Friday 25 January 2013

Cinta Pertama VS Cinta Utama







Dalam proses tarbiah diri antara kaedah terbaik ialah melalui kisah-kisah yang mampu memberikan ibrah kepada diri kita. InsyaAllah hari ini saya akan berkongsikan satu kisah dari pengalaman Ustaz Pahrol Ahmad Juoi sendiri didalam bukunya yang bertajuk "Nota Hati Seorang Lelaki."

Mungkin sudah ramai para syabab yang memiliki buku Ustaz Pahrol ini. Dan mungkin sampai sudah hafal setiap isi cerita didalamnya. Tidak terkecuali saya. Buku ini antara penguat serta panduan saya untuk menjadi seorang anak, suami, ayah dan da'ie yang soleh.

Cinta Pertama VS Cinta Utama ini berada dihalaman muka surat 35 iaitu di bahagian dua buku tersebut. InsyaAllah kisah ini juga saya dedikasikan kepada sahabat-sahabat saya yang telah berkahwin tetapi mungkin sedang mengalami situasi seperti ini juga buat mereka yang mendahulukan cinta lain selain Allah Ta'ala. Ayuh baca sahabatku.

Hati seorang lelaki...
Kekadang perlu sekeras waja..
Ada masanya mesti selembut sutera..
Ah, lelaki,
Jika jiwamu tulus kerana Ilahi,
Pasti lurus perananmu sebagai LELAKI!
(Kata-kata hikmah Ustaz Pahrol)

Beria-ria benar pertanyaan itu diajukan kepada saya. Ya sukar benar dia melupakan cinta pertamanya.
"Sudah 10tahun berlalu, tapi hati masih teringat si dia," akuinya terus terang.
"Kenapa terpisah?" tanya saya simpati.
"Orang tua ada pilihan lain."
"Dia telah berkahwin?"
"Sama macam saya. Kami sama-sama sudah berkahwin. Saya mempunyai dua orang cahaya mata, dia baru seorang."
"Cinta isteri sekarang?" tusuk saya perlahan.
Dia termenung.
"Tidak cinta barangkali, cuma terpaksa," tebak saya.
Eh, tidak. Dia seorang isteri yang baik, cuma..."
"Cuma tak dapat melupakan cinta pertama?"
Dia mengangguk.
"Cinta bukan Tuhan," tegas saya.
"Maksudnya?"
"Kita tak perlu tunduk kepadanya. Jangan apa sahaja perintahnya diikuti. Jangan menjadi hamba cinta pertama!"
"Entahlah, keliru pula."
"Jadi hamba cinta utama."
"Cinta utama?"
"Cintakan Allah cinta yang utama. Bila kita telah cinta yang utama, cinta yang lain akan tunduk akur kepadanya."
"Mungkin bekas kekasih saya dulu terbaik."
"Mungkin juga. Tapi dia terbaik untuk suaminya kini. Dan awak juga terbaik, untuk isteri awak kini."
"Siapa yang boleh menjamin kata itu?"
"Cinta utama, Allah. Bila Allah mentakdirkan sesuatu, sesuatu itu pasti yang terbaik untuk hambaNya. Maha suci Allah daripada sifat zalim."
"Saya tak pasti. Benarkah begitu?"
Saya tepuk belakangnya.
"Ilmu kita terbatas, ilmu Allah Maha Luas. Tidak dapat kita jangkau hikmah takdir Allah yang tersirat. Jika belum nampak kebaikannya masa kini, masa akan datang pasti terserlah jua. Sebagai hamba yang beradab, katakan begini: Ya Allah, aku belum nampak lagi kebaikan takdirMu kini tetapi aku pasti ketentuanMu pasti ada kebaikannya nanti."
"Jadi apa jalan keluarnya?"
"Cintailah apa yang ada, jangan cintai apa yang tiada. Keluar daripada kenangan masa lampau, hadapi kenyataan hari ini."
"Ah sukarnya..."
"Lebih sukar jika yang ada sekarang terlepas dari genggaman?"
"Maksud awak?"
"Seorang isteri, dua orang anak, sanggup awak korbankan kerana cinta pertama?"
"Tergamaklah saya buat begitu?"
Matanya memandang redup, jauh ke hadapan.
"Awak yang mesti menjawab soalan tu. Bukan saya."
"Kalau awak jadi saya?"
"Jika saya jadi awak, jawapannya ya. Awak kan mengagungkan cinta pertama? Bukan saya."
"Tak sanggup..."
"Jika tak sanggup, lupakan. Kita tidak boleh mengubah peristiwa yang telah berlaku tetapi kita boleh mengubah perasaan kita terhadapnya. Jika kita tak dapat apa yang kita suka, sukailah apa yang telah dapat. Jangan putus cinta dua kali."
"Apa caranya?"
"Cintailah cinta yang utama. Bila kita cintakan Allah. Kita mampu mengubah cinta kita selaras dengan kehendakNya."
"Apa kehendak Allah terhadap saya?"
"Mencintai isteri. Setiap suami mesti mencintai isterinya, bukan bekas kekasihnya!"


Wednesday 23 January 2013

Hadith 1: Pahala Amal Bergantung Pada Niat

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsah, Umar Bin Al khatab r.a berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

"Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung pada kepada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, dia akan sampai kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah menuju dunia yang akan diperolehinya atau menuju wanita yang hendak dinikahinya, dia akan mendapatkan apa yang diniatkannya."

(Riwayat al Bukhari no.1, 54, 2529, 3898,5070, 6689, 6953, Muslim no. 1907, Abu Daud. 2201, Al Tirmidzi no.1646, al Nasa'i no.1/59-60, VI/158, Ibnu Majah no 4227 dan Ahmad no. 1/25,43)

Asbab utama untuk turunnya hadith ini ialah kerana seseorang lelaki yang mengikuti Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Madinah semata-mata kerana ingin mengahwini seorang perempuan cantik yang bernama Ummu Qais. Dia berhijrah bukan kerana ingin mendapatkan pahala hijrah malah sebaliknya. Kerana itu dia telah digelar sebagai Muhajir Ummu Qais.

