas. Rasulullah S.A.W bersabda:

"Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan Makkah), tetapi jihad dan niat. Dan apabila kamu dikerah untuk pergi berjuang, maka segeralah menyahutnya!" (Riwayat Bukhari & Muslim)

         Saya pasti para pembaca yang dirahmati Allah sekalian mempunyai azam dan target-target baru yang ingin dicapai sempena Maal Hijrah tahun ini. Menjadi seorang muslim yang lebih berjaya di masa hadapan InsyaAllah. Dari entry ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat bermujahadah kepada para pembaca agar menjadi insan yang lebih sukses di masa hadapan insyaAllah.  

         Saya masih ingat ketika pertama kali mendapat Hidayah dan Taufiq dari Allah S.W.T di kem PLKN dulu. Memang payah pada mulanya tetapi hasilnya pada hari ini sungguh tidak mampu terkata oleh lisan apatah lagi nak ditaip didalam entry ini. ALHAMDULILLAH. Bagi saya itu merupakan hijrah yang pertama buat saya. Sesiapa yang ingin berhijrah tidak semestinya kena menunggu masa Maal Hijrah bukan? Sungguh hijrah memerlukan pengorbanan yang sangat besar mungkin juga mengambil masa yang sedikit lama. Kesabaran dan kesungguhan amat diperlukan bagi sesiapa yang ingin berhijrah.

          Kemuncak dari apa yang ingin saya kongsikan dalam entry ini ialah cadangan saya buat para pembaca supaya buat senarai-senarai apa yang ingin anda hijrahkan sepanjang tahun ini. Dibawah ini merupakan contoh juga senarai hijrah saya sendiri. Kelihatan bersahaja dan biasa. Mungkin anda lebih kreatif untuk menghasilkan satu senarai hijrah yang lebih 'trendy' dan menarik supaya anda sendiri lebih bersemangat untuk bermujahadah bersama-sama saya. Saya akan lekat senarai ini didepan meja belajar saya. Semoga anda juga insyaAllah. Doakan saya agar mampu bermujahadah untuk melaksanakan segala yang telah saya senaraikan dalam kertas senarai hijrah saya tersebut. JazakAllahu Khairan Katsira.


                
         "Dan barangsiapa berhijrah dijalan Allah, niscaya mereka akan mendapatkan di bumi ini tempat hijrah yang luas dan (rezeki) yang banyak. Barang siapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kerana Allah dan RasulNya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh, pahalanya telah ditetapkan di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (An Nisa': 100)

Monday 12 November 2012

La Tahzan...Ada Yang Lebih Berat Ujiannya

        Pada hari Sabtu dan Ahad iaitu pada 10 dan 11 November lepas telah diadakan program Keindahan Bersama Mu khas untuk pelajar IPT (KBM-IPT) di Sabak Bernam, Selangor. Saya telah menjadi salah seorang Fasilitator bagi menjayakan program tersebut. Alhamdulillah program berjalan dengan lancar. Orang-orang di Sabak Bernam pun boleh tahan ramahnya. Saya juga berpeluang merasa Nasi Ambeng khas masakan orang Jawa disana. 

        Para peserta pada kali ini merupakan pelajar tahun akhir Bachelor Of Geomatics di UiTM Shah Alam. Tinggal lebih kurang 2bulan lagi sebelum mereka menamatkan pengajian. Boleh dikatakan semuanya tengah mengerahkan otak dan tengah sibuk bagi menyiapkan Thesis masing-masing ketika mengikuti program. Sebelum itu saya ingin memohon maaf kepada para peserta jika anda terbaca entry ini kerana saya telah merahsiakan umur saya pada mulanya sepanjang program bagi menjaga komunikasi dua hala agar tidak terjejas oleh kerana dek faktor umur yang lebih muda dari anda semua.

