Monday 24 September 2012

FOVIA

        Bismillahirrahmanirrahim





        Memandangkan dah nama blog ini pun Travelog & Sketch jadi saya ingin berkongi satu hobi dan satu kumpulan kugiran yang pernah saya tubuhkan suatu ketika dahulu. Sebelum itu saya ingin berkongsi satu lagu dekat atas tu yang bertajuk My Mistakes Were Made For You dari kumpulan The Last Shadow Puppets yang berasal dari negara Britain. Dah lama rasanya tak dengar lagu tu. Sungguh ianya telah megimbau setiap kenangan manis yang lalu. Genre Alternatif Rock yang sangat saya gemari hingga ke hari ini. Jika ada diluar sana yang terdedah dengan lagu-lagu KPop dengan suka citanya saya pula terdedah dengan lagu bersifat 'bawah tanah'. Band-band Indie yang mempunyai keunikan tersendiri melalui musik mereka.

         Dah dekat tiga tahun saya meninggalkan hobi tersebut iaitu bermain gitar. Teringat waktu dahulu setiap kali bangun pagi tak pernah saya keluar dari bilik selagi tidak memetik gitar jenama Santa Cruz. Alunan bunyi instrumental yang menaikkan hormon adrenalin dalam diri cukup memberikan semangat di waktu pagi dengan pelbagai emosi. Kini guitar tersebut hanya tersimpan rapi diatas almari. Rasanya dah berhabuk pun. InsyaAllah rasanya kemahiran dalam mengalunkan gitar masih tidak pudar malah saya anggap ianya antara bakat yang terpendam.

         Minat yang mendalam kepada musik hingga saya dan sahabat sekolah yang lain mengambil Pendidikan Musik sebagai mata pelajaran elektif di sekolah. Kami juga telah menubuhkan satu band yang digelar Fovia. Makna Fovia adalah 'For We Are' yang bermaksud kami berempat kerana anggota band itu terdiri dari empat orang iaitu Akhi Zulkhairi selaku guitarist utama, Akhi Azreen selaku bassist, Akhi Faizal selaku drummer dan saya sendiri selaku vocalist serta guitarist kedua. Saya masih ingat lagu kami yang amat popular ketika itu ialah Epilog. Lagu yang sangat sentimental. Sungguh kami terharu jika rakan-rakan menyanyikan lagu tersebut di sekolah. Kami telah manfaatkan dua kali seminggu untuk 'jamming' iaitu berlatih bersama dan mencipta lagu-lagu baru. Sejam 'jamming' boleh mencecah RM25 di sesuatu studio. Jika dua jam untuk dua kali seminggu?




        Saya dan Akhi Zulkhairi pernah bercita-cita untuk memiliki gitar jenama Fender dari jenis Jazzmaster. Bunyi gitar itu sungguh sesuai untuk musik yang bergenre Alternatif dan Jazz. Harga gitar tersebut mencecah RM 6k keatas. Sungguh ketika masih menuntut di sekolah menengah tidak mungkin kami mampu untuk membelinya.


         

       Antara inspirasi terbesar kami dalam menubuhkan kumpulan kugiran ini ialah kumpulan kugiran antarabangsa dari Britain seperti Arctic Monkeys, The Stroke dan The Last Shadow Puppets. Kumpulan kugiran tempatan pula seperti Bittersweet & The Times. Musik Alternatif Rock yang dibawa mereka sungguh bertepatan dengan jiwa kami ketika itu. Saya sendiri tidak beberapa minat dengan musik yang terlalu keras seperti Metal. Bagi saya semua itu bukanlah seni melainkan kegilaan.

          Kami pernah mewakili sekolah untuk bertanding di peringkat negeri di SMK Sentul Utama juga pernah beberapa kali membuat persembahan di sekolah. Cikgu Pendidikan Musik juga telah memberikan kepercayaan kepada kami untuk menggunakan studio sekolah dan menjaganya jadi secara tidak langsung ianya telah memudahkan kami untuk mengasah bakat dan berlatih saban hari. 