Dalam hadith ini disebutkan kalimah "Diterima amal perbuatan bergantung kepada niatnya." Yang dimaksudkan dengan amal disini ialah semua jenis amal yang dibenarkan syariat. Jadi maknanya disini walaupun sesuatu amal itu dibenarkan syariat tapi jika ianya dilakukan tanpa niat maka tidak bernilai apa-apa.

Adapun amal yang tidak memerlukan niat seperti meninggalkan perbuatan yang haram, mengembalikan barang pinjaman, menyampaikan pemberian atau hadiah orang dan membersihkan diri daripada najis kerana perbuatan ini termasuk perbuatan menghilangkan barang yang tidak baik.

Sebahagian memahami niat itu sebagai syarat, iaitu amal itu sah hanya apabila disertai niat dan sebahagian yang lain memahami niat itu sebagai penyempurna yang bermaksud amal itu menjadi sempurna dengan niat.

Seterusnya kalimah "Sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya" menurut Khathabi menunjukkan pengertian yang berbeza daripada sebelumnya, iaitu menegaskan bahawa sah atau tidaknya amal itu bergantung kepada niatnya. Imam Nawawi juga menerangkan bahawa niat itu menjadi syarat sah sesuatu amal.

Berhubung kalimah "Sesiapa berhijrah kerana Allah dan RasulNya, dia akan sampai kepada Allah dan RasulNya", ahli bahasa Arab menetapkan bahawa kalimah "syarat dan jawabnya", begitu juga "mubtada" (subjek) dan khabar (predikat)" haruslah berbeza. Sedangkan dalam kalimah diatas ternyata kedua-duanya sama. Kerana itu, kalimah syaratnya bermakna niat atau maksud, baik secara bahasa mahupun syariat. Ianya juga bermaksud, sesiapa berhijrah dengan niat kerana Allah dan RasulNya, maka dia akan mendapat pahala daripada hijrahnya kepada Allah dan RasulNya itu.

Perbuatan yang diluar lingkungan ibadah iaitu perbuatan yang menjadi tabiat hidup manusia seperti makan, minum, tidur dan sebagainya turut mendapat pahala jika diniatkan untuk memelihara keselamatan dan kesihatan tubuh badan supaya dapat beribadah.

Apa yang paling penting sekali ialah kita hendaklah ikhlas dalam amal ibadah dan setiap pekerjaan agar mendapat kemudahan dan kebahagiaan didunia dan mendapat pahala diakhirat.

Sebelum saya menutup kuliah maya berkenaan hadith pertama daripada kitab Hadith 40 Imam Nawawi ini, Imam Nawawi telah membahagikan amal ibadah kepada tiga:

  • Ibadah Hamba: Ibadah orang yang takut kepada Allah.
  • Ibadah Saudagar: Ibadah orang yang ingin mendapatkan ganjaran Syurga dan Pahala.
  • Ibadah Merdeka: Ibadah yang sebenar kerana menunaikan tanggungjawab, rasa syukur dan berasa malu kepada Allah.

Wallahu Waliyyut Taufiq




Saturday 12 January 2013

Siapakah Imam Nawawi?

          Nama sebenar Imam Nawawi ialah Al Imam Al Hafiz Sheikhul Islam Muhyiddin Abu Zakaria Yahya Bin Syaraf Al-Nawawi Al-Dimasyqi. Beliau dilahirkan pada bulan Muharram, 631H. Beliau meninggal dunia dan dikebumikan dikampung asalnya, Nawa selepas menziarahi Al Quds dan Al Khalil pada bulan Rejab, 676H.

         Beliau dididik oleh bapanya yang terkenal dengan kesolehan dan ketakwaannya. Beliau mula belajar di madrasah bapanya dan telah mula menghafal Al Quran sebelum menginjak usia baligh. Ketika berusia sepuluh tahun, Sheikh Yasin Bin Yusuf Al Zarkasyi melihat beliau dipaksa bermain oleh teman sebayanya. Namun Imam Nawawi cuba mengelakkan diri dengan lari dan menangis kerana paksaan tersebut. Sheikh itu pun berkata

"Anak ini akan menjadi orang paling pintar dan paling zuhuhd pada zamnannya dan dapat memberikan manfaat yang besar kepada Umat Islam."

           Imam Nawawi dikenali sebagai salah seorang tokoh ilmuan yang sangat ulung dalam mazhab Imam Al Syafie'. Di samping itu beliau juga dikenali kerana paling banyak menghasilkan karya bertulis yang hebat, jitu dan kekal manfaatnya hingga kini.

          Beliau telah menulis dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk hadith dan ulum al-hadith (pegantar ilmu hadith). Dalam ilmu bahasa pula, beliau menulis kitabnya yang sangat terkenal, Tahzib Al Asma' Wa Al Lughah.

         Karya beliau tersebar luas ke seluruh pelosok dunia Islam. Salah sebuah kitab beliau yang sangat mahsyur ialah Riyad Al Solihin (Taman orang-orang Soleh) yang diajar hampir di seluruh masjid dan surau di Nusantara, malah di seluruh dunia.

        Para Ulama' berpendapat bahawa penerimaan kitab-kitab tulisan seorang Ulama' secara meluas oleh Umat Islam di seluruh dunia menjadi petanda bahawa penulisannya ikhlas dalam menghasilkan kitab tersebut. Beliau tidak memandang kepentingan duniawi, seperti ganjaran, nama dan sebarang manfaat berbentuk material, kecualiuntuk menharapkan keredaan Allah S.W.T semata-mata.

Antara karya ilmiah Imam Nawawi adalah:

Bidang Hadith:

  • Arba'in, Riyadhus Solihin.
  • Al-Manhaj (Syarah Shahih Muslim)
  • Al-Taqrib wat Tasyir fi Ma'rifat Sunan Al-Basyirin Nadzir
Bidang Fiqh:
  • Minhajuth Thalibin
  • Raudhatuth Thalibin
  • Al Majmuk

Bidang Bahasa:
  • Tahdzibul Asma' Wal Lughah
Bidang Akhlak:
  • Al-Tibyan fi Adab Hamalatil Quran
  • Bustanul Arifin
  • Al Adzkar
       Kitab-kitab diatas terkenal secara meluas termasuk oleh orang awam dan memberikan manfaat yang besar sekali untuk Umat Islam.

