Tuesday 17 June 2014

Ada Apa Dengan Wahabi?


Warning:

Diharap bersabar baca artikel ini sebab panjang. Moga Allah beri hidayah dan taufiq buat kita semua.

PROLOG

3 tahun lepas masa saya mula berhijrah. Awal-awal lagi saya sudah dimomokkan dengan bahaya “WAHABI”. Hingga saya merasa takut akan sesiapa yang mungkin wahabi itu. Saya diminta jangan sampai bertembung atau berkawan dengan orang-orang wahabi. Fikiran saya telah dibentuk agar merasa takut akan golongan wahabi. Walau hakikatnya saya tak tahu apakah sebenarnya yang ada dengan wahabi. Apakah ianya lebih bahaya dari Syiah atau pemikiran ke arah Sekular atau yang seangkatan dengannya.

Didalam masa sama sementara saya menunggu tarikh kemasukan saya ke IPT, saya pun tanpa membuang masa mula bekerja di Pavilion. Rakan-rakan sekerja waktu itu ramai yang tak solat. Minum arak dan sebagainya. Walau pekerjaan saya saat itu sangat high-pressure sampai nak buang air pun payah. Pemiliknya pula orang Cina Australia, saya tetap dengan prinsip saya untuk menjaga solat. Dan majikan saya akhirnya benarkan. Membuatkan rakan-rakan sekerja saya yang boleh dikata jahil dan tidak solat itu semua menghormati prinsip saya itu. Solat awal waktu!

Suatu hari sewaktu saya rehat bersama-sama rakan sekerja saya. Saya seperti biasa sangat suka kongsikan impian saya untuk memperdalami ilmu agama. Maklumlah orang baru hijrah saat itu, sangat ‘excited’ jika perihal agama. Mereka itu semua minta saya pergi ke Kedah. Kononnya disana ramai orang alim. Masuk Maahad Tahfiz.

“Kau Nicko nanti jika ilmu kau dah tinggi sampai kau boleh dengar burung berzikir tau. Meja kita ni pun nanti kau boleh dengar berzikir. Belajar betul-betul je. Ilmu ni kadang-kadang jika tak belajar habis boleh jadi gila. Jangan jadi macam kita orang, belajar sikit tarus berhenti. Tak perlu masuk IPT macam UIA semua tu. Ramai orang wahabi.”

Saya semakin takjub. Dalam hati “wah hebat betul kalau tinggi ilmu”. Walau didalam hati yang terdalam bermonolog “Tapi inikah yang dituntut didalam agama sebenarnya?”. Ditambah lagi dengan UIA juga dimomokan dengan ramai orang wahabi. Makin kusut kepala saya.

Masa silih berganti. Setelah hampir setahun belajar di International Islamic College Malaysia. Akhirnya saya kenal dengan tarbiah. Didalam usrah, fikrah saya dibentuk. Manhaj yang haq juga terbentuk. Saya mula faham akan Manhaj Nabawiyyah/Sunnah. Apa yang paling penting sekali, saya perlu bergerak sebarkan Islam.

Tibalah waktunya bila saya bukan sekadar tahu akan Islam. Tapi saya benar-banar faham tuntutan yang diinginkan oleh Islam. Ilmu saya makin bertambah. Saat itu bermulalah ujian dari Allah. Saya juga akhirnya dilabel sebagai wahabi.

ADA APA DENGAN WAHABI?

Sebelum saya kongsikan wahabi ini merujuk kepada siapa? Saya nak bawa pembaca memahami wahabi dari kaca mata masyarakat Muslim Malaysia umumnya. Bagi sebahagian besar, gelaran wahabi dikenakan bagi sesiapa yang tidak sependapat dengan mereka bermula dari masalah khilafiyyah lagi, tidak ikut secara penuh hukum fiqh didalam mazhab Syafie (kerana ada pendapat Ulama’ lain yang lebih kuat contohnya) atau bermazhab Syafie’, berpegang dengan Akidah Salaf, tidak berqasidah, lebih moderat, umumnya pelajar lepasan IPT di Arab Saudi, Jordan. Ironinya di Eropah, Wahabi lebih merujuk kepada pengganas Muslim.

Baiklah, wahabi sebenarnya merujuk kepada Sheikh Muhammad Bin Abdul Wahab yang membebaskan tanah arab dari perkara bida’ah, syirik, tahyul dan khurafat suatu ketika dahulu. Beliau merupakan ulama yang sangat besar jasanya dalam pemurniaan akidah  pada saat itu. Antara Ulama yang sangat dekat dihati beliau saat itu adalah Sheikh Ibn Taimiyyah dan Sheikh Ibn Qayyim yang lebih awal dimusuhi oleh musuh-musuh Allah yang berjuang menghidupkan perkara bida’ah, tahyul, syirik dan khurafat.

Namun diakui gerakan yang dipelopori oleh Sheikh Muhammad Bin Abdul Wahab saat itu sedikit keras. Hingga membuatkan musuh-musuh beliau sangat membencinya. Maka fitnah yang sangat merbahaya tercipta. Dari perkara yang tiada akhirnya diadakan. Bahang fitnah itu terus sampai ke hari ini.

Antara fitnah yang paling tidak masuk akal adalah beliau dituduh anti mazhab. Sedangkan beliau sendiri bermazhab Hanbali dalam menjadikan fiqh didalam mazhab Hanbali sebagai rujukan. Dari segi akidah pula. Beliau beraliran salaf.

Didalam akidah tauhid, sering gelaran wahabi bermula apabila seseorang itu beriktikad bahawa “Allah istiwa’ diatas Arasy”. Sedangkan iktikad ini juga dipegang sejak zaman Para Sahabat. Bukankah Para Sahabat yang paling memahami urusan agama ini? Ulama Salaf. Bahkan kesemua Imam 4 Mazhab beriktikad perkara yang sama.  Jadi adakah mereka yang hidup dizaman 3 generasi awal Islam adalah wahabi? Sedangkan Rasulullah S.A.W sendiri lebih awal mengiktiraf mereka didalam hadithnya:

Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sebaik-baik manusia adalah generasiku ( para sahabat ) kemudian generasi berikutnya (tabi’in) kemudian generasi berikutnya ( tabiu’t tabi’in )”

 (Hadits Bukhari & Muslim)

Maka tidak hairan jika hari ini jemaah Ikhwanul Muslimin yang berpusat di Mesir juga dituduh sebagai wahabi hanya kerana iktikad mereka mengenai sifat Allah mengikuti Akidah Salaf. Ini diakui sendiri oleh pengasasnya Imam Hassan Al Banna didalam kitabnya Risalah Ta’alim didalam bab Usul 20:

Usul Ke-10

“Mengenal Allah, mentauhid dan membersihkan-Nya daripada sesuatu yang menyekutui-Nya adalah akidah yan paling tinggi dalam Islam. Ayat Al-Quran dan hadith yang menyentuh sifat-sifat Allah hendaklah kita terima tanpa melakukan tafsiran dan takwilan. Kita jauhi perselisihan ulama dalam masalah ini. Kita berpada dengan apa yang telah diterima pakai oleh Rasulullah S.A.W dan Para Sahabat.”