             Mula terkuburnya kumpulan kugiran ini dan mula hilangnya minat saya terhadap gitar ialah ketika menyertai PLKN di Kem Setia Ikhlas, Semenyih. Alhamdulillah ketika Allah S.W.T memberikan hidayah kepada saya untuk mendekatiNya juga berkenalan dengan ramai insan-insan soleh lalu apa yang saya rasa tiada faedah dan manfaat maka saya tinggalkan sekelip mata.  Bagi saya setelah itu, ada lagi perkara-perkara lain yang harus saya beri tumpuan dan manfaatkan serta lebih soleh untuk saya laksanakan selain hanya tertumpu kepada kumpulan ini hingga akhirnya saya nekad bubarkan Fovia. Ahli-ahli kumpulan Fovia juga telah terpisah jauh kerana kami menyambung pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi yang berbeza. Saya juga telah berpegang kepada sabda Rasulullah S.A.W:
  
"Diantara tanda kebaikan Islam seseorang ialah meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya." (Hadith Riwayat At Tirmidzi)


                Memang benar Allah itu Maha Penyayang lagi Maha Pemberi. Jika Dia mengambil sesuatu yang baik dari kita maka insyaAllah Dia akan gantikan dengan yang lebih baik dari itu. Alhamdulillah jika dulu Allah S.W.T telah menarik balik kumpulan kugiran yakni Fovia dari saya tapi kini Dia telah mengurniakan pula kumpulan IKRAMTeens Bloggers untuk saya menjalani aktiviti-aktiviti yang boleh membantu saya dekat denganNya. Dia lebih mengetahui. Mungkin jika saya masih bersama Fovia lalu saya akan lalai dan semakin jauh dariNya.

SubhanAllah! Alhamdulillah! Allahuakbar!


Allahu. Terima Kasih Ya Allah !

Saturday 22 September 2012

Flashmob Untuk Rasulullah


         Tidak lama lagi IKRAM's Bloggers akan mengadakan satu aktiviti yang digelar 'Flashmob' di sekitar Kuala Lumpur. Tema untuk aktiviti Flashmob ini ialah "Rapat Seni Kerahmatan Rasulullah". Tujuan aktiviti ini diadakan bagi menyampaikan serta memperbetulkan sentimen antara orang bukan Islam dan Muslim itu sendiri.
         
         Baru-baru ini kita digemparkan dengan filem yang penuh penghinaan terhadap Rasulullah S.A.W iaitu filem yang bertajuk 'Innocence Of Muslim". Filem tersebut telah menimbulkan kemarahan Umat Islam sedunia. Sehingga hari ini isu tersebut masih juga belum reda. Pengarah filem itu Sam Bacile yang berketurunan Yahudi telah dikecam oleh Umat Islam seluruh dunia bahkan yang bukan Islam juga. Dapat kita lihat ramai Muslim yang keluar berdemonstrasi di jalanan menunjukkan protes mereka terhadap filem tersebut. 

          Apa yang cuba kami sampaikan serta perbetulkan didalam aktiviti Flashmob nanti ialah dengan menyampaikan sepadat mungkin siapa Rasulullah S.A.W yang sebenarnya kepada orang bukan Islam dan buat Muslim sendiri agar jangan tahu protes dan marah sahaja dengan mengadakan demonstrasi jalanan sedangkan ada cara dan intensif lain yang lebih baik dan  berakhlak dalam membela Rasulullah S.A.W.

      Tiga objektif utama kami:

  • Memberi pendedahan yang padat berkenaan latar belakang dan fikrah kehidupan Rasulullah S.A.W.
  • Membetulkan pandangan-pandangan songsang mereka terhadap Rasulullah S.A.W.
  • MengIslah mentaliti dan pandangan Umat Islam apabila berhadapan dengan isu penghinaan terhadap warga besar Islam.

          Kami akan mengumpulkan seramai mungkin ahli-ahli IKRAM dan Para Peserta yakni adik-adik dari seluruh Malaysia untuk menyertai aktiviti ini. Kami target dalam 200 orang untuk menyertai aktiviti ini.

          InsyaAllah semoga Allah membantu dan memudahkan urusan kita semua dalam mengadakan aktiviti ini bagi membela Rasulullah S.A.W yakni penghulu sekalian alam dengan akhlak mulia yang diajar baginda.

          Wallahu Waliyyut Taufiq.

IKRAMTeens Bloggers


       Masih teringat ketika berada di rumah Akhi Ayip Al Bakriy Bin Abdul Aziz bersama Akhi Mohd Helmy Manja Bin Mohd Salami ketika bulan Ogos 2012 lepas. Waktu itu kami sedang gigih dalam menyiapkan Assignment Statistic. Entah bagaimana lalu Allah memberi ilham kepada saya untuk menubuhkan IKRAM's Bloggers. Setelah berbincang dengan mereka berdua lalu kami bertiga sepakat untuk menubuhkan kumpulan  ini. Dengan kurniaan daya kreativiti oleh Allah S.W.T yang dikurniakan kepada Akhi Ayip maka terciptalah logo yang ada diatas sekarang ini. Pada mulanya gerakan kumpulan ini hanyalah gerakan 'bawah tanah'. Tetapi setelah dibawa bincang dengan IKRAMTeens akhirnya kumpulan ini secara rasminya telah diletakkan dibawah naungan IKRAMTeens salah satu cabang di dalam NGO Pertubuhan Ikram Malaysia. Nama IKRAM's Bloggers juga secara rasminya telah ditukar kepada IKRAMTeens Bloggers. 