         Ini semua tidak lain kerana taufik daripada Allah, kemudian keikhlasan dan kesungguhan beliau dalam berjuang. Secara umum, beliau berpegang teguh kepada Manhaj Ahli Sunnah, tidak terjerumus dalam filsafat dan berusaha meneladani generasi awal umat dan menulis bantahan kepada Ahli Bidaah yang menyelisihi mereka.

         Imam Nawawi juga seorang yang tegas dalam menegakkan amar makruf nahi mungkar, temasuk kepada para penguasa dengan cara yang telah digariskan dalam Islam. Beliau sering menulis surat berisi nasihat untuk pemerintah dengan bahasa yang puitis sekali.

         Antara kisah menarik beliau dengan penguasa besar ketika itu ialah apabila dipanggil oleh Raja Al Zhahir Bebris untuk menandatangani sebuah fatwa. Datanglah beliau yang bertubuh kurus dan berpakaian sangat sederhana. Raja pun meremehkannya dan bekata "Tandatanganilah fatwa ini!" Beliau membacanya dan menolak untuk membubuhkan tandatangan. Raja murka dan berkata, "Kenapa?" Beliau menjawab, "Kerana ia berisi kezaliman yang nyata." Raja semakin marah dan berkata, "Pecat dia daripada kesemua jabatannya!" Para pembantu raja berkata, "Dia tidak punya apa-apa jabatan sama sekali." Raja ingin membunuhnya tapi Allah telah dahulu menghalanginya. Raja ditanya, "Kenapa tidak Tuanku bunuh dia padahal dia sudah bersikap sedemkian dengan Tuanku?" Raja pun menjawab, "Demi Allah, aku sangat segan padanya."

       Kezuhudan, kewarakan dan ketakwaan beliau tidak dapat disangkal lagi. Besarnya sumbangan beliau buat Umat Islam sezaman dengannya hingga ke hari ini. Semoga beliau ditempatkan bersama dengan orang-orang soleh di akhirat kelak. Beliau bukanlah Insan yang maksum sehingga tidak terlepas dari kesalahan. InsyaAllah setiap Insan ada kelemahan semoga Allah ampuni segala dosa-dosanya.

        Imam Nawawi meninggal dunia pada 24 Rejab 676H ketika berusia 48tahun dan tidak pernah berkahwin.

          InsyaAllah tujuan saya menulis serba sedikit tentang Imam Nawawi ialah oleh kerana saya berniat untuk membuat kuliah maya (menulis entry ilmiah) seminggu sekali dengan menggunakan kitab karya beliau iaitu Hadith 40 selepas ini. Doakan saya agar mampu untuk istiqamah. Semoga Allah permudahkan urusan.

          Walaupun nama kitab beliau ialah Hadith 40. Tetapi hadith yang terkandung didalam kitab tersebut adalah 42 buah hadith kesemuanya. Hal ini kerana sudah menjadi tradisi orang arab untuk menggenapkan bilangan kepada angka puluh, ratus dan sebagainya yang terhampir terlebih atau terkurang hingga bilangan 42 menjadi 40.

            42 hadith yang terkandung dalam kitab Hadith 40 karya Imam Nawawi meliputi pelbagai bab atau tajuk seperti akidah, fiqh, muamalah, akhlak dan sebagainya. Saya akan berusaha untuk buat penghuraian dengan intisari yang padat serta ringkas. 

           InsyaAllah semoga selepas ini kita meletakkan niat bersama untuk membaca, menghayati, menghafal dan beramal dengan penuh iltizam kesemua 42 hadith yang terkandung dalam kitab Hadith 40 karya Imam Nawawi.

Wallahu Waliyyut Taufiq


Friday 11 January 2013

Caliph Youth Society (CYS)






        Alhamdulillah akhirnya Annual General Meeting of Caliph Youth Society yang bersidang pada tarikh 11 Januari 2013 (Jumaat) dapat berjalan dengan jayanya. Mesyuarat yang bermula sekitar jam 9:30 pagi dan tamat hanya pada 10:30 pagi. Pembubaran ahli-ahli lama sebelum perlantikan ahli-ahli baru yang bakal menyandang tempat Presiden dan biro-biro yang lain. InsyaAllah 'Main Board' baru ini bakal menjalankan amanah serta tangunggjawab dengan baik. 

        Caliph Youth Society merupakan salah satu kelab yang ada di International Islamic College Malaysia (IIC). Kelab ini berteraskan dakwah dan tarbiah mengikut Al Quran dan As Sunnah. Kelab ini banyak mengadakan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat serta berunsurkan dakwah dan tarbiah seperti menyebarkan pengetahuan tentang Islam, isu-isu semasa yang berkaitan dengan Islam juga bagi mengisi semula ruh-ruh Islam pada setiap Muslim khususnya warga di IIC.

           



        Pertama kali saya bersama dengan Caliph Youth Society ialah pada awal tahun lepas itupun secara tidak rasmi. Bersama ahli-ahli CYS yang semuanya insyaAllah soleh solehah membuatkan saya berasa sentiasa rendah diri dengan mereka. InsyaAllah sedikit sebanyak dapat menuntut ilmu serta menimba pengalaman bersama mereka semua. Yang rasminya bersama CYS bila saya bersama-sama ahli-ahli CYS yang lain mengadakan satu program yang dipanggil sebagai "Malam Bersama Gaza" pada akhir tahun lepas. 

       Itulah program pertama saya bersama CYS. Tugas pertama saya ketika itu menjadi protokol bersama Akhi Fadzly untuk menjaga para artis jemputan bagi menjayakan program itu. Program malam itu merupakan anjuran bersama CYS, Musolla IIC dan Aqsa Syarif (NGO). 


        Malam itu juga saya dapat tahu bahawa kumpulan Indieband yang bergelar BUNKFACE kini telah mengikuti Usrah bersama geng-geng Ustaz Abdul Razak Bin Muthalib yang juga merangkap Penasihat CYS. SubhanAllah Alhamdulillah Allahuakbar! Allah telah membuka hati mereka. Semoga mereka tsabat dalam hidayah Allah itu.



