Warning:
Diharap bersabar baca artikel ini sebab panjang. Moga Allah
beri hidayah dan taufiq buat kita semua.
PROLOG
3 tahun lepas masa saya mula berhijrah. Awal-awal lagi saya
sudah dimomokkan dengan bahaya “WAHABI”. Hingga saya merasa takut akan sesiapa
yang mungkin wahabi itu. Saya diminta jangan sampai bertembung atau berkawan
dengan orang-orang wahabi. Fikiran saya telah dibentuk agar merasa takut akan
golongan wahabi. Walau hakikatnya saya tak tahu apakah sebenarnya yang ada dengan
wahabi. Apakah ianya lebih bahaya dari Syiah atau pemikiran ke arah Sekular
atau yang seangkatan dengannya.
Didalam masa sama sementara saya menunggu tarikh kemasukan
saya ke IPT, saya pun tanpa membuang masa mula bekerja di Pavilion. Rakan-rakan
sekerja waktu itu ramai yang tak solat. Minum arak dan sebagainya. Walau
pekerjaan saya saat itu sangat high-pressure sampai nak buang air pun payah.
Pemiliknya pula orang Cina Australia, saya tetap dengan prinsip saya untuk
menjaga solat. Dan majikan saya akhirnya benarkan. Membuatkan rakan-rakan
sekerja saya yang boleh dikata jahil dan tidak solat itu semua menghormati
prinsip saya itu. Solat awal waktu!
Suatu hari sewaktu saya rehat bersama-sama rakan sekerja
saya. Saya seperti biasa sangat suka kongsikan impian saya untuk memperdalami
ilmu agama. Maklumlah orang baru hijrah saat itu, sangat ‘excited’ jika perihal
agama. Mereka itu semua minta saya pergi ke Kedah. Kononnya disana ramai orang
alim. Masuk Maahad Tahfiz.
“Kau Nicko nanti jika ilmu kau dah tinggi sampai kau boleh
dengar burung berzikir tau. Meja kita ni pun nanti kau boleh dengar berzikir.
Belajar betul-betul je. Ilmu ni kadang-kadang jika tak belajar habis boleh jadi
gila. Jangan jadi macam kita orang, belajar sikit tarus berhenti. Tak perlu masuk
IPT macam UIA semua tu. Ramai orang wahabi.”
Saya semakin takjub. Dalam hati “wah hebat betul kalau
tinggi ilmu”. Walau didalam hati yang terdalam bermonolog “Tapi inikah yang
dituntut didalam agama sebenarnya?”. Ditambah lagi dengan UIA juga dimomokan
dengan ramai orang wahabi. Makin kusut kepala saya.
Masa silih berganti. Setelah hampir setahun belajar di
International Islamic College Malaysia. Akhirnya saya kenal dengan tarbiah.
Didalam usrah, fikrah saya dibentuk. Manhaj yang haq juga terbentuk. Saya mula
faham akan Manhaj Nabawiyyah/Sunnah. Apa yang paling penting sekali, saya perlu
bergerak sebarkan Islam.
Tibalah waktunya bila saya bukan sekadar tahu akan Islam.
Tapi saya benar-banar faham tuntutan yang diinginkan oleh Islam. Ilmu saya
makin bertambah. Saat itu bermulalah ujian dari Allah. Saya juga akhirnya
dilabel sebagai wahabi.
ADA APA DENGAN WAHABI?
Sebelum saya kongsikan wahabi ini merujuk kepada siapa? Saya
nak bawa pembaca memahami wahabi dari kaca mata masyarakat Muslim Malaysia
umumnya. Bagi sebahagian besar, gelaran wahabi dikenakan bagi sesiapa yang
tidak sependapat dengan mereka bermula dari masalah khilafiyyah lagi, tidak ikut secara penuh hukum fiqh didalam mazhab Syafie (kerana ada pendapat
Ulama’ lain yang lebih kuat contohnya) atau bermazhab Syafie’, berpegang dengan
Akidah Salaf, tidak berqasidah, lebih moderat, umumnya pelajar lepasan IPT di
Arab Saudi, Jordan. Ironinya di Eropah, Wahabi lebih merujuk kepada pengganas
Muslim.
Baiklah, wahabi sebenarnya merujuk kepada Sheikh Muhammad
Bin Abdul Wahab yang membebaskan tanah arab dari perkara bida’ah, syirik,
tahyul dan khurafat suatu ketika dahulu. Beliau merupakan ulama yang sangat
besar jasanya dalam pemurniaan akidah
pada saat itu. Antara Ulama yang sangat dekat dihati beliau saat itu
adalah Sheikh Ibn Taimiyyah dan Sheikh Ibn Qayyim yang lebih awal dimusuhi oleh
musuh-musuh Allah yang berjuang menghidupkan perkara bida’ah, tahyul, syirik
dan khurafat.