       Tujuan kami menubuhkan kumpulan ini tidak lain tidak bukan ialah untuk memudahkan para blogger menyampaikan dakwah melalui blog mereka masing-masing kepada para pembaca. Para blogger boleh terus 'post link' mereka kedalam kumpulan ini dan memudahkan para pembaca untuk menerima mesej dakwah yang cuba disampaikan oleh Para Blogger. Ianya juga memudahkan para pembaca untuk 'blog walking' jika mereka belum 'follow' blog seseorang tersebut. Alhamdulillah semenjak hari pertama kumpulan ini ditubuhkan, ahli kumpulannya terus bertambah dari masa ke semasa.

         Antara objektif utama kumpulan ini ialah:


  •  Mengumpul setiap ahli IKRAM dan Para Peserta yang pernah menyertai mana-mana program   IKRAM.
  • Memudahkan Para Blogger IKRAM menyampaikan setiap apa yang di 'POST' didalam blog masing-masing.
  • Memudahkan Para Pembaca membaca setiap apa yang di 'POST' oleh Para Blogger.
  • Mengeratkan Ukhuwah antara ahli IKRAM dan Para Peserta.               

       Objektif akan ditambah dari masa ke semasa mengikut keperluan. Buat yang belum ahli didalam NGO Pertubuhan IKRAM juga digalakkan menyertai kumpulan ini selagi anda memang ingin menyampaikan dakwah melalui blog anda. InsyaAllah semoga medium ini dapat membantu dan memudahkan urusan kita.

        Saya juga telah bersetuju untuk menjadikan akhi & akhwat ini sebagai 'Admin' dalam menguruskan kumpulan ini di Facebook. Mereka adalah Akhi Abang Deen(Syafiq), Akhi Helmy Manja, Akhi Ayip, Ukhti Fatin Adilah dan saya sendiri.

         Doa saya semoga akan ada lagi Para Blogger yang sudi menyertai kami agar kumpulan ini bertambah kukuh dalam menyatukan Ummah insyaAllah.

Wednesday 12 September 2012

Lorong Haji Taib...

     Masih teringat ketika di Masjid Kampung Baru beberapa minggu yang lepas setelah berjemaah bersama-sama menunaikan Solat Maghrib dan Solat Isya'. Kuliah maghrib malam itu yang menceritakan mengenai satu Hadith mengenai salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W iaitu Ma'iz Bin Malik r.a yang telah berzina. Ibrah dari penceritaan mengenai hadith itu sungguh membuka hati para jemaah malam itu agar kita sentiasa bersangka baik dan memohon ampun kepada Allah S.W.T.

       Namun yang ingin dikongsikan disini ialah ketika saya ingin pulang dari Masjid. Pada malam itu saya telah melalui satu lorong yang hangat diperkatakan masyarakat umum dan ianya sedia maklum sebagai tempat yang 'panas' oleh pandangan umum iaitu Lorong Haji Taib. Ketika melalui lorong itu seperti biasa saya telah disapa oleh beberapa orang 'bapa ayam' yang menawarkan pelacur disitu. Saya telah menolak tawaran itu dengan baik. Ada dari kalangan mereka yang terus membujuk dengan menyediakan pelacur yang masih 'fresh' dan sedikit mahal harganya namun saya tetap menolak dengan baik. Mereka menghormati keputusan aya.

         Saya lalu pula dikawasan para 'mak nyah' menawarkan diri mereka. Salah seorang dari mereka mendekati saya dan menawarkan diri mereka serta mempromosikan 'ice-ice baby' yakni syabu kepada saya. Saya menolak dengan baik tawaran tersebut. Ingin saya memperkatakan bahawa kesemua kejadian tersebut bukan kali pertama malah telah berulang kali tiap kali saya lalu dikawasan tersebut. Masih teringat pernah sekali seorang 'mak nyah' datang kepada saya lalu menggosok payu dara palsunya di badan saya. Saya terpaksa 'menangani' mak nyah tersebut kerana ianya telah mencabar maruah saya. Dan semenjak hari itu insiden seperti itu tidak pernah terjadi lagi.

        Para 'pusher' yang terang benderang menjual ganja sentiasa berkeliaran disitu. Yang peliknya sudah ada Balai Polis Chow Kit yang mula beroperasi semenjak beberapa tahun lepas namun untuk melihat pengurangan operasi para 'mak nyah', 'pusher' dan 'bapa ayam' tiada pula kelihatan hasilnya. Sedangkan balai dan rumah 'mak nyah' hanya beberapa meter sahaja.

       Mungkin ada yang tertanya kalau dah