Ustaz kesayangan warga IIC ni (2 dari kiri)

        MasyaAllah. Hari ini saya dapat lihat ramai Insan mula berbondong-bondong berhijrah ingin kembali pada Tuhannya terutamanya dari kalangan Artis. Rindu pada kebenaran Islam. Bosan untuk terus dilekati palit-palit dosa. InsyaAllah mari kita doakan mereka semua dan terus berikan semangat pada mereka. Semoga mereka juga bakal jadi pejuang agama kelak. Tanda-tanda kemenangan sudah mula kelihatan.

        Balik kepada CYS, alangkah terkejutnya saya apabila dipilih sebagai "Economy Bureau Of Caliph Youth Society" bagi sesi 2013 ketika mesyuarat tadi. Ketua Biro Ekonomi. Satu amanah yang amat berat buat saya. Sedangkan saya merasakan bahawa Akhi Fadzly yakni sahabat karib saya lebih layak untuk menyandang jawatan itu berdasarkan perjuangannya yang lebih lama bersama CYS. Kerana saya telah dahulu mendengar ura-ura bahawa Akhi Fadzly akan menjadi Ketua Biro Ekonomi bagi sesi 2013 tahun ini.

        Apabila nama saya disebut oleh Ustaz Abdul Razak Bin Muthalib. Allah sahaja yang tahu perasaan saya. Berdebar-debar rasanya. Berat sungguh kaki saya nak melangkah kedepan mengambil watikah perlantikan. Apakah ini yang memang dirasakan oleh semua pemimpin saat terpilih? Sila beritahu saya...

        Jika diimbau kembali, apalah sangat sumbangan saya sebelum ini bersama CYS. Tapi pemilihan mengikuti kaedah Syura oleh ahli-ahli jawatankuasa tertinggi CYS telah sebulat suara memilih saya bagi menyandang jawatan ini. Saya juga pasti ini amanah dari Allah. Tiada sebab untuk saya menolaknya. Tapi dalam masa saya saya sedikit dilema. Bagaimana harus saya menerajui kepimpinan ini dengan baik kelak?

        Sungguh ini pertama kali saya berada dalam kepimpinan yang saya rasakan sangat-sangat serius dan mencabar. Sedangkan ketika disekolah dahulu saya seorang yang pasif dalam aktiviti berpesatuan apatah lagi dalam bidang kepimpinan. Seingat saya, penglibatan dalam kepimpinan yang pernah saya sandang pun hanya sebagai Ketua Kelas pada Darjah 5 dan Tingkatan 2. Itupun semasa majlis pelantikan dan pembacaan ikrar bagi perlantikan ketua kelas ketika menengah dulu saya dengan sengaja tidak hadir semasa perhimpunan hanya kerana sifat pemalu saya serta keyakinan diri  yang rendah.

     Saya ingat dengan satu hadith ini yang berbunyi:

Rasulullah S.A.W bersabda: "Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ianya akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ianya sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya." (Riwayat Al Bukhari)

      Pesanan cinta dari Rasulullah ini cukup merisaukan hati saya. Bercita-cita untuk satu jawatan itu bukanlah keinginan saya. Saya lebih selesa dan suka menjadi pelajar biasa. Kerana saya tahu beratnya tugas sebagai seorang pemimpin. Tapi ini juga merupakan satu amanah. Pantang menyerah sebelum berjuang. Niat saya dulu menyertai CYS pun sekadar ingin jadi ahli biasa dan kerana ramainya insan soleh yang berada dibawah kelab ini maka saya juga ingin menyertainya. Tapi hari ini semuanya telah berubah sekelip mata. Saya merancang dengan cita-cita dan harapan. Allah merancang dengan cintaNya.

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik." (Al Ankabut :69)

      Saya yakin pemilihan ini merupakan pemilihan dari Allah. Bukan semata kerana Syura mereka. Tapi Allah lah yang telah tetapkan hati mereka untuk memilih saya menduduki jawatan ini. Saya yakin Dia telah pilih saya. Saya yakin Dia tidak akan menguji hambaNya itu dengan apa sahaja ujian melainkan HambaNya itu sebenarnya mampu untuk melaluinya. Tinggal kita sahaja yang pilih bagaimana harus menghadapi ujian-ujian itu. Sentiasa ada dua jalan. Pilihlah jalan yang terbaik. InsyaAllah mintalah selalu petunjuk dariNya. Saya tahu Allah ada bersama saya. 

       Saya amat mengharapkan sokongan dan dorongan dari para pembaca. Doa kalian merupakan hadiah terbaik buat saya. Juga buat ahli-ahli CYS yang bakal baca entry ini. Saya bukanlah yang terbaik dari kalangan kamu, juga bukanlah yang paling soleh diantara kamu. Jika yang saya bawa itu benar maka patuh dan ikutilah. Namun jika yang saya bawa itu salah maka tegurlah atau jika saya sudah tidak berkemampuan lagi maka sila beritahu pada saya lalu dengan rela hati saya akan melepaskan jawatan ini kepada yang lebih layak insyaAllah.

           Isnin ini insyaAllah saya akan mulakan gerak kerja yang pertama. Semoga langkah kanan. Sekali lagi, jangan lupa doakan saya. Jazakumullahu Khairan Katsira.

Wallahu Waliyyut Taufiq

Wednesday 9 January 2013

Kisah Imam Hambali Dengan Wanita Muda Si Pemintal Benang

Pada suatu hari itu, datanglah seorang wanita muda menghadap Imam Hambali dengan gundah gulana. Dia datang agar diberi suatu fatwa: "Wahai Imam Hambali dengarlah kisahku ini. Semoga dirimu dan diriku dapat keampunan dari Allah."

Kemudian dia terdiam sejenak mengambil nafas yang panjang sebelum memulakan bicara: "Sesungguhnya saya ini perempuan yang miskin. Saya tidak mempunyai apa-apa kecuali tiga orang anak yang masih kecil. Hidup saya sungguh melarat, hingga kami tidak mempunyai lampu untuk menerangi rumah."

Sambungya lagi: "Untuk membiayai hidup kami anak-beranak, saya bekerja sebagai pemintal benang. Saya akan memintal pada waktu malam dan akan menjualnya pada siang hari."

Setelah sekian lama Imam Hambali terdiam sambil fokus dengan apa yang wanita itu utarakan lalu dia berkata: "Dimanakah suami puan?