         Tujuan saya menulis entry kali ini adalah oleh kerana saya terkesan dengan satu pertanyaan salah seorang peserta lelaki kepada Ummi Ida ketika mengendalikan program bagi slot terakhir iaitu Slot Hijrah. Juga bertepatan dengan Maal Hijrah yang bakal tiba tidak lama lagi. Sebelum itu saya telah diminta untuk berkongsi mengenai kisah saya seperti yang pernah saya ceritakan di entry sebelum ini. Mungkin ianya menjadi asbab buat lelaki itu untuk kuat bagi meluahkan segala isi hatinya.

http://nickozulkarnain93.blogspot.com/2012/11/manisnya-hidayahakhirnya-aku-berubah.html

          Luahan lelaki itu berbunyi seperti ini(Diolah sedikit bagi memudahkan pembaca memahaminya):

"Ummi Ida, bagaimana caranya bagi saya menangkis tohmahan serta sindiran yang dikenakan terhadap diri saya diatas kerelaan dan ketekadan saya ingin berubah. Apa yang paling saya sedih adalah kerana mereka yang kuat memerli saya adalah dari kalangan adik-beradik saya sendiri. IbuBapa saya boleh juga dikatakan baik dari segi agama. Mereka ada juga solat Dhuha, solat malam dan sebagainya. Tetapi adik-beradik saya pula sebaliknya. Saya sangat sedih (sambil menangis) sebab kakak saya yang 'free-hair' diluar rumah. Pakaiannya tidak menutup aurat. Mereka semua tidak solat dan gaya hidup serta sosial yang tidak sihat. Dulu saya juga selalu lepak dengan mereka yang jahil dan tidak mementingkan tuntutan agama tapi kini saya memang nak berubah."

          Suasana menjadi haru sebentar. Ummi Ida terus memberi kata-kata perangsang serta nasihat yang berguna buat lelaki itu. Alhamdulillah saya juga berkesempatan diberi keizinan oleh Ummi Ida memberi kata-kata semangat kepada lelaki itu serta yang lain agar terus tabah serta kuat dalam melalui dugaan yang diberikan oleh Allah S.W.T. InsyaAllah mari kita sama-sama doakan agar lelaki itu menjadi Muslim yang Soleh serta keluarganya jua.

         Seperti yang saya tulis didalam entry sebelum ini, mama saya seorang Christian yang 'converted' kepada Islam. Tapi yang sedihnya tiada yang membimbing dia setelah itu. Mama dan Papa saya telah berpisah semenjak saya didalam kandungan lagi. Sehingga hari ini mama saya merupakan IBU TUNGGAL. Saya tinggal bersama ibu dan abang saya. Ye mama saya juga 'free-hair' seperti kakak lelaki yang saya ceritakan diatas tadi. Setelah saya dapat Hidayah yang Allah berikan ini, saya merasa tanggungjawab untuk membawa mama dan abang saya pula kembali kepada fitrah Islam yang sebenarnya. Menukar mentaliti Sekularisma mereka kepada Islam yang hakiki. Saya juga teringin melihat mama saya mengenakan tudung labuh seperti ibu sahabat sahibah saya diluar sana. Alhamdulillah mama saya kini telah mengalami Monopaus maka dia tidak diwajibkan memakai tudung lagi. Tapi apa salahnya jika dia ditakdirkan untuk pulang kepada Penciptanya lebih awal dari saya, maka sebelum itu saya berusaha agar dia berkesempatan  merasa manisnya mengenakan tudung bukan? Itu cita-cita saya.

         Ada ibubapa yang soleh tetapi anak-anaknya jauh dari jalan Islam yang sebenarnya. Ada pula anak-anak yang ingin dibawah naungan Islam yang sebenarnya tetapi ibubapanya pula atau mungkin keseluruhan keluarganya jauh dari landasan Islam. Yang mungkin beruntung ialah dia dan keluarganya sedia soleh. Namun ada pula mungkin ujian yang lain buat mereka. Mungkin kita yang kedua itu atau lebih tepatnya saya. Itulah ujian Allah buat kita. Sesuai dengan firmannya: 

"Dan kami tidak mengutus rasul-rasul sebelummu (Muhammad), melainkan mereka pasti makan makanan dan berjalan di pasar-pasar. Dan Kami jadikan sebahagian kamu sebagai cubaan bagi sebahagian yang lain. Maukah kamu bersabar? Dan Tuhanmu Maha Melihat." (Al Furqan; 20)

         Bagi saya, mama saya adalah Ma'du (orang yang disantuni) yang saya merasa bertanggungjawab untuk bawa dia kembali kepada landasan yang sebenarnya. Siapa lagi yang boleh bimbing dia jika bukan saya? Dia tiada suami yang boleh menjaga dan membimbing dia. Jadi saya merasa tanggungjawab untuk itu. Saya tidak merasa semua itu sebagai satu masalah melainkan satu ruang dan peluang untuk saya menjalankan misi dakwah selaku seorang Da'i di muka Bumi ini serta menggerakkan diri saya agar terus memperbaiki diri menjadi insan yang baik. Bukankah kita dijadikan sebagai Khalifah?