Siapa Yang Bertanggungjawab Akan Momokan Ini?

Seperti yang saya kongsikan awal tadi, selalunya yang akan melabel orang lain wahabi di Malaysia ini apabila ada perkara yang tidak sependapat dengan mereka bermula dari masalah khilafiyyah lagi, tidak bermazhab Syafie’, memegang kuat Akidah Salaf, tidak minat berqasidah (sebab banyak bait qasidah burdah yang mengandungi perkara syirik dan khurafat serta ada baitnya yang ghuluw dalam memuji Rasulullah S.A.W), lebih moderat, pelajar lepasan IPT di Arab Saudi dan Jordan secara umumnya. Namun sebenarnya, ada ‘tangan’ disebalik kekacauan ini yang bertanggungjawab dalam menghidupkan momokan wahabi ini.

Mereka adalah golongan yang pernah disebut oleh Sheikh Yusuf Al Qaradhawi:

Semenjak beberapa tahun yang lalu aku (Dr. Yusuf al-Qaradhawi) ada mendengar tentang satu jamaah yang zahir di Lubnan, ia menimbulkan masalah kepada umat Islam di Lubnan dengan pandapat-pendapat yang pelik dan menyeleweng dan pandangan-pandangan yang merbahaya dalam persoalan aqidah, fiqh dan akhlak. Sehingga mereka menggugurkan kewajipan zakat bagi individu yang memiliki sampinan wang yang banyak dari matawang kertas yang digunakan pada hari ini, mereka juga mengharuskan wang tersebut berurusan dengan riba, mereka mendakwa matawang kertas bukanlah matawang yang syar'ie yakni bukan Emas dan Perak. Mereka mengharuskan orang yang memakan bawang atau meletakkannya di dalam poket tidak menunaikan solat Jumaat, dan mereka mengharuskan percampuran antara lelaki dan perempuan tanpa batas.

Dan yang lebih dahsyat bahayanya apabila mereka mengkafirkan setiap orang yang berbeza dengan mereka dari kalangan umat Islam hari ini atau yang dahulu. Mereka mengkafirkan Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyyah, anak muridnya Al-Imam Ibn al-Qayyim, dan sesiapa yang mengikut dua orang tokoh ini seperti Mujaddid Tauhid di al-Jazirah al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab, sepertimana mereka mengkafirkan ramai dari ulama semasa seperti al-'Allamah al-Syeikh 'Abdul 'Aziz bin Baz, Pemikir Islam Syed Qutb, dan selainnya. Aku (Al-Qaradhawi) telah menyebut di dalam buku-ku (al-Sofwah al-Islamiyyah Baina al-Juhud wa al-Tatorruf) bahawa terjatuh ke dalam lubang menghukum kafir adalah tanda-tanda yang paling serius terhadap pemikiran ekstrim dan melampau dalam beragama.

Golongan Ahbash yang pelampau dan penyeleweng ini mendakwa mereka adalah dari mazhab al-Imam Abi al-Hasan al-'Asy'ariy di dalam aqidah, dan mazhab al-Imam al-Syefie di dalam Fiqh, dan mengikut tarikat al-Rifa'iyyah di dalam berakhlak. Akan tetapi hakikatnya mereka mereka amat jauh dari manhaj para imam ini kesemuanya samaada dalam pemikiran, adab dan akhlak.
Kumpulan ini yang mulanya timbul di Lubnan, dinamakan sebagai al-Ahbash, kerana tuan milik dakwah mereka dan pemegang bendera mereka adalah seorang lelaki dari Habashah berasal dari Harara, dia mendakwa dakwahnya ini adalah dakwah yang baharu, yang hasrat utamanya ialah memecah belakkan kesatuan umat Islam, mengucar-kacirkan mereka dan menyalakan api fitnah antara barisan umat Islam dan menghalang setiap usaha untuk membantu perkembangan agama ini.

 (Fatawa al-Muasarah. Cet ke-3 (2003), Dar al-Qalam, Jld 3, ms: 685-686)

Juga disebut oleh Sheikh Dr. Wahbah Al Zuhaili:



Ingin saya katakan bahawasanya mereka yang sering dituduh wahabi di Malaysia ini. Demi Allah setakat apa yang saya lihat dan kenal. Mereka amat mencintai majlis ilmu. Sangat mencintai ilmu hadith. Amanah dalam penyampaian sesuatu disiplin ilmu didalam Islam. Sangat menjaga sunnah. Terlalu ingin menjejaki jejak Para Salafussoleh kerana mereka sangat yakin generasi inilah yang terbaik dalam memahami Islam. Malah telah diiktiraf awal oleh Rasulullah S.A.W. Maka dengan itu mengikuti jejak langkah Salafussoleh menjamin diri kita diatas jalan yang lurus.

Jadi Siapakah Wahabi Hari Ini Sebenarnya?

Wahabi secara khususnya di Malaysia ini adalah mereka yang berpegang dengan Manhaj Salaf. Ahlul Sunnah/Ahlul Hadith. Golongan yang sangat amanah dalam menjaga dan menyebarkan sunnah. Tak perlu pun sebenarnya akan gelaran ‘wahabi’ itu sendiri. Kerana hakikatnya mereka Muslim yang tak perlukan label seperti itu.

Siapa Yang Selalu Termakan Momokan Wahabi?

Mengikut pengalaman saya sendiri. Mereka yang selalu mudah terpengaruh dengan momokan wahabi ini umumnya adalah mereka yang baru berhijrah. Boleh juga orang yang jahil atau malas menuntut ilmu. Atau mereka yang mengikuti jalan selain dari jalan Salafussoleh dalam memahami intipati Islam.