Jawab wanita itu: "Dia syahid ketika menentang pemerintahan Khalifah Al Mustakim yang zalim itu. Semenjak itu hidup kami melarat."

"Teruskan ceritamu", pinta Imam Hambali.

 "Kerana rumah kami tiada lampu, maka saya terpaksa menunggu sampai bulan purnama barulah saya boleh memintal benang," kata wanita itu.

Kemudian dia menyambung lagi ceritanya: "Pada suatu malam, ada kafilah dagang dari Syam datang lalu singgah bermalam dekat dengan tempat tinggal kami. Mereka membawa lampu yang banyak sehingga cahayanya sampai menerangi rumah kami. Saya mengambil kesempatan itu untuk bekerja memintal benang dibawah cahaya lampu mereka. Sekarang pertanyaan saya adakah hasil jualan benang yang saya pintal dibawah cahaya lampu kafilah itu, halal untuk saya gunakan?"

Imam Hambali berasa kagum dengan wanita itu lalu bertanya, "Siapakah engkau wahai wanita muda yang sangat berfikir tentang hukum agama disaat Umat Islam lalai dan kikir terhadap harta mereka?"

Dengan nada rendah wanita itu menjawab: "Saya adalah adik perempuan kepada Basyar Al Hafidz yang meninggal dunia." Mendengar jawapan wanita muda itu, Imam Hambali menangis hingga janggutnya basah dek air mata yang berjurai.


 Imam Hambali sangat mengenali Basyar Al Hafidz, seorang gabenor yang beriman dan beramal soleh. Setelah tangisannya reda, maka Imam Hambali pun berkata: "Sesungguhnya saya takut pada azab Allah. Kerana itu, berilah saya waktu untuk menjawab pertanyaan puan itu. Silalah kembali kerumahmu dan besok datang kesini lagi."


Imam Hambali memang tak berkehendak dalam menjawab suatu persoalan terburu-buru apatah lagi yang berkenaan soal Halal dan Haram.

Pada malam itu, beliau berdoa, bermunajat serta memohon petunjuk dari Allah S.W.T.

  

Keesokan harinya, wanita muda itu datang lagi untuk mendengar jawaban dari Imam Hambali.

"Wahai wanita solehah. Sesungguhnya kain penutup muka yang engkau pakai itu lebih mulia dari serban yang aku pakai ini. Kami ini tidak layak untuk disamakan dengan orang tua yang telah mendahului kita. Sesungguhnya kamu seorang wanita yang berhati luhur, bertakwa dan penuh rasa takut kepada Allah", dengan rendah hatinya Imam Hambali berkata hingga hampir menangis lagi.

  

"Wahai Tuan Imam Hambali. Bagaimana dengan pertanyaan saya semalam?" Desak wanita muda itu.

"Berkenaan pertanyaanmu, sekiranya engkau tidak mendapat keizinan dari rombongan kafilah dagang itu, maka tidak Halal bagimu untuk menggunakan wang dari hasil jualan benang itu," jawab Imam Hambali.

Wanita itu tiba-tiba rasa berdosa. Lalu dia cuba kejar semula rombongan kafilah yang telah beransur pergi itu. Dia sanggup menemui mereka seorang demi seorang bagi memohon maaf dan meminta keizinan untuk menggunakan cahaya lampu dari lampu yang dibawa oleh kafilah itu agar rezeki yang diperolehinya menjadi Halal dan penuh berkat.

Tetapi sayang seribu kali sayang kerana kafilah itu telah beransur pergi dan berlalu jauh. Tampaknya usaha wanita muda itu untuk mengejar mereka menemui jalan buntu. Wanita muda itu berasa sangat kecewa. Berita tentang wanita muda itu sampai kepada pengetahuan Khalifah Al Mutawakkil. Khalifah baru yang baik dan beramal soleh. Beliau sangat kagum dengan wanita itu lalu memberinya wang sebanyak 10 ribu dinar.

Wanita muda itu kembali menemui Imam Hambali sekali lagi lalu bertanya tentang hadiah berupa wang dari khalifah: "Adakah wang ini Halal bagi saya dan anak-anak saya?"

"Khalifah juga pernah memberikan wang sebanyak itu kepada saya tetapi saya serahkan semuanya kepada fakir miskin yang saya temui dijalanan ketika ingin pulang," jawab Imam Hambali.

Akhirnya wanita muda itu pun mengikuti jejak Imam Hambali tersebut. Dia memberikan semua wang itu kepada fakir miskin.


       InsyaAllah inilah adalah satu kisah benar ketika zaman Imam Hambali dengan seorang wanita muda yang mulia. Antara motivasi yang dapat diambil daripada kisah ini ialah marilah kita sama-sama berusaha dan berwaspada agar rezeki yang kita perolehi adalah benar-benar dari sumber yang Halal.

     Ramai Muslim hari ini memandang sambil lewa soal ini. Kata diri itu Muslim, cinta Allah dan RasulNya, mengaku Islam tetapi hakikatnya? Mari sama-sama muhasabah. Kalau wanita itu masih ragu-ragu tentang Halal atau Haramnya rezeki yang diperolehinya hanya kerana mengambil sedikit cahaya lampu dari para kafilah Syam itu maka kita pula yang sering curi tulang semasa bekerja ini? Rasuah? Pinjaman yang terkandung riba? Nauzubillah.


Rasulullah S.A.W pernah bersabda: "Akan datang nanti suatu masa, orang-orang tidak peduli dari mana harta yang dihasilkannya, apakah dari jalan yang Halal atau dari jalan yang Haram." (Hadith Bukhari)

     Solehahnya wanita muda yang berpurdah itu hingga Imam Hambali berkata kain penutup muka wanita itu lebih baik dari serban yang dipakai olehnya. Masih adakah wanita semulia ini? InsyaAllah sebaik-baik perhiasan didunia adalah wanita solehah yang sentiasa takut pada Allah, berilmu dan berakhlak mulia.  

InsyaAllah semoga para pembaca dapat mengambil ibrah dari kisah ini.