        Saya juga tidak merasa kesorangan kerana bukan saya sahaja yang lalui ujian seperti ini. Para pembaca juga boleh jadi ada yang seperti saya. Bapa Nabi Ibrahim sendiri memusuhi nabi malah bapanya pengukir berhala. Bapa saudara Rasulullah S.A.W juga ketika meninggal tidak sempat memeluk Islam dan terus mati dalam kekafiran bukan? Allah sahaja yang mampu memberi Hidayah.

        Saya memahami perasaan peserta lelaki yang ada diatas tadi. Mungkin oleh kerana situasi dan ujian saya dekat sama dengan dirinya. Tapi saya sentiasa berpegang dengan satu prinsip dimana Allah tidak akan menguji para hambaNya melainkan mengikut kemampuan hambaNya masin-masing. Ya kita patutnya merasa bersyukur kerana kita sebenarnya mampu dan kuat untuk melalui ujian ini. Hanya kita yang pilih jalan penyelesaiannya harus bagaimana. Minta supaya Allah supaya sentiasa bersama.

        Saya pernah ada seorang kawan pada peringkat menengah dahulu. Dia datang dari keluarga yang sangat berada. Pernah suatu hari tu dia merajuk dengan ibunya hanya oleh kerana tidak dapat RM100 ringgit untuk 'hang-out' bersama rakannya pada hujung minggu. Dia lari dari rumah dekat seminggu. Dia merasa sangat tertekan ketika itu. Baginya itu adalah masalah yang sangat besar. Mungkin dah biasa dengan dunia kesenangan dan permintaannya dipenuhi. Yang saya terkejut dia melayan ganja bagi menghilangkan perasaan kacau bilaunya itu. 

          Mulai hari ini, seharusnya kita sedar apabila kita merasa ujian yang kita lalui ini sangat berat untuk ditempuh maka ingatlah ada lagi insan-insan lain yang jauh lebih berat ujianNya. Namun mereka tetap tabah dan sabar melalui semua itu. Ujian Para Nabi apatah lagi. Cuba semak kembali Sirah Para Nabi agar kita lebih bersyukur dan sekurang-kurangnya kita tidak bersedih hati.

        Pada hari ini, lihat juga di Palestin, Burma dan Syria contohnya. Saban hari mereka hidup dalam ketakutan. Perang dimana-mana. Bila-bila masa sahaja jiwa boleh melayang. Kalau di Syria sekarang ini mungkin mereka nak ke masjid pun takut diatas keganasan musuh-musuh Allah. Didalam masjid pun mereka sanggup membunuh. Yang anak kecil ditembak dikepala, lelaki dewasa dikelar lehermya dan wanita pula tiada hentinya diperkosa. Lebih berat bukan ujian mereka? Namun mereka tetap kuat. Kenapa tidak kita? Jadi tiada alasan lagi untuk kita terus lemah tidak bermaya. Ini masanya untuk kita bangkit!

        Bagi mereka yang mungkin senasib dengan lelaki yang saya ceritakan tadi atau mungkin lebih kurang sama ujian anda dengan saya. La Tahzan, inilah mungkin saatnya anda terus perbaiki diri. Sentiasa siapkan diri anda dalam keadaan yang baik. Antara tips yang ingin saya kongsikan untuk tarik keluarga anda kembali kepada jalan Allah seperti:

  • Bila masuk waktu solat ajak-ajaklah mereka ke masjid untuk solat bersama.
  • Anda juga boleh solat diruang terbuka agar mereka tertarik untuk mencontohi anda.
  • Baca Al Quran berdekatan dengan mereka agar mereka tertarik. Salangkan Saidina Umar sendiri masuk Islam hanya kerana terdengar bacaan Surah Taha bukan?
  • Tunjuk akhlak yang baik dan tunjuk serta praktik Sunnah Rasulullah yang sebenarnya.
  • Yang paling penting tariklah dengan KASIH SAYANG.
         Jangan putus asa. Kita berusaha dan merancang sebaik mungkin. Yang lain kita serah pada Allah. Hanya Allah mampu memberikan Hidayah kepada setiap hambaNya. Kita buat sehabis baik insyaAllah.