Nasihat Saya Kepada Mereka Yang Baru Berhijrah:

Saya memahami semangat nak belajar Muslim mahupun Muslimah yang baru berhijrah jika perihal agama. Saya juga pernah melalui semua perkara itu seperti anda. Saya sekadar ingin mengajak kepada semua untuk berpegang dengan prinsip ini:

“Memahami intipati Islam seperti mana Rasulullah S.A.W bawa dan Para Sahabat FAHAM”

Islam tidak sekadar memerintahkan kita untuk memuji dan selawat keatas Rasulullah S.A.W dan berzikir sepanjang masa. Bukanlah tidak penting. Tapi ianya baru satu juzu didalam Islam itu sendiri. Namum alangkah indahnya jika umat Islam itu sendiri rajin dan bermujahadah dalam menuntut ilmu agar keluar dari kepompong kejahilan apatah lagi terus merasa diri sudah lebih berilmu dari orang yang awal bermujahadah menuntut ilmu dengan pelbagai guru. 

Dari Abu Umamah al Bahili r.a, katanya Rasulullah pernah bersabda:

"Kelebihan orang yang berilmu atas orang abid (orang yang rajin beribadah) adalah seperti kelebihanku atas orang yang paling rendah darjatnya dalam kalangan kamu."

(Riwayat At-Tirmidzi, Sahih)

Akhir sekali, saya menyarankan agar pembaca budiman rajin-rajinkan diri ke majlis ilmu khusus mengenai disiplin ilmu Al Quran (Tajwid, Qiraat, dll), Hadith (Ulum Hadith, dll), Sirah, Aqidah, Akhlak dan Fiqh. Dari majlis ilmu nantilah insyaAllah anda bukan sahaja tahu tapi akan memahami Islam dengan baik juga.








Tuesday 27 August 2013

Ikhtilat Di Dalam Tanzim




Masalah ikhtilat bukanlah masalah yang baru.  Bahkan didalam tanzim atau biasa disebut sebagai organisasi sering terjadinya masalah ikhtilat yang tidak sihat antara lelaki dan wanita. Apatah lagi jika ianya terjadi didalam sebuah tanzim yang berasaskan Dakwah & Tarbiah sebagai gerak kerja utamanya. Sebelum kita menyentuh isu ini didalam konteks ikhtilat brothers & sisters didalam tanzim yang bergerak aktif di kampus. Ayuh kita menelusuri definisi ikhtilat dan sejarah Islam di awal kemunculannya.

Dari segi bahasa, ikhtilat bermaksud maramukan atau menggaul sesuatu dengan sesuatu yang lain yakni mencampurkannya. Dari segi syarak pula, ikhtilat bermaksud pencampuran antara lelaki dan wanita yang bukan mahramnya sama ada secara berkumpulan mahupun individu.

Jika dipandang pada sudut fiqh pula, hukum ikhtilat asalnya adalah haram melainkan adanya darurat dan hajat maka ada rukhsah (keringanan) untuk mengharuskan ikhtilat tersebut.

Seterusnya ayuh kita menelusuri sirah Baginda S.A.W pula. Rasulullah S.A.W sendiri ada berikhtilat dengan para wanita dalam keadaan yang perlu. Malah ikhtilat antara lelaki dan wanita dizaman baginda terjadi dengan luasnya secara normal tetapi terhormat. Antara hujahnya ialah:

Ummu Atiyyah berkata: "Saya telah menyertai Rasulullah S.A.W dalam tujuh siri peperangan. Ketika angkatan bergerak, saya berada dibarisan belakang. Tugas saya ialah menyediakan makanan, merawat mereka yang cedera serta menjaga mereka yang sakit." (Hadith Riwayat Muslim)

Abu Talhah berkata kepada Rasulullah S.A.W semasa perang Hunain: "Wahai Rasulullah ini Ummu Sulaim berserta bersamanya khanjar. Lalu Baginda berkata kepada Ummu Sulaim: "Khanjar apakah ini?" Ummu Sulaim menjawab: "Aku membawa khanjar bersamaku maka jika ada Musyrikin menghampiriku nescaya aku belah perutnya dengan ini" (Hadith Riwayat Muslim)

"Dan orang yang beriman lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setangah yang lain. Mereka menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran... (Surah At Taubah; 71)



Saya hanya kongsikan tiga. Hadith diatas itu antara salah satu dalil dimana ikhtilat dizaman Rasulullah berlaku. Ayat Quran diatas pula menunjukkan lelaki dan wanita itu saling bekerjasama menegakkan Amar Makruf Wa Nahi Mungkar. Dan banyak lagi riwayat yang menyatakan ikhtilat dizaman Rasulullah S.A.W berlaku. Tidak jumud seperti yang disangkakan sesetangah pihak. Namun sudah pasti ikhtilat itu berlaku dengan cara terhormat.

Situasi dizaman ini menyaksikan ikhtilat antara lelaki dan wanita berlaku dengan pesatnya. Sukar untuk dielak. Maka dengan berpandukan Al Quran & Sunnah, kita disarankan untuk mengatasinya dengan bijaksana.

Bagi siswa dan siswi yang bergerak aktif didalam kelab di kampus masing-masing. Jika dilihat dari sudut carta organisasi seperti biasa sudah pasti ada Pengerusi, Timb. Pengerusi, Naib Presiden, Setiausaha, Bendahari dan Biro-biro lainnya. Selalunya akan ada dari kalangan siswa dan siswi yang mengisi jawatan tersebut. Sudah pasti ikhtilat itu tidak dapat dielak. Kerana akan adanya mesyuarat, program, jamuan kelab dan sebagainya yang akan melibatkan kerjasama antara  lelaki dan wanita. Jadi disinilah Profesional Mukmin itu dituntut bagi setiap ahli.

Akhlak yang baik serta Iman & Takwa yang sentiasa dipasak akan dapat menjaga ikhtilat itu ke arah kebaikan. Adab-adab bertutur, pandangan mata, sensitif dengan suasana sekeliling serta profesional dalam berurusan akan menjamin pergerakan tanzim dan menghindar ikhtilat yang tidak sihat.

Selanjutnya, jika anda sudah tahu akan adanya urusan yang melibatkan lelaki dan wanita sehingga ikhtilat akan terjadi maka dari awal lagi jaga niat hanya kerana Allah, terus mengetahui matlamat anda hanyalah untuk membincangkan urusan yang mustahak, tidak berlakunya sentuhan fizikal, menutup aurat dengan sempurna, pengasingan tempat yang jelas agar tidak duduk saling berdekatan, jaga adab tutur kata dan amat digalakkan setiap urusan diketahui pihak yang lebih dewasa seperti penasihat kelab.