Wallahu Waliyyut Taufiq

Sunday 6 January 2013

Akhirnya Aku Sedar...Aku Da'ei

        
Shoutul Harokah - Bingkai Kehidupan (Nasyid Indonesia)



      Masa mula-mula berjinak dengan Islam pada dua tahun lepas setelah dikurniakan dengan kenikmatan Hidayah. Tenangnya hati bila berzikir. Tunduknya nafsu yang bergelocak bila menikmati puasa. Rasa dekatnya Allah bila sedang sujud (solat).

        Pada masa itu kefahaman saya mengenai Islam masih tidak meluas. Bagi saya pada masa itu, Islam dah cukup sempurna bila kita dah khatam semua seperti yang termaktub dalam buku PAFA yang kita pelajari di sekolah menengah dulu yakni perlaksanaan Fardhu Ain' seperti Bersuci, Solat Fardhu, Puasa Ramadhan, Tunaikan Zakat dan sebagainya yang terkandung dalam buku PAFA.

        Ceteknya pemikiran saya sehingga merasakan dah cukup baik sebagai seorang Muslim apabila:

Oohh Aku dah cukup Solat Lima Waktu ni. Dah jadi Insan yang cukup baik...

Belajar dekat U dapat 4flat memanjang. Aku Muslim baik ni..

Tadabbur sehelai dua muka surat setiap hari, hafal hadith...

Aurat aku dah tutup sempurna. Memang sempurnalah aku...

Puasa Ramadhan aku penuh. Bolehlah ni...

Dah mampu jejak Masjid okaylah ni...

Err kalau aku jadi baik mesti Allah murahkan rezeki. Nanti jadi senang lenang (kaya)...

Dah khatam Al Quran okaylah ni...



       Sehinggalah saya duduk berBulatan Gembira dengan sahabat-sahabat yang lain pada suatu hari ketika Murabbi saya membuka pemikiran saya dengan disematkan Fikriyyah Islamiyyah yang sahih melalui tarbiahnya terhadap saya dengan penuh kelembutan tapi tegas dan jelas. Akhirnya saya sedar tentang satu perkara. Seperti apa yang diturunkan buat Manusia sejagat yang beriman:

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: 'Sesungguhnya Aku hendak menjadikan di atas Muka Bumi itu seorang Khalifah' (Al Baqarah : 30)


       "Islam itu bukan sekadar disimpan didalam poket". Itulah kata-kata seorang pendakwah yang masih bermain-main didalam kepala saya. Selama ini saya telah menjumudkan pemikiran saya mengenai Islam. Saya tidak membuat pengajian dan penelitian yang mendalam mengenai Islam. Saya sangka dah solat, puasa, tutup aurat, tak buat jenayah maka saya dah cukup baik sebagai seorang penganut agama Islam. Tapi akhirnya saya sedar kita dilahirkan sebagai seorang Khalifah. Saya tak nak dicop sebagai Insan yang mementingkan diri di akhirat nanti. Nak masuk Syurga seorang diri. Nauzubillah!

       Khalifah yang dimaksudkan disini ialah yang membawa maksud Menegakkan Kebenaran Dan Mencegah Kemungkaran. Al Amr Bil Ma'ruf Wa Al-Nahy Anil Mungkar. Kita bertanggungjawab dalam menyebarkan Islam itu di serata pelusuk dunia semampu kita. Jikalau nak lebih mendalam lagi kita ini dilahirkan sebagai seorang Da'ei yakni seorang Pendakwah.

        Da'ei itu penyeru kepada Ummah agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Sebarkan segala kebaikan kepada sekalian alam. Bangkitkan Ummah yang semakin lesu dengan tipu daya dunia.

       Sewajibnya seorang Da'ei itu dalam berdakwah tapi dalam masa sama sentiasa didalam proses mentarbiah diri agar menjadi Insan yang lengkap dengan ilmu pengetahuan serta berakhlak mulia lalu bersiap siaga dalam membawa pembaikan kepada Ummah. Da'ei juga bukan sekadar berdakwah kepada masyarakat dan sahabat handai tetapi boleh juga buat keluarga tercinta.

        Da'ei juga tidak boleh terlalu asyik dengan dunia. Pernah saya berkata pada Murabbi saya Akhi Syafiq: "Bang, sungguh ana nak kereta BMW X6 tulah bila Allah dah murahkan rezeki ana nanti. Ana akan kerja bersungguh-sungguh" Lalu beliau jawab: "Boleh. Tiada salahnya akhi. Tapi enta takkan ada masa untuk agama Allah jika terlalu kejar kebaikan dunia. Bagaimana dakwah enta nanti? Minta jela nanti di Syurga. Bahkan lebih canggih dari BMW X6 tu akhi."



BMW X6 (Harga RM5++K - 1Juta keatas)


        Adakah perlu untuk bergelar Ustaz/Ustazah baru layak berdakwah? Saya teringat dengan kata-kata Imam Hassan Al Basri:

"Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti aku yang terbaik dari kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dari kalangan kamu. Karena aku juga pernah melampaui batas terhadap diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan."

         Ya tiada manusia yang sempurna di muka bumi ini. Bahkan seorang pelacur juga selayaknya berdakwah jika apa yang dia cakapkan itu perkara yang benar lagi penuh kebaikan.

"Janganlah engkau lihat siapa yang berkata, tetapi lihatlah apa yang ingin dia perkatakan." (Saidina Ali)
     
         Sejujurnya saya akui saya juga pernah melampaui batas terhadap diri sendiri. Bahkan mungkin pernah melampaui batas terhadap orang lain. Mengguris perasaan ibubapa, sahabat handai, guru. Ye mungkin ada. Cukuplah saya dengan Allah sahaja yang tahu. Boleh jadi para pembaca juga sama seperti saya. Tapi Allah sentiasa sediakan ruang dan peluang buat insanNya untuk  bertaubat dan berusaha jadi Insan yang lebih baik(soleh). Setelah itu kita fikirkan pula apa yang kita mampu lakukan buat orang lain. Jika ambil skop yang lebih luas, maka apa yang kita boleh lakukan buat Ummah.