Wallahu Walliyyut Taufiq

            


Sunday 4 November 2012

Manisnya Hidayah...Akhirnya Aku Berubah

         Kisah saya ini mungkin tidaklah menarik mana. Tapi saya berharap agar entry ini insyaAllah sedikit sebanyak mampu memberi ibrah kepada para pembaca yang membaca entry ini. sesuai dengan nama blog saya Travelog & Sketch jadi saya berhajat untuk berkongsi kisah saya ini kepada semua. Mungkin ada yang akan berkata:

"Eleh macam kau seorang je dapat hidayah"

"Macam kau seorang je yang baik"

"Kau nak buka aib kau buat apa. Kisah lama habis dekat situ jela!"


        Tapi saya tetap akan teruskan juga hasrat ini. Anda boleh sediakan makanan ringan sebelum fokus membaca kisah saya ini. Kalau anda orang yang berfikir dan optimis, sila ambil masa sejenak untuk bermujahadah fokus baca entry ini. Haa cuba lihat tajuk entry diatas. Tiadalah 'rare' mana tapi ye lah saya dah selalu baca entry atau artikel khas buat Muslimah diluar sana macam "Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung Labuh", "Bagaimana Akhirnya Saya Berniqab" dan seumpamanya jadi mungkin dah tiba masanya buat saya pula jadi wakil bagi pihak para Muslimin dari kisah saya ini.


         Saya dibesarkan didalam keluarga yang sederhana. Papa dan Mama saya bukanlah seorang Ustaz Ustazah atau orang yang arif dalam agama(maaf bukannya nak mengGEDIK tapi memang saya panggil parents saya Papa & Mama semenjak kecil). Mama saya 'converted to' Islam ketika berkahwin dengan papa saya. Boleh dikata cara pemikiran dan pendirian Sekularisma lebih bermaharajalela didalam keluarga saya. Saya akui jika dikata jahil pun waktu dahulu.

KETIKA JAHIL

         Saya mula menuntut ilmu untuk sesi pra-sekolah di St. Ronan Kindergarten di Titiwangsa. Ketika sekolah rendah saya menuntut pula di S.R.J.K (C) Chiao Nan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Ye saya memang mahir berbahasa cina. Haa cuba anda lihat waktu pembelajaran saya. Saya tidak pernah menuntut dimana-mana sekolah agama(sedikit cemburu tengok ramai adik-adik kecil menuntut di sekolah-sekolah Musleh).  Masih saya ingat ketika disekolah rendah dahulu saya hanya ke kelas agama Islam sekali seminggu. Itupun sesinya hanya setengah jam. Dari darjah satu hingga tiga tak silap saya hanya belajar menulis huruf hijaiyah je. Punyalah malas ustaz tu. Duduk je atas meja tak cakap apa. Alhamdulillah mula darjah empat ketika ustazah yang mengajar akhirnya saya berjaya juga dapat pengetahuan serba sedikit tentang Fardhu Ain(Jangan tanya "alah kan parents boleh juga tunjuk ajar." faham-faham sendiri k). Haa anda dapat bayangkan bukan betapa jahilnya saya. Apa?? Takdalah teruk mana. Takpa-takpa kita masuk waktu sekolah menengah pula.