Antara tips-tips menjaga ikhtilat:


  • Mesyuaratlah berkumpulan dalam keadaan tertutup. Jarangkan mesyuarat antara lelaki dan wanita di tempat terbuka kerana akan mengundang fitnah mata yang memandang.
  • Jaga akhlak sepanjang berlakunya mesyuarat.
  • Menguasai adab-adab mesyuarat.
  • Minimumkan program-program yang melibatkan lelaki dan wanita secara bersama.
  • Berurusanlah sekadarnya hanya bila perkara-perkara yang melibatkan tanzim bukan peribadi.
  • Fatwa hati akan mengetahui keadaan sekeliling. Jika sudah mula rasa tidak selesa maka selesaikanlah segera urusan yang dibuat.
  • Amat tidak digalakkan lelaki & wanita berurusan berdua. Selalunya Ketua Biro dan Penolong Biro. Jika urusannya darurat pastikan di kawasan terbuka. Yang wanita disarankan membawa kawan.

Di era IT ini juga menyaksikan satu lagi inovasi minda yang tercapai. Bagi tanzim yang adakan 'meeting online' sama ada di facebook atau di laman sesawang mana pun cuba pastikan ianya berlaku dalam keadaan private. Tidak terdedah kepada umum. Dan jangan salah sangka. Sudah pasti ikhtilat didalam dunia maya juga perlu dijaga dengan sebaiknya. Jangan saat bersemuka, sopan santun orangnya. Namun bila mula berurusan didalam facebook, twitter dan sebagainya maka bermulalah galaknya.

Saya amat tidak setuju apabila adanya urusan yang perlu dibincangkan antara lelaki & wanita maka harus saling tidak memandang satu sama lain. Tertunduk-tunduk. Tutur katanya terlalu over dijaga hingga kadang-kadang suaranya tidak kedengaran. Itu bukanlah sifat malu yang dimaksudkan. 

Teladanilah Rasulullah S.A.W. Akhlaknya sempurna dan terpuji untuk diikuti. Baginda amat meraikan setiap umatnya sama ada dari kalangan lelaki dan wanita. Saat berurusan walaupun dengan wanita, Baginda amat menjaga etika ketika bercakap dengan orang dihadapannya dengan memandang wajahnya. Tidak tertunduk-tunduk. Para sahabiyat pada zaman itu pun bila berkata akan menghasilkan suara yang lantang dan jelas didengari. Tidak sayup-sayup kedenganran seperti kebanyakan Muslimah hari ini. Generasi Rasulullah S.A.W lah generasi terbaik untuk diikuti. Buat lelaki sudah pasti saat berurusan dengan wanita dinasihatkan agar menjaga pandangan mata. Hormatilah setiap wanita dihadapanmu.

Dalam kita berikhtilat. Bukan sahaja perlu menjaga mata insan sekeliling agar tidak tertimbulnya fitnah buat diri kita apatah lagi kepada tanzim. Jagalah maruah diri dan nama baik tanzim.

"Janganlah engkau mencampakkan diri sendiri kedalam ruang fitnah." (Saidina Umar Al Khattab) 

Dan yang paling penting sekali biarlah ikhtilat itu mendapat ganjaran disisi Allah S.W.T. Bukan murka Allah.

Wallahu Waliyyut Taufiq









Sunday 4 August 2013

Ikhwah Alien

Dah berapa lama sangat tak update entry. Ya Rabb moga Engkau kuatkan diri ini untuk istiqamah kembali pada bidang penulisan. InsyaAllah kali ini saya ingin kongsikan satu lagi kisah realiti. Ini bukan Ikhwah Jadian seperti yang pernah dikongsikan oleh Angel Pakai Gucci (Hehe jangan marah abang APG). Ini Ikhwah Alien. Jauh berbeza dengan apa yang ingin saya sampaikan dari entry ini. Demi Allah, kisah ini sebuah kisah benar. Saya percaya setiap individu pasti ada masalah keluarga yang dihadapinya. Namun saya ingin membawa satu sudut perspektif yang berbeza kepada para pembaca untuk menilai sendiri kehidupan realiti ini.

Ini kisah salah seorang rakan saya.  Saya namakannya sebagai Qais (bukan nama sebenar). Sejujurnya sangat perit juga ujian hidup yang dihadapinya. Apakah kita cukup kuat jikalau berada ditempatnya? Atau mungkin Allah itu menguji seseorang mengikut kemampuannya. SubhanaAllah, namun dia masih gagah dan kental menghadapi onak duri kehidupan. Baginya, ‘Ahh orang di Palestin lebih perit’!

Qais membesar dalam kalangan keluarga yang penuh dengan masalah. Masalah agama, kewangan, pendidikan, moral, maksiat & jenayah. Boleh dikatakan semua masalah itu ada di dalam keluarganya. Qais ada lima adik beradik. Qais merupakan anak kedua. Ada seorang abang. Bermula anak ketiga hingga akhir merupakan adik beradik tirinya. Semua lelaki kecuali adik terakhirnya adalah perempuan.  Pada mulanya boleh dikatakan Qais lahir didalam kalangan keluarga yang sangat kaya dan senang.  bapanya mampu menjana pendapatan sebanyak Rm 10k sehari. Dan mampu membelanjakan untuk Qais sahaja Rm 2k sehari. Melancong sana sini. MasyaAllah. Namun apakah pekerjaan bapanya?

Bapa Qais boleh digelar sebagai Penjenayah Antarabangsa. Sangat pakar dalam bidang samun. Hanya dengan menggunakan kereta Wira berwarna hitam, ayah serta geng samunnya mampu meraih Rm 50k sehari sebelum wang itu diagih-agihkan. Ayah Qais juga seorang pemabuk, penjudi, penghisap Syabu & Ganja (tonton filem Blow kalau nak hayati watak bapa Qais) dan kaki tonton wayang filem porno. Suatu ketika dahulu berlambak CD lucah, bekas botol arak dan ganja segar dirumah Qais. Semua itu sudah terbiasa di mata Qais.