"Hendaklah ada diantara kamu satu Ummah yang menyeru manusia kepada arah kebaikan. Menguatkuasakan syariat dan mencegah kemungkaran dan mereka adalah golongan yang beroleh kejayaan." (Ali Imran : 104)

       Saya rasa terpanggil dengan seruan Allah seperti ayat diatas itu. Apakah anda tidak terasa sama? Saya teringat sabda Rasulullah S.A.W yang berbunyi:

"Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekalian akan ditanya perihal kepimpinan kamu. Seorang Imam(ketua) adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Isteri adalah pemipin dalam rumahtangga dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang pembantu adalah pemimpin harta majikan dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang anak adalah pemimpin harta bapanya dan dia bertanggungjawab mengenai kepimpinannya. Maka setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya." (Hadith Bukhari & Muslim)

         Tapi sebelum kita keluar kepada Ummah dalam menyebarkan kebaikan marti kita lihat semula adakah kita sudah memiliki 10sifat (Muwasaffat) yang pernah disebut oleh Imam Hassan Al Banna agar kita mampu menjadi Muslim, hamba Allah, anak, sahabat dan yang paling penting Da'ei yang unggul:

  1. Aqidah yang sejahtera
  2. Ibadah yang Sahih
  3. Akhlak yang Mantap
  4. Mampu Bekerja
  5. Berpengetahuan luas
  6. Tubuh yang cergas
  7. Mampu melawan nafsu
  8. Teratur urusannya
  9. Sangat menghargai masa
  10. Bermanfaat kepada orang lain

         Cuba bayangkan jika 1, 2 dan 3 dari 10sifat itu kita dah gagal bagaimana kita nak berdakwah. Jadi ayuh para pembaca sekalian kita rajinkan diri dengan sentiasa duduk didalam proses mentarbiah diri agar menjadi Insan yang lebih baik lalu menjadi Insan yang bukan sahaja baik untuk diri sendiri malah buat orang lain.

        Akhir kata dari saya. Ayuh para pembaca yang dirahmati Allah sekalian. Marilah kita keluar kepada Ummah dengan menyeru akan kebaikan dan mencegah akan kemungkaran. Perangilah kezaliman itu habis-habisan. Tegakkanlah keadilan itu ditiang tertinggi. Takutlah kepada Allah. Selain daripada itu jangan sesekali kita benarkan. Kita adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan buat manusia insyaAllah.

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan buat kesejahteraan manusia." (Ali Imran : 10)

         Tidak lupa juga pesanan Murabbi saya kepada diri saya juga buat Para Da'ei diluar sana:

"Apabila Da'ie tidak menjaga hatinya maka rosaklah dirinya, terfitnahlah Islam kerananya dan runtuhlah dakwah di tangannya. Kejayaan dakwah bukanlah terletak pada kepandaian seorang Da'ie dalam berkata-kata, bukan pula pada paras rupa, bukan juga dengan aktif berpesatuan tetapi ianya terletak kepada keikhlasan dan kejernihan hatinya."

       InsyaAllah.

Wallahu Waliyyut Taufiq





      




         





Friday 4 January 2013

8 Bulan Bersama IKRAM

        


          Alhamdulillah Wa Syukurillah. Masih diberi kesempatan untuk menghirup udara segar di pagi tahun baru masihi 2013 baru-baru ini. Walaupun tengah sibuk memimpin adik-adik khas dari Sabak Bernam ketika menjadi salah seorang Fasilitator didalam program 1000 Jiwa 1 Hati yang diadakan di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah namun untuk mengambil masa seketika bagi muhasabah diri sepanjang tahun 2012 yang lalu tetap jua saya jalankan agar awal tahun ini menjadi satu titik permulaan dengan satu anjakan paradigma bagi menjadi insan yang lebih cemerlang dan berjaya di masa hadapan.

          Program 1000 Jiwa 1 Hati juga merupakan program terakhir saya bagi tahun lepas yang diadakan bersama Pertubuhan Ikram Malaysia dengan badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan yang lain. Alhamdulillah ruh bagi menghadapi tahun baru ini lebih jelas terasa. 

        Bagi saya mereka yang mengambil insiatif bagi meraikan tahun baru ini dengan membawa keluarga mereka sama ada mengikuti program seperti 1000 Jiwa 1 Hati, Diambang 13 di Stadium Shah Alam, mengikuti kuliah khas Sheikh Nurudin Al Banjari pada hari itu atau program-program ilmiah yang lain antara orang-orang yang berjaya dan lebih memahami tujuan hidup ini.

         InsyaAllah entry kali ini saya ingin menulis mengenai pengalaman saya bersama Pertubuhan Ikram Malaysia sepanjang tahun lepas. Pertubuhan Ikram Malaysia merupakan satu perbadanan dakwah, kebajikan dan tarbiah.  Jika tidak silap, saya telah menyertainya ketika penghujung bulan Mei tahun lepas. Saya mula kenal dengan NGO ini melalui seorang kakak yang sangat dihormati bergelar Jihad Umayrah (nama penanya di Facebook) (seorang aktivis dakwah yang sangat terkenal dengan 'doddles-nya' & blognya) semasa bekerja di perpustakaan kampus.

http://www.facebook.com/fatinadilah.jihadumayrahdua?fref=ts

http://fatinhambahina.blogspot.com/


          Setelah diajak untuk menyertai Usrah bawah NGO Ikram ini saya pun dengan tidak mengambil masa yang lama terus mempersetujui untuk mengikutinya. Kerana ketika itu saya sangat kehausan ilmu agama. Saya sedar bahawa ketika itu saya masih jumud dalam Fikrah Islamiyyah yang sebenarnya. Dan saya juga ingin memperhalusi lagi ilmu agama saya. Saya telah mengajak Akhi Helmy Manja saat itu untuk bersama-sama dengan saya.

          Tidak lama kemudian pertemuan dengan veteran-veteran NGO Ikram mula diatur. Akhirnya saya dipertemukan dengan Pak Long(Gelaran beliau dalam program IkramTeens) iaitu Pak Cik Hassan Unir selaku YDP Ikram daerah Batu juga dengan Pak Cik Kadir dan Pak Cik Omar. Saat itu saya dapat merasakan naluri kebapaan mereka serta seorang Da'ei yang tidak mengenal erti lelah saat bertaaruf dengan mereka semua.