           Ketika menengah, saya menuntut pula di S.M.K Bandar Baru Sentul. SMKBBS juga dikenali sebagai sekolah yang rating tinggi yang pelajarnya memang 'teruk'  untuk zon Kuala Lumpur. Boleh dikata hari-hari ada pergaduhan didepan pintu sekolah tidak kira dari lelaki mahupun perempuan. Saban tahun ada perempuan yang mengandung. Saya ada juga kawan yang ditahan polis ketika tingkatan empat kerana berzina beramai-ramai dengan perempuan tingkatan tiga. Bila dah kena tahan reman dua hari baru menangis menyesal diatas perbuatan sendiri. Terkadang saya tertanya kau takut dengan polis ke dengan Allah? Bukan saya nak memperkecilkan sekolah saya sendiri tetapi itulah hakikatnya yang harus pembaca tahu. kita bertanggungjawab dalam meletakkan nama baik sekolah ditempat yang dikagumi atau pun dicemuh dan dipandang serong oleh pihak luar. Sebab tu kalau ramai pelajar cemerlang baru jadi sekolah kluster dan begitu pula sebaliknya. Alhamdulillah namun pada hari ini SMKBBS dah jadi semakin baik.

       Saya tinggal dekat Kampung Baru, Kuala Lumpur. Di sini antara lokasi pusat bandar yang cukup terkenal dengan 'kepanasannya'. Bagi saya tinggal disini adalah satu kehidupan realiti yang harus ditempuh. Hari-hari mata ini dijamah dengan para mak nyah, pelacur, bapa ayam dan polis serta pegawai DBKL yang bersekongkol dengan pengedar dadah dan ianya sudah menjadi perkara biasa buat saya. Mungkin para pembaca ingat selama ini orang-orang Melayu Indonesia dan Bangladesh serta Myanmar yang lainnya yang selalu menjadi dalang perosak di pusat kota ini hanya oleh kerana pada hujung minggu Chow Kit banjir dengan orang mereka sahaja sedangkan hakikatnya yang merosak bangsa disini itu adalah orang kita sendiri yang banyak dipelopori oleh Melayu Malaysia yang kebanyakannya 'pelindung' kepada masyarakat. 

        Saya ramai kenalan yakni budak-budak jalanan disini yang hidup mereka hanyalah di Cyber Cafe sepanjang masa. Ye mereka anak Melayu kita. Mereka bangga dengan mengggelar diri  sebagai "Chow Kit Rock City Boys". Salah seorang dari mereka adalah rakan yang selalu menjaga saya. Satu hari dia pernah membawa saya naik ke rumah Para Mak Nyah untuk berjumpa dengan pak ciknya yang sudah berubah. Ketika itu ramai yang mengajak saya untuk tidur bersama tapi saya tolak dengan baik dan mereka menghormati saya. Para Mak Nyah ini bukan sahaja menawarkan seks songsang malah pengedar syabu dan dadah. Ya tidak hairan jika saya lihat ramai yang melanggan Mak Nyah ini dari kaum India yang suka seks jenis liwat selepas saya melihat sendiri 'customer' Mak Nyah tersebut.

         Rakan saya itu pernah mengajak saya ke Private Party yang memang suka diadakan oleh anak-anak muda yang gilakan muzik dan seks bebas di hotel-hotel terkemuka. Mereka selalunya akan tempah bilik khas untuk satu malam untuk mengadakan Private Party ini. Ya kawan saya itu minum arak bersama kawannya yang lain dan melayan pil Extacy. Setelah semuanya lentok dengan tarian dan meneguk arak akhirnya mereka mencari tempat sesuai untuk berzina pula. Ketika itu saya pun pulang ke rumah. Saya hairan dengan diri saya. kenapa saya tidak terikut sama? 
        
        Saya juga sering mengikuti dia bermain judi sama ada di Cyber Cafe yang menawarkan judi atau di flat-flat di Chow Kit tersebut yang dipelopori anak-anak muda jalanan tersebut. Syukurnya walau saya tahu bagaimana nak berjudi setelah mengikuti rakan saya itu berjudi berhari-hari tapi saya tidak pernah mencubanya walau sekali. Menggunakan daun terup atau sebagainya. Ajaklah saya ke kasino sekali pun saya pasti tahu cara-caranya tapi saya tidak akan lakukannya walau sekali insyaAllah. Masih saya ingat saban malam hingga ke pagi saya akan lepak bersama mereka semua ini di depan Cyber Cafe merokok dan membuang masa berbual perkara yang tiada faedahnya.

       Setiap hari sabtu selalunya saya akan keluar bersama kawan-kawan ke Bukit Bintang. Kami selalunya berkumpul di Pavilion. Lepak di Starbucks dan sebagainya. Saat itu pun community-community yang ditubuhkan oleh anak-anak muda bermula sejak Myspace lagi cukup hangat diperkatakan. Semuanya perasan nak jadi 'Hot'. Yang perempuan digelar C.I.O yang membawa maksud Check It Out. Pelbagai style pakaian yang cuba ditonjolkan macam ala Vintage, Urban, Indie dan sebagainya. Alhamdulillah masa tu style Punk, Skinhead, Gothic dan Black Metal dah makin pupus.

       Sukacita untuk saya maklumkan bahawa saya juga pernah melihat dengan kedua mata saya sendiri bagaimana rupa dadah, pistol penjenayah, duit RM beratus ribu ringgit hasil penjualan dadah, syabu, botol untuk hisap syabu, ganja serta baunya dan setiap jenis arak serta baunya. Ya inilah realiti kehidupan saya. Kadang-kadang saya tersenyum sendiri sambil berkata 'hidup aku ini bagaikan sebuah filem pecah panggung'.

        SubhanAllah Alhamdulillah Allahuakbar. Walau kehidupan seharian saya dipenuhi dengan rupa seperti itu namun sedikit pun saya tidak pernah terpengaruh. Seperti ada yang menjaga saya. Ya dialah Allah S.W.T. Mungkin yang paling teruk yang pernah saya lakukan pun merokok semenjak disekolah menengah lagi serta bercouple. Couple pun setakat di handphone sahaja tidak pernah melebihi itu. Saling tukar 'girlfriend'. Kawan-kawan perempuan di sekolah pernah menggelar saya Kasanova. Zalim betul saya terhadap perempuan yang saya pernah ajak couple tersebut. Cinta Monyet yang tiada sudahnya. Saya mempermainkan perasaan mereka. Semoga mereka semua sudah dapat Hidayah Allah S.W.T serta memaafkan saya. Saya juga sewaktu dahulu sangat gilakan muzik underground. Indie band macam tu. Saya dah pernah cerita sebelum ini. Nanti para pembaca boleh baca di:


MANISNYA HIDAYAH

       Setelah tamat SPM untuk sesi 2010. Akhirnya saya mengikuti program PLKN sesi pertama di Kem Setia Ikhlas, Semenyih. Disitu bermula perubahan hidup saya. Selama tiga bulan di dalam kem. Pelbagai perkara baru yang saya temui. Alhamdulillah akhirnya Allah berikan saya Hidayah. Hari pertama solat Subuh di kem, rasanya itulah kali kedua saya solat Subuh setelah berumur 18tahun! Memang benar kata Ustaz Azhar Idrus. Dari terpaksa datangnya kebiasaan. Dari Kebiasaan timbulnya keikhlasan. Mulanya saya rasa berat nak dirikan solat. Payah betul. Doa Qunut dan Iftitah pun saya masih lupa-lupa ingat. Akirnya kelama-lamaan saya boleh juga hasil tunjuk ajar dua sahabat di Kem iaitu Hasif dan juga Zahid. Mereka berdua antara pelajar cemerlang. Mereka yang banyak menjadi asbab terbukanya hati saya untuk terima Hidayah.

      Di PLKN, saya baru ada rakan-rakan dari SMKA, MAHAAD dan SBP yang semuanya insyaAllah soleh-soleh belaka. Pemikiran mereka sungguh berbeza dengan rakan-rakan disekolah mahupun rakan-rakan jalanan di Chow Kit. Saya ada dengar selalunya peserta yang dipilih untuk program sesi pertama di PLKN secara rawak pasti pelajar yang cemerlang dan soleh akan dipilih. tapi tak tahu macam mana dengan saya sekali boleh terpilih bukan. MasyaAllah cantik sungguh aturan Allah buat kehidupan saya.

       Banyak perkara-perkara yang melalaikan akhirnya saya tinggalkan. Salah satunya rokok. Saya boleh juga digelar perokok tegar. Namun dalam masa sehari saya sudah boleh berhenti dan tekad tidak akan merokok lagi. Semuanya atas dasar Iman dan Takwa yang baru saya kenali buat Sang Khalik kita. 

       Pada mulanya saya diejek dan diperli oleh ramai rakan taulan di luar PLKN tetapi saya tidak peduli. Saya tidak akan menoleh kebelakang lagi. Papa dan Mama pun pada mulanya hairan dengan perubahan saya. Namun sedikit sebanyak akhirnya mereka menyokong perubahan saya itu.