Ibu Qais pula insan yang dari Non Muslim lalu revert (kembali) pada Islam setelah mengahwini bapanya. Namun bapa Qais tak pernah sedikit pun membimbing ibunya. Apakan tidak, bapanya huruf hijaiyah sahaja tidak tahu. Solat? Belum pernah sekali pun Qais melihat bapanya bersolat. Sama juga dengan mengaji Quran. Puasa? Ada sekali dua, itu pun ayahnya jadi seorang yang panas baran. Mungkin tidak tahan kerana terlalu lapar. Maknanya Ibunya memeluki Islam sekadar ingin mengahwini bapanya. Sangat kesian tiada pula yang ingin membimbing ibunya setelah bapa Qais menceraikan ibunya disaat kelahiran Qais dan mengahwini ibu tirinya.

Suatu hari itu, setelah aktiviti menyamun selesai. Salah seorang rakan bapa Qais dikejar polis. Kereta putih BMW yang dipandu rakan bapa Qais terbabas di jalan Bukit Antarabangsa lalu pihak polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah rakan bapa Qais sehingga rakan bapanya itu mati. Saat itu juga bapa Qais membuat keputusan untuk berhenti dari bidang penyamunan dan masuk ke dalam bidang perniagaan.

Pada mulanya bidang perniagaan yang dimulakan oleh bapanya berjalan dengan baik. Namun azab Allah itu hadir tidak beberapa lama kemudian. Mungkin hasil modal perniagaan  yang dimulakan dengan wang haram. Baki wang samun dahulu.  Juga maksiat yang terus menerus dilakukan bapanya seperti berjudi, minum arak dan hisap ganja sehingga Allah menurunkan azabNya dan menarik nikmatNya.
Perniagaan bapa Qais hancur. Ada sahaja badai yang mendatang hingga kerugian sahaja yang datang. Bukan keuntungan. Satu persatu harta yang dimiliki bapa Qais dijual, dipajak atau ditarik oleh pihak bank. Sehingaa bapa Qais benar-benar bankrap.  Tinggal keluarga Qais sebatang kara. Kais pagi makan pagi. Kais petang makan petang.

Ibu Tiri Qais pula mula dilanda tekanan jiwa. Mungkin kerana peritnya menanggung bebanan yang berpunca dari bapa Qais sendiri. Ibu tiri Qais pernah cuba memarangi bapa Qais mungkin kerana terlalu geram. Namun berjaya dipatahkan oleh abang Qais. Kalau tidak mungkin sekarang ini bapa Qais sudah menjadi arwah.

Setelah kesemua harta hilang. Bapa Qais meminta izin bekas isterinya yakni ibu kandung Qais untuk menumpang di rumah sewanya. Bukan dirinya sahaja. Namun satu keluarga. Bapa Qais, ibu tirinya serta adik beradik tirinya. MasyaAllah hebatnya ibu Qais. Ibu Qais terima kehadiran keluarga itu. Wanita mana yang sanggup?

Hampir setahun juga keadaan itu berlarutan. Bapa Qais terus menerus menjadi penganggur. Kesemua ditanggung oleh ibu Qais. Ada kalanya Bapa Qais membawa wang pulang ke rumah. Itu pun hasil kemenangan bermain judi. Atau menang lawan Chess.

Ibu Tiri Qais pula bertambah sakit. Tekanan jiwanya bertambah parah hingga akhirnya bapa Qais membuat keputusan menghantar ibu tiri Qais serta adik perempuannya juga anak paling bongsu yang berusia 4tahun hasil perkahwinan bapa Qais dengan ibu tirinya (sekarang 2013) ke kampung halaman.
Kini bapa Qais tinggal bersama rakannya yang masih membujang. Ibu Qais sudah tidak benarkan bapa Qais menetap dirumahnya. Kerana keadaan itu sungguh tidak baik. Dan bapanya masih terus menganggur. 

Ada sekali itu bapa Qais ingin membawa teksi. Namun bukanlah kerana ingin mencari rezeki sepenuhnya dengan teksi itu selain ada udang disebalik batu. Teksi itu dibiayai oleh seseorang yang ingin menjadikan bapa Qais sebagai seorang penghantar dadah menggunakan teksi itu. Itu peluang untuk bapa Qais menjadi kaya semula. Namun ditentang kuat oleh abang serta Qais sendiri. Bapa Qais juga akhirnya menarik diri dari terlibat dengan kancah itu. Kerana beliau masih sayangkan keluarganya. Sangat risau apa akan terjadi pada keluarganya jika beliau tertangkap. Qais sendiri pernah melihat dadah didepan matanya seberat beberapa kilogram, pistol dan wang sebanyak Rm800k didalam but teksi tersebut. Itu penghantaran bapanya yang pertama dan terakhir.

Bapa Qais juga pernah beberapa kali masuk kedalam lokap. Kerana ujian urinnya positif dadah.  Qaislah yang menguruskan bapanya di lokap. Berjumpa dengan polis itu dan polis ini untuk menjamin bapanya. Selalunya anak yang bermasalah. Jadi rempit dan sebagainya. Tapi situasi Qais sungguh berbeza. Terbalik pula jadinya.

Adik-adik Qais yang dua itu kini ditanggung sepenuhnya oleh Ibu Qais. Adalah juga bapa Qais bagi wang perbelanjaan. Namun sekadar jajan ke sekolah.  Itupu sangat jarang. Ibu Qais sudah menganggap adik-adik Qais seperti anak kandungnya. Sangat sayang kata Qais.

Dan yang klimaksnya saya ingin kongsikan akhirnya Qais diberi hidayah oleh Allah saat tamatnya sesi persekolahan di peringkat menengah. Kini beliau berada didalam IPTA. Qais dahulunya insan yang sangat jahil. Yela cuba bayangkan siapa yang ingin membimbingnya dengan Ilmu agama jika ayahnya sendiri sahaja sudah begitu? Namun Allah itu Maha Penyayang. Sangat kencang gerakan Dakwahnya di kampus. Tarbiahnya sungguh mantap. Memegang pelbagai jawatan kepimpinan di kampus. Dan masih terus menerus perbaiki diri. Tsabat duduk didalam Usrah. Beliaulah yang saya gelar sebagai “IKHWAH ALIEN”.  Seorang Mutarabbi juga Murabbi yang sangat berpotensi untuk Islam insyaAllah.
Qais masih terus berusaha keras berdakwah kepada keluarganya. Ibu yang sangat dicintainya terus menerus dibimbingnya. Adik-adiknya, Qais lah yang mengajar mengaji, solat dan sebagainya. Ibunya yang dulu ‘free-hair’ kini mula bertudung hasil tunjuk ajar Qais.