Namun diakui gerakan yang dipelopori oleh Sheikh Muhammad
Bin Abdul Wahab saat itu sedikit keras. Hingga membuatkan musuh-musuh beliau
sangat membencinya. Maka fitnah yang sangat merbahaya tercipta. Dari perkara
yang tiada akhirnya diadakan. Bahang fitnah itu terus sampai ke hari ini.
Antara fitnah yang paling tidak masuk akal adalah beliau
dituduh anti mazhab. Sedangkan beliau sendiri bermazhab Hanbali dalam
menjadikan fiqh didalam mazhab Hanbali sebagai rujukan. Dari segi akidah pula.
Beliau beraliran salaf.
Didalam akidah tauhid, sering gelaran wahabi bermula apabila
seseorang itu beriktikad bahawa “Allah istiwa’ diatas Arasy”. Sedangkan iktikad
ini juga dipegang sejak zaman Para Sahabat. Bukankah Para Sahabat yang paling
memahami urusan agama ini? Ulama Salaf. Bahkan kesemua Imam 4 Mazhab beriktikad
perkara yang sama. Jadi adakah mereka
yang hidup dizaman 3 generasi awal Islam adalah wahabi? Sedangkan Rasulullah
S.A.W sendiri lebih awal mengiktiraf mereka didalam hadithnya:
Rasulullah S.A.W bersabda:
“Sebaik-baik manusia adalah generasiku ( para sahabat )
kemudian generasi berikutnya (tabi’in) kemudian generasi berikutnya ( tabiu’t
tabi’in )”
(Hadits Bukhari &
Muslim)
Maka tidak hairan jika hari ini jemaah Ikhwanul Muslimin
yang berpusat di Mesir juga dituduh sebagai wahabi hanya kerana iktikad mereka
mengenai sifat Allah mengikuti Akidah Salaf. Ini diakui sendiri oleh
pengasasnya Imam Hassan Al Banna didalam kitabnya Risalah Ta’alim didalam bab
Usul 20:
Usul Ke-10
“Mengenal Allah, mentauhid dan membersihkan-Nya daripada
sesuatu yang menyekutui-Nya adalah akidah yan paling tinggi dalam Islam. Ayat
Al-Quran dan hadith yang menyentuh sifat-sifat Allah hendaklah kita terima
tanpa melakukan tafsiran dan takwilan. Kita jauhi perselisihan ulama dalam
masalah ini. Kita berpada dengan apa yang telah diterima pakai oleh Rasulullah
S.A.W dan Para Sahabat.”
Siapa Yang Bertanggungjawab Akan Momokan Ini?
Seperti yang saya kongsikan awal tadi, selalunya yang akan
melabel orang lain wahabi di Malaysia ini apabila ada perkara yang tidak
sependapat dengan mereka bermula dari masalah khilafiyyah lagi, tidak bermazhab
Syafie’, memegang kuat Akidah Salaf, tidak minat berqasidah (sebab banyak bait qasidah burdah yang mengandungi perkara syirik dan khurafat serta ada baitnya yang ghuluw dalam memuji Rasulullah S.A.W), lebih moderat,
pelajar lepasan IPT di Arab Saudi dan Jordan secara umumnya. Namun sebenarnya, ada ‘tangan’
disebalik kekacauan ini yang bertanggungjawab dalam menghidupkan momokan wahabi
ini.
Mereka adalah golongan yang pernah disebut oleh Sheikh Yusuf
Al Qaradhawi:
Semenjak beberapa tahun yang lalu aku (Dr. Yusuf
al-Qaradhawi) ada mendengar tentang satu jamaah yang zahir di Lubnan, ia
menimbulkan masalah kepada umat Islam di Lubnan dengan pandapat-pendapat yang
pelik dan menyeleweng dan pandangan-pandangan yang merbahaya dalam persoalan
aqidah, fiqh dan akhlak. Sehingga mereka menggugurkan kewajipan zakat bagi
individu yang memiliki sampinan wang yang banyak dari matawang kertas yang
digunakan pada hari ini, mereka juga mengharuskan wang tersebut berurusan
dengan riba, mereka mendakwa matawang kertas bukanlah matawang yang syar'ie
yakni bukan Emas dan Perak. Mereka mengharuskan orang yang memakan bawang atau
meletakkannya di dalam poket tidak menunaikan solat Jumaat, dan mereka
mengharuskan percampuran antara lelaki dan perempuan tanpa batas.
Dan yang lebih dahsyat bahayanya apabila mereka mengkafirkan
setiap orang yang berbeza dengan mereka dari kalangan umat Islam hari ini atau
yang dahulu. Mereka mengkafirkan Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyyah, anak muridnya
Al-Imam Ibn al-Qayyim, dan sesiapa yang mengikut dua orang tokoh ini seperti
Mujaddid Tauhid di al-Jazirah al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab, sepertimana
mereka mengkafirkan ramai dari ulama semasa seperti al-'Allamah al-Syeikh
'Abdul 'Aziz bin Baz, Pemikir Islam Syed Qutb, dan selainnya. Aku
(Al-Qaradhawi) telah menyebut di dalam buku-ku (al-Sofwah al-Islamiyyah Baina
al-Juhud wa al-Tatorruf) bahawa terjatuh ke dalam lubang menghukum kafir adalah
tanda-tanda yang paling serius terhadap pemikiran ekstrim dan melampau dalam
beragama.