      Setelah tamat PLKN. Akhirnya saya bekerja sambil menunggu keputusan UPU. Tidak lama kemudian akhirnya keputusan UPU keluar. Ramai kawan saya khususnya dari PLKN dapat tawaran di IPTA. Ada yang dapat Matrikulasi dan UIAM serta di Universiti lain. Saya hanya mendapat tempat di Politeknik. 

       Mula-mula saya berasa putus asa. Saya menyesal kerana tidak belajar bersungguh-sungguh. Saya tidak pernah ambil endah soal menyambung pelajaran ke Universiti ketika di peringkat menengah. Ketika di PLKN baru saya sedar namun sudah terlambat kerana SPM sudah pun lepas. Saya jatuh cinta dengan UIAM dan teringin menuntut disana namun saya memang tidak layak berdasarkan keputusan SPM saya. Akhirnya saya putus asa dan bercadang untuk terus bekerja sahaja. Saya tidak akan sambung belajar selagi institusi saya itu tiada dasar atas nama 'ISLAM' kerana saya takut tidak dapat berjumpa dengan kawan-kawan soleh lagi. 

       Allah dapat baca isi hati saya. Entah bagaimana saya boleh main tekan je kat goggle 'Islamic International College'. Rupanya wujud kolej nama macam tu. Alih-alih tengok kolej bawah naungan UIAM.  Loganya pun dekat sama macam UIAM. Apa lagi saya terus isi borang. Alhamdulillah akhirnya saya menyambung pelajaran di International Islamic College Malaysia(IICM) yang terletak di Batu Muda, Kuala Lumpur.


        Di IIC, saya bertemu juga ramai rakan-rakan soleh. Memang disini boleh dikata Soleh Wa Musleh juga. Diantaranya ada yang jadi sahabat saya. Saya banyak mempelajari ilmu-ilmu seperti fiqh, fardhu ain dan mengaji Al Quran dengan sahabat-sahabat saya ini. Soal malu saya tolak tepi. Walau ilmu agama saya ketika itu macam budak darjah saya tidak peduli. AKU NAK TUNTUT ILMU! Saya mula membuka kitab-kitab ulama' terdahulu seperti karya Imam Al Ghzali, Imam An Nawawi dan sebagainya. Alhamdulillah hari ini Allah telah sematkan sedikit demi sedikit ilmuNya didalam diri insan yang hina ini. Yang penting saya kena terus berusaha. InsyaAllah saya tak nak tersungkur kerana jahil agama lagi.

        Biah disini pun masih terjaga. Sebagai contoh kalau dulu mata saya lebih selesa untuk dijamah oleh perempuan-perempuan yang tidak menutup aurat dan berpakaian menjolok mata. Tapi kini saya lebih selesa kerana para Muslimah yang ada di IIC. Semuanya menutup aurat mereka. Alhamdulillah sekurang-kurangnya mereka membantu saya dan lelaki lain dalam menjaga hati dan mata yang boleh timbulnya penyakit yang berbahaya yakni penyakit hati dan nafsu syahwat yang bergelora.

        Setelah setahun di IIC. Akhirnya melalui seorang Ukhti yakni seorang kakak yang sangat-sangat saya hormati dan kagumi lalu saya mengikuti Usrah bawah NGO Pertubuhan Ikram Malaysia. Didalam Usrah saya dapat lagi pelbagai ilmu. Saya juga dapat mengikuti pelbagai aktiviti Usrah macam Jaulah, Daurah, Mukhayyam dan sebagainya. Saya juga dapat menjadi Fasilitator serta menyertai kursus kepimpinan bagi meningkatkan lagi prestasi dari segi rohani, jasmani dan spiritual saya.