Walau siapapun ayah Qais. Hakikatnya Qais amat menyayangi bapanya. Qais berharap bapanya sempat diberi hidayah oleh Allah sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Ayuh kita sama-sama doakan untuk rakan saya itu. Saya harap para pembaca dapat tangkap apa yang sebenarnya ingin saya kongsikan dari kisah rakan saya ini. Ini bukan cerita rekaan, novel mahupun fantasi seorang penulis melainkan ianya sebuah kisah realiti. Hayatilah, ambillah sebagai ibrah.
Tingkatkanlah Syukur kita kepada Allah S.W.T.  Ada lagi insan yang lebih berat ujiannya berbanding kita. Namun sabar dan syukurnya amat tinggi buat kekasihnya Allah.

Wallahu Waliyyut Taufiq.


Monday 10 June 2013

Adakah Berpurdah Waktu Bujang Sesuai?

Sebelum itu entry yang panjang kali ini bukanlah untuk menimbulkan kemarahan niqabis diluar sana terhadap saya.  Sungguh saya juga fikir berulang kali sebelum nak post entry  kali ini. Namun artikel  ini adalah sekadar pandangan dan renungan. Dan saya tak suruh anda si wanita bujang untuk meninggalkan pemakaian purdah jika anda memang dah pakai. Istiqamahlah. Tidak semestinya perlu ikut pandangan saya. Saya juga masih memandang tinggi muslimah-muslimah yang berpurdah. Kagum dengan mereka. Post kali ini banyak refer kepada artikel Dr MAZA juga setelah penelitian dan pengkajian bersama sahabat-sahabat saya yang lain. Apa pun artikel ini sekadar ingin memberikan pandangan tentang pemakaian purdah atau juga kenali sebagai niqab.

Kita sedia maklum bahawa persoalan pemakaian purdah merupakan masalah khilafiyyah yang diiktiraf. Maksudnya para ulama’ berbeza pendapat dalam memberi hukum tentang pemakaian purdah. Ada ulama’ yang mewajibkan pemakaiannya dengan menganggap wajah wanita itu adalah aurat. Namun jumhur ulama’ (majoriti Ulama’ Fiqh) dahulu dan kini mengatakan wajah wanita bukanlah aurat. Dan para ulama’ yang mengatakan wajah wanita bukanlah aurat adalah seperti Al Imam Al Nawawi, Al Imam Al Syafie’, Al Imam Abu Hanifah, Al Imam Ahmad, Sheikh Yusuf Al Qaradawi, Sheikh Nasir Al Din Al Albani & Muhammad Al Ghazali.

Para Ulama’ yang menegaskan wajah wanita adalah aurat pula seperti Sheikh Ibn Baz, Dr. Sa’id Ramadhan Al Buthi & Abu Al ‘Ala Al Maududi dalam kitabnya Al Hijab.
Alasan-alasan atau hujah kukuh yang dibawa oleh jumhur ulama’ untuk menyatakan wajah wanita bukanlah aurat adalah jelas dan nyata. Antaranya:

1.      Firman Allah dalam Surah An Nur ayat ke 31

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan (tubuh) mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.”

Berpandukan ayat diatas, jumhur ulama’ menafsirkan bahawa wajah dan tapak tangan bukanlah aurat. Siapa yang ingin pendetilan atau nak pencerahan yang lebih halus maka bolehlah refer kitab-kitab tafsir.

2.      Firman Allah dalam Surah Al Ahzab ayat ke 52

“Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu yang ada) itu, dan engkau juga tidak boleh menggantikan mereka dengan isteri-isteri yang baru sekalipun kecantikan mereka mengkagumkanmu, kecuali hamba-hamba perempuan yng kau miliki. Dan (ingatlah) Allah sentisa mengawsi tiap-tiap sesuatu.”

Ayat ini ditujukan kepada Rasulullah dari Allah yang menunjukkan pengharaman buat Rasulullah untuk bernikah lagi setelah isteri-isteri Baginda yang ada. Dan ayat diatas jelas memberitahu bahawa wanita-wanita muslimat ketika zaman Rasulullah tidak memakai purdah.  Bagaimana mungkin kecantikan mereka boleh menarik perhatian Rasulullah jika wajah mereka tertutup.

3.      Hadith yang disahkan bersanad hasan oleh Al Albani. Bahkan lebih tinggi dari hasan. Maksud nak masuk taraf sahih:

“Suatu ketika Rasulullah duduk bersama-sama para sahabat baginda. Tiba-tiba baginda masuk kedalam rumah. Setelah keluar para sahabat melihat baginda baru dalam keadaan lepas mandi. Salah seorang sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah berlaku sesuatu?  Jawab baginda: Ya! Telah melintasi dihadapanku fulanah (perempuan tertentu yang dikenali), maka timbul dalam hatiku syahwat terhadap wanita, lantas aku mendatangi salah seorang dari isteriku dan menyetubuhinya. Demikianlah yang mesti kalian lakukan, kerana antara amalan kamu yang baik ialah mendatangi yang halal.” (Hadith Riwayat Ahmad dan Al Tabarani)

Syarah hadith ni panjang. Tapi poin yang paling penting ialah melalui hadith ini kita dapat simpulkan bahawa wanita-wanita muslimat di zaman Rasulullah tidak memakai purdah. Jika tidak bagaimana Rasulullah boleh tahu bahawa wanita itu sangat cantik dan menimbulkan syahwat baginda hingga sunnahnya terus mendatangi isterinya. Kerana apa yang ada pada isteri kita sama seperti wanita lain diluar sana.

4.      Hadith daripada Muslim dan Bukhari:

Dari Ibn Abbas r.a, katanya Al Fadhal (bin ‘Abbas) pernah menjadi radif Rasulullah (menaiki unta yang sama di belakang Rasulullah). Datang seorang wanita dari khasy’am. Lalu Al Fadhal memandangnya dan dia juga memandang Al Fadhal. Maka Rasulullah pun memusingkan wajah Al Fadhal ke arah lain.

Apa yang nak disimpulkan melalui hadith diatas pula bahawasanya kita tahu wanita itu orangnya sangatlah cantik dan tidak memakai purdah. Kalaulah wanita itu memakai purdah tidak mungkin Rasulullah memalingkan wajah sahabatnya kerana wajah wanita itu sudah tertutup. Dan hadith ini juga penguat hujah Para Ulama’ dan Ahli hadith bahawa wanita-wanita muslimat di zaman Rasulullah tidak memakai purdah.