          Dua minggu setelah itu, saya diajak pula untuk menyertai satu program yang diberi nama KBM iaitu program Keindahan Bersama Mu. Ketika itu program KBM bawah IkramTeens sedang dijalankan di Masjid Bangsar. Itulah pertama kali saya merasa menjadi seorang Fasilitator bersama Akhi Helmy Manja. Walaupun menjadi Fasi tapi muka saya turut basah dipenuhi air mata seperti adik-adik peserta kesan program tersebut. Dan saat itu jugalah kami mengenali Sang Murabbi tercinta kami iaitu naqib yang sangat-sangat dihormati. Akhi Syafiq Bin Ismail atau lebih dikenali sebagai Abang Deen. Ketika itu beliau juga sedang mengendalikan sepenuh masa program tersebut.

        Naqib saya ini kecil je orangnya. Tapi kecil-kecil cili padi. Ilmunya sangat tinggi. Dia berjaya mengisi balik Ruh Islam yang hakiki didalam diri saya ini. Ketika saya masih terkapai-kapai dalam mencari kebenaran. Alhamdulillah akhirnya Dia telah pertemukan pula dengan naqib saya ini agar menjadi antara asbab saya terus tsabat dalam cahaya kebenaran. Ialah saya baru sahaja setahun berhijrah ketika itu. Masih cetek ilmu saya. Saya amat memerlukan pembimbing saat itu. Jikalau saya anak murid dialah gurunya bagi mengenal si Sang Pencipta.

       

http://nickozulkarnain93.blogspot.com/2012/11/manisnya-hidayahakhirnya-aku-berubah.html


       Baru seminggu ber Usrah/Bulatan Gembira/Study Circle dengan Akhi Syafiq dan Akhi Helmy lalu Akhi Ayip pula datang menyusul. Sehingga tidak lama kemudian Akhi Umair dan Akhi Fadzly juga turut menyertai kami. InsyaAllah mereka inilah antara rijal-rijal yang akan membela agama Allah kelak. Menegakkan yang Hak serta menafikan yang Batil.

         MasyaAllah, bila kami berhalaqah Tuhan sahaja yang tahu perasaan kami. Menangis bersama, ketawa bersama sudah menjadi kebiasaan buat kami. Air mata yang berjurai didepan sahabat yang lain bukan kerana kami ini lelaki lembut tetapi kerana teringatkan serta rindu pada Sang Khaliq.  Membincangkan isu-isu yang berkaitan Islam itulah yang kami utamakan. Taddabur Al Quran, menghafal hadith-hadith baru yang sahih serta hasan. Izzahnya bersama mereka semua dibawah naungan Islam ini.

       Walaupun  baru sehari berpisah atau kekurangan salah seorang anggota, pasti kami sangat merindui. Itulah kuasa ukhuwah yang tercipta kerana Allah. Cinta antara sahabat yang sangat kukuh. Kami memang tidak boleh dipisahkan. Sangat menyayangi antara kami semua. Saya pasti, perasaan ini jugalah yang turut dirasai Para Sahabat bersama Rasulullah S.A.W ketika dahulu. Malah lebih hebat lagi!

      Bersama ahli usrah yang sangat dicintai. Kami berjaulah bersama menjelajah seluruh semenanjung Malaysia selain menghadiri pelbagai program. Pelbagai lagi aktiviti usrah yang kami jalani seperti rehlah, daurah dan sebagainya bagi membina semula tembok-tembok Islam didalam diri ini.

          Usrah itu mungkin bukanlah satu kewajiban. Mungkin juga bukan satu kemestian tetapi ianya boleh jadi satu keperluan buat kita mengharungi dunia ini insyaAllah. Kerana dengan Usrah boleh jadi kita sedang membina Fikrah Islamiyyah yang hakiki. Kita mengikuti Akidah yang Sahih. Juga menjalani amal ibadah yang sahih dengan disiplin-disiplin ilmu yang dituntut melalui pelbagai ruang ilmiah.

        Selain pelbagai program bersama IkramTeens saya juga turut menyertai pelbagai program yang diadakan bersama Ikram Batu bagi mendekati masyarakat. Bersama yang lain seperti pakcik-pakcik, Para Ummi juga Ikhwah Akhwat yang datang dari pelbagai IPTA/IPTS serta dari sektor pekerjaan yang berbeza lalu kami ke Flat-flat, rumah PPR bagi menyantuni masyarakat agar dekat dengan Islam dengan mempelbagaikan aktiviti. Kami juga mengadakan pelbagai program khas untuk ahli Ikram sendiri seperti Family Day dan sebagainya bagi mengeratkan lagi hubungan ukhuwah kami.

     InsyaAllah pada tahun ini juga saya berazam bagi mendirikan IkramSiswa IIC di International Islamic College Malaysia. Jika universiti lain seperti UIAM, USIM dan sebagainya ada Ikram Siswa. Maka IIC juga harus ada organisasinya. Doakan saya. InsyaAllah pelancaran IkramSiswa akan diadakan pada 19 Januari  2013 bertempat di dewan UNISEL, Shah Alam.

           "Yang Suci Itu Bukan Tiada Masa Silam, Yang Berdosa Itu Bukan Tiada Masa Hadapan". Inilah kata-kata yang sangat memberi motivasi pada saya bagi menjadi Insan yang terus ingin kembali kepada Tuhannya. Kerana sudah tiba masanya kita mengajak yang lain berhijrah bagi bersama-sama kita berjuang membela agama Allah. Tidak seharusnya Muslim itu terus dicemuh, dihina, diejek, dipandang rendah kerana dosa silamnya. Sudah tiba masanya kita mengajak mereka juga menjadi seorang Mukmin. Islam agama Rahmat. Bukan sekadar agama Menghukum.

         InsyaAllah saya seru agar semua para pembaca untuk bersama-sama saya bagi membela agama Allah serta menjadi hambaNya yang begitu bercita-cita tinggi terhadap SyurgaNya bukan DuniaNya. Tiada mati yang lebih mulia melainkan Syahid. Hidup ini hanya sementara. Akhirat itulah yang kekal selamanya. Jadi ayuh! Jika kita akan pergi meninggalkan dunia ini kelak maka marilah bersama-sama kita bercitakan Syahid kerana Allah.

Wallahu Waliyyut Taufiq