       Setelah meyertai Ikram pula, saya mengenali ramai pakcik-pakcik dan ummi-ummi serta Ikhwah Akhwat yang tiada hentinya berjuang dalam medan dakwah. Mereka mengajar saya erti seorang Dai' dan khalifah di muka Bumi Allah ini. Mereka semua terutamanya pakcik-pakcik dan ummi-ummi yang penyayang dan memahami. Faktor usia yang ketara tidak mampu memisahkan kami untuk duduk bersama dibawah naungan Islam. Mereka tahu kisah hidup saya namun tidak mencemuh malah membantu saya bangkit kembali. Naqib saya pula yakni Murabbi yang amat saya hormati iaitu Akhi Syafiq Bin Ismail merupakan seorang pejuang yang tidak kenal erti mengucap kata LELAH ketika penat melainkan LILLAH. MasyaAllah! Mereka semua banyak menjadi perantaraan dari Allah dalam membantu saya menjadi seorang Muslim yang Mukmin lagi Muhsin insyaAllah. Sila doakan untuk saya.



          Tarbiah dari Allah serta aturan hidup saya olehNya sungguh indah sekali. Bermula dengan Dia meletakkan saya di tempat yang penuh maksiat agar saya dapat lebih memahami dan matang dalam melihat realiti hidup kejahilan yang tiada sudahnya untuk meneruskan hidup sebelum Dia meletakkan saya pula di dalam kalangan orang-orang yang soleh untuk saya mengenali apa itu Islam serta memperdalaminya dan menjadi hamba yang mengabdikan diri kepadaNya.
  
         Saya mungkin bukanlah seorang lelaki yang soleh dan bukanlah datang dari keluarga yang sedia soleh. Namun saya akan sentiasa memperbaiki diri dan untuk keluarga saya. Islam juga bukan buat diri saya seorang dan keluarga saya. Syurga juga begitu. Islam dan Syurga juga buat saudara-saudara kita diluar sana. Biar sekalipun perbuatan mereka di dunia adalah perbuatan ahli neraka. Namun mereka ada hak di akhirat kelak untuk bersuara. Hak minta kita berdakwah kepada mereka. Mengajak dalam Amal Makruf Nahi Mungkar.

          Buat yang ingin berhijrah khusunya lelaki diluar sana. Walau siapa pun kita dahulu itu tidak penting. Tapi siapa kita di kemudian hari. Ya mungkin memang kita Zero pada mulanya. Namun biarlah ZERO TO HERO saudaraku sekalian. Kita sentiasa ada dua jalan iaitu jalan yang Baik dan Buruk. Kita yang menentukannya. Jika kita seorang Pendosa sekalipun. Biarlah jadi Pendosa yang dicintai Allah kerana bertaubat kepadaNya.

       Akhir sekali saya ingin mengingatkan kepada para pembaca walau sudah tinggi mana pun ilmu agama kita tak kisahlah gempak dari segi Usuluddin dan Fiqh sekalipun tapi jika kita sombong malah lemah dari segi Iman dan Takwa lalu kita akan tersungkur juga akhirnya. Tiada bezanya dengan mereka yang jahil bukan. Lihat sahaja ada juga yang dari SMKA ke atau MAHAAD yang berzina dan sebagainya. Semua yang ada term-term Islam namun tersungkur juga. Sebab apa? Sebab Iman dan Takwa mereka lemah. Maka kita diwajibkan agar terus perbaiki dan tingkatkan Iman dan Takwa kita.

          Cukuplah setakat ini dahulu. Banyak yang ingin dikongsi namun saya tidak sanggup memenatkan para pembaca untuk membacanya semua. Saya doakan agar pembaca dapat ibrah dan sedikit motivasi dari kisah saya ini. Bagi saya ini adalah sebuah Travelog seorang hamba hina yang ingin kembali kepada Penciptanya yang Maha Agung.

         Saya akan sentiasa mengalu-ngalukan sesiapa yang memerlukan targhib dan sokongan dari saya. Saya sentiasa disini buat saudara-suadara yang memerlukan sokongan dan motivasi insyaAllah. Saya mendoakan agar kita semua akan meraih Syurga Allah kelak. Semoga kita adalah orang-orang yang dirindu Syurga Allah. Saya sedar betapa sukarnya didalam proses mentarbiah diri kerana saya pernah melalui proses itu tapi insyaAllah saya akan sentiasa bersama anda semua. Mulakan sedikit demi sedikit. Sesungguhnya orang yang sabar dan teliti akan berjaya. Dengan Allah tiada yang mustahil.

Wallahu Walliyyut Taufiq