Ini adalah sebahagian dalil-dalil yang banyak dikemukakan oleh jumhur ulama’ dalam menjadi hujah bahawa muka dan tapak tangan bukanlah aurat. Juga majoriti wanita-wanita muslimat tidaklah memakai purdah ketika zaman Rasulullah.

Ada pun yang memakai purdah pada waktu itu adalah Ummul Mukminin (ibu-ibu orang mukmin) iaitu isteri-isteri Rasulullah. Amat sukacitanya apabila ada muslimat yang ingin menghidupkan sunnah Ummul Mukminin.  Tapi kita juga perlu faham hikmah pemakaian purdah oleh isteri-isteri Rasulullah.

Allah telah mengurniakan satu nikmat kepada Rasulullah iaitu hadiah isteri-isteri yang cantik kepada baginda. Jadi setelah kewafatan Rasulullah, kita semua juga tahu bahawa haramnya insan lain menikahi isteri Rasulullah. Mana mungkin kita akan menikahi ibu sendiri bukan?

Sedangkan setelah kewafatan Rasulullah, para sahabat sering kerumah isteri-isteri Rasulullah seperti  Aisyah r.a untuk mendapatkan hadith. Dan Aisyah pula orangnya sangatlah cantik dan masih muda ketika kewafatan Rasulullah. Kalaulah Ummul Mukminin tidak memakai purdah ketika waktu itu maka boleh jadi akan timbulnya satu penyakit hati didalam hati para sahabat yang berkunjung kerumah mereka.  Rasa jatuh hati sedangkan nak menikahinya haram pula.

Jadi disini kita faham akan asbab pemakaian purdah oleh Ummul Mukminin. Seperti Solat Malam, wajib buat Rasulullah tapi sunnah buat kita. Pemakaian purdah pula wajib bagi Ummul Mukminin tapi sunnah buat muslimah diluar sana. Namun sunnahnya yang lebih utama setelah berkahwin itupun jika diatas permintaan suami masing-masing.

Jika kita lihat di Arab Saudi dan sesetengah negara arab yang lain. Ada unsur kezaliman, ketidakadilan dan telah menyalahi petunjuk Al Quran & Sunnah apabila si suami hanya boleh melihat wajah isterinya setelah berkahwin.  Dan kita perlu tahu pemakaian purdah di Arab Saudi merupakan satu budaya dan tradisi mereka sejak dahulu lagi. Pernah saya pergi ke Pavilion suatu ketika dahulu, ramainya orang arab disitu. Ada satu pasangan yang saya ajak berbual secara tidak kebetulan. Saya ingat suaminya. Jalan berpimpinan tangan. Rupanya sekadar teman lelaki! Perempuannya pula memakai purdah! Ada juga saya ke Bukit Bintang suatu ketika dahulu lalu terlihat dua wanita arab berpurdah. Tapi saya berasa sangat sedih dan kesal kerana salah seorang dari rambut mereka terjurai keluar.

Dan saya amat tidak setuju dengan pandangan sesetengah para asatizah yang berkata tak apalah jikalau tidak lihat wajah wanita yang ingin dinikahi agar boleh menjaga hati. Agar boleh nampak ‘soleh’. Kerana ianya telah menyalahi sunnah Rasulullah. Sedangkan sunnah baginda ialah pergi dahulu melihat wajah  bakal isterinya agar dapat menimbulkan keserasian kedua pihak dan timbulnya rasa cinta sebelum nikah. Allah Maha Adil dan Allah jualah yang Maha Mengetahui

Berbalik kenapa saya begitu tekad untuk post entry kali ini dan berkata wanita bujang tidak sesuai berpurdah ianya oleh kerana telah terjadi banyak kes dimana si lelaki ingin melamar wanita.  Pakai purdah. Solehah. Baik agamanya. Kelihatan cantik melalui dua biji matanya. Lalu si lelaki bawa ahli keluarganya bertandang ke rumah gadis untuk datang melamar. Setelah itu baru si gadis mahu buka purdah dan menunjukkan wajahnya. Namun sayang, setelah ditunjukkan wajahnya si lelaki berisiko ingin membatalkan niatnya kerana tidak timbulnya keserasian dihatinya. Namun untuk menolak rasa serba salah kerana waktu itu si lelaki dan keluarganya sudah berada dirumah wanita tersebut. Si wanita apabila ditolak diatas asbab wajahnya pula berisiko besar untuk rasa terhina, sakit hati dan berdendam dengan lelaki itu. Jadi jelas antara masalah yang akan berlaku bila wanita berpurdah waktu bujang.

Selalunya ada tiga alasan kenapa wanita ingin berniqab ketika waktu bujang. Pertama, kerana mereka terlalu cantik dan takut adanya fitnah.  Namun hujah itu tidak kukuh kerana yang seharusnya menundukkan pandangan adalah para lelaki. Bukannya para wanita. Kerana bagi saya, pakai tak pakai purdah tetap menganggu mata lelaki kalau lelaki itu sendiri tidak menjaga pandangan matanya.

Kedua, kerana mereka kata faham tuntutan agama. Namun pandangan jumhur ulama’ lah yang terbaik untuk diikuti bahawa muka dan tapak tangan bukan aurat. Dan alasan wanita ketika zaman Rasulullah memakai purdah bercanggah dengan sebahagian hadith-hadith Rasulullah setelah ditafsir.

Ketiga sebab ingin ikut kawannya. Ini lagi dah jauh dari niat asal. Dilihat sahabat-sahabatnya nampak unik dan ada aura tersendiri malah dilihat ibarat seorang ninja maka dia juga ingin mengikutinya. Tanpa merujuk kepada nas asal.

Ada pun berpurdah setelah bernikah lebih dituntut. Apatah lagi diatas perintah suami tecinta. Dan kita pun tahu Ummul Mukminin berpurdah setelah menjadi isteri Rasulullah. Berpurdah setelah bernikah antara sunnah utamanya kerana kita taknak timbulkan penyakit hati lelaki di luar sana sedangkan kita sudah menjadi isteri kepada suami kita. Kedua sebab si suami tadi akan berasa cemburu dengan membiarkan isterinya yang tercinta dipandang oleh lelaki lain diluar sana.