Golongan Ahbash yang pelampau dan penyeleweng ini mendakwa
mereka adalah dari mazhab al-Imam Abi al-Hasan al-'Asy'ariy di dalam aqidah,
dan mazhab al-Imam al-Syefie di dalam Fiqh, dan mengikut tarikat al-Rifa'iyyah
di dalam berakhlak. Akan tetapi hakikatnya mereka mereka amat jauh dari manhaj
para imam ini kesemuanya samaada dalam pemikiran, adab dan akhlak.
Kumpulan ini yang mulanya timbul di Lubnan, dinamakan
sebagai al-Ahbash, kerana tuan milik dakwah mereka dan pemegang bendera mereka
adalah seorang lelaki dari Habashah berasal dari Harara, dia mendakwa dakwahnya
ini adalah dakwah yang baharu, yang hasrat utamanya ialah memecah belakkan
kesatuan umat Islam, mengucar-kacirkan mereka dan menyalakan api fitnah antara
barisan umat Islam dan menghalang setiap usaha untuk membantu perkembangan
agama ini.
(Fatawa al-Muasarah.
Cet ke-3 (2003), Dar al-Qalam, Jld 3, ms: 685-686)
Juga disebut oleh Sheikh Dr. Wahbah Al Zuhaili:
Ingin saya katakan bahawasanya mereka yang sering dituduh
wahabi di Malaysia ini. Demi Allah setakat apa yang saya lihat dan kenal. Mereka amat
mencintai majlis ilmu. Sangat mencintai ilmu hadith. Amanah dalam penyampaian
sesuatu disiplin ilmu didalam Islam. Sangat menjaga sunnah. Terlalu ingin
menjejaki jejak Para Salafussoleh kerana mereka sangat yakin generasi inilah
yang terbaik dalam memahami Islam. Malah telah diiktiraf awal oleh Rasulullah
S.A.W. Maka dengan itu mengikuti jejak langkah Salafussoleh menjamin diri kita
diatas jalan yang lurus.
Jadi Siapakah Wahabi Hari Ini Sebenarnya?
Wahabi secara khususnya di Malaysia ini adalah mereka yang
berpegang dengan Manhaj Salaf. Ahlul Sunnah/Ahlul Hadith. Golongan yang sangat amanah dalam menjaga dan
menyebarkan sunnah. Tak perlu pun sebenarnya akan gelaran ‘wahabi’ itu sendiri.
Kerana hakikatnya mereka Muslim yang tak perlukan label seperti itu.
Siapa Yang Selalu Termakan Momokan Wahabi?
Mengikut pengalaman saya sendiri. Mereka yang selalu mudah
terpengaruh dengan momokan wahabi ini umumnya adalah mereka yang baru
berhijrah. Boleh juga orang yang jahil atau malas menuntut ilmu. Atau mereka
yang mengikuti jalan selain dari jalan Salafussoleh dalam memahami intipati
Islam.
Nasihat Saya Kepada
Mereka Yang Baru Berhijrah:
Saya memahami semangat nak belajar Muslim mahupun Muslimah
yang baru berhijrah jika perihal agama. Saya juga pernah melalui semua perkara
itu seperti anda. Saya sekadar ingin mengajak kepada semua untuk berpegang dengan
prinsip ini:
“Memahami intipati
Islam seperti mana Rasulullah S.A.W bawa dan Para Sahabat FAHAM”
Islam tidak sekadar memerintahkan kita untuk memuji dan selawat keatas Rasulullah S.A.W dan berzikir sepanjang masa. Bukanlah tidak penting. Tapi ianya baru satu juzu didalam Islam itu sendiri. Namum alangkah indahnya jika umat Islam itu sendiri rajin dan bermujahadah dalam menuntut ilmu agar keluar dari kepompong kejahilan apatah lagi terus merasa diri sudah lebih berilmu dari orang yang awal bermujahadah menuntut ilmu dengan pelbagai guru.
Dari Abu Umamah al Bahili r.a, katanya Rasulullah pernah bersabda:
"Kelebihan orang yang berilmu atas orang abid (orang yang rajin beribadah) adalah seperti kelebihanku atas orang yang paling rendah darjatnya dalam kalangan kamu."
(Riwayat At-Tirmidzi, Sahih)
Akhir sekali, saya menyarankan agar pembaca budiman rajin-rajinkan diri ke majlis ilmu khusus mengenai disiplin ilmu Al Quran (Tajwid, Qiraat, dll), Hadith (Ulum Hadith, dll), Sirah, Aqidah, Akhlak dan Fiqh. Dari majlis ilmu nantilah insyaAllah anda bukan sahaja tahu tapi akan memahami Islam dengan baik juga.