Mungkin juga bila sebut masalah lelaki yang ingin melamar wanita diatas tadi pasti ada yang kata:

“Pilihlah yang baik agamanya. Kenapa bersoal kira dalam soal cantik wajahnya”

“Jodohkan milik Allah”

“Ahh perfectionist betul kau ni! Macamlah kau tu sempurna sangat”

Bila adanya satu hadith sahih yang umumnya dah tahu mengenai hadith itu bahawa Rasulullah suruh si lelaki mahupun wanita mengutamakan agama pasangannya agar bahagia dunia akhirat. Namun syarah hadith itu juga tidaklah menyuruh kita membelakangkan 3 yang lain bahkan kita seharusnya meraikan yang kacak/cantik dihati kita agar timbulnya keserasian (sekufu). Dihati kita ye. Bukan dihati orang lain. Kerana pandangan hati manusia itu berbeza-beza. Miss Universe pun cantik. Tapi kenapa kita tak jatuh cinta pula dengan dia? Kalau dia memang orang yang berharta dan datang dari keturunan yang baik maka itu memang satu rezeki dan pakej buat kita. Bersyukurlah.

Jodoh itu kerja Allah. Tapi usaha, doa dan tawakkal itu kerja kita selaku hambaNya. Dan bukanlah sebab ingin mencari yang sempurna namun sekadar mencari yang terbaik untuk dijadikan pasangan hidup kita. Kerana orang yang ingin dinikahi bukannya nak ajak hidup bersama sehari dua, tapi kalau boleh sampai syurga insyaAllah. 


Wallahu Waliyyut Taufiq.

Friday 22 February 2013

2 Tanda Kita Mencintai Allah S.W.T


Saya begitu tertarik dengan beberapa input yang disampaikan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil mengenai tanda-tanda mencintai Allah. Seorang da’ie tempatan yang pernah menjadi Imam masyarakat Islam di Ireland selama 5tahun. Mungkin sudah ramai yang pernah membaca buku travelog hidupnya iaitu “Di Hamparan Shamrock”. Ketokohannya didalam bidang penulisan dan dakwah tidak dapat disangkal lagi. InsyaAllah saya ingin berkongsikan apa yang beliau telah sampaikan mengenai kecintaan terhadap Allah sebelum ini.


KALAU CINTA, RINDU UNTUK BERTEMU

Bagaimanakah sikap kita dengan janji temu (solat) dengan Allah? Apakah kita datang seawal waktu atau sering menunggu-nunggu masuknya waktu solat? Jika ya, itu petanda yang kita memang cintakan Allah. Sekiranya setiap kali menjelang waktu solat kita telah siap berwudhu’, menunggu di saf hadapan dengan pakaian yang paling bersih, ditambah pula dengan haruman minyak wangi. Alhamdulillah, itu petanda cinta. Jika kesempatan dating dengan kekasih ditunggu-tunggu saat dan ketikanya, maka seharusnya lebih-lebih lagi dengan Allah yang kita cintai.

Jika solat lewat (apa lagi yang langsung tidak solat), datang dengan enggan, muka masam, berat tulang, dan pakaian beserabut, itu petanda tidak cinta. Tidak fokus. Sambil lewa pula. Solat mahu selesai cepat.

Adakah seorang kekasih ingin segera berpisah dalam pertemuannya dengan kekasihnya? Adakah seorang kekasih sampai lewat untuk janji temunya? Atau berpakaian serabut kusut masai, dan berbau ketika menemui kekasihnya? Tidak Mungkin!

Tetapi jika itulah sikap kita, ertinya kita tidak cinta kepada kekasih itu. Maka begitulah juga ukuran cinta kita kepada Allah. Perlu ada rindu, bukan jemu untuk bertemu. Cinta kepada Allah itu tanpa syarat!

KALAU CINTA, SUKA APABILA DISURUH

Seorang kekasih sentiasa suka disuruh oleh kekasihnya. Walau sebesar mana pun kesusahan tidak kisah. Asalkan maksud kekasih dipenuhi, tidak kira apa akan ditempuhi. Oleh sebab amat suka disuruh, hati sentiasa menunggu-nunggu apabila hendak disuruh. Bila lagi? Apa lagi? Begitulah detik hati selalu. Pantang disuruh, macam lipas kudung, segera dilaksanakan.

Teringat saya akan seorang sahabat saya yang tengah sibuk bercinta dahulu. Futur sejenak. Ini lagi hebat tak disuruh pun tapi memang nak buat. Kekasihnya belajar di UIAM. Kehilangan kalkulator. Sedangkan final exam bermula esok. Sanggup dia naik bas awam dari pusat bandar ke UIAM hanya sekadar nak bagi kalkulator miliknya kepada kekasihnya. Tak bagi kekasihnya beli baru atau pinjam orang lain punya. Begitulah kuasa cinta.

Seharusnya begitulah cinta buat Allah. Sentiasa suka apabila diperintahkan. Apabila ada sesuatu yang disuruh buat, terus buat. Tanpa ditanya-tanya lagi. Apabila disuruh tinggal, terus tinggalkan. Sami’na wa ato’na. Itulah bukti cinta. Sebarang suruhan Tuhan akan segera dilaksanakan. Malas, letih, sakit, miskin dan lain-lain tidak menjadi penghalang. Bagaimanakah pula dengan kita?

Mereka akan sentiasa proaktif dan mencari-cari apa lagi suruhan Tuhan yang hendak dilaksanakan. Apabila dapat dilaksanakan, alangkah bahagianya dirasakan.

Sekarang apa respons kita terhadap perintah Allah dan laranganNya? Ya, mungkin kita sudah melaksanakannya. Contohnya, solat subuh. Ya, memang kita menunaikannya. Cermin diri kita. Apakah kita bahagia dan seronok melakukannya. Apakah kita memang willing and able nak lakukannya. Atau rasa terpaksa sahaja?

Jika ada rasa terpaksa untuk bangun solat, itu petanda belum cinta. Besar bezanya antara orang yang mengatakan I have to pray dengan orang yang berkata I need to pray. Memang keduan-duanya sama-sama sembahyang. Tetapi seorang kerana suka dan seorang lagi kerana terpaksa. Seorang sudah benar-benar cinta sedangkan yang seorang lagi sebaliknya.

HAKIMI DIRI

Cukuplah dengan dua tanda sebagai ukur tara, apakah kita sudah cintakan Allah atau belum. Tanyalah kepada hati nurani anda. Berhakimlah kepada diri sendiri. Jika kita masih belum memiliki dua ciri-ciri tersebut itu tandanya kita belum cinta kepada Sang Pencipta. Jika kepada insan yang dicinta kita boleh lakukan apa sahaja maka sewajibnya buat Pencipta insan yang kita cinta itu sendiri diberi lebih lagi.

Wallahu ta’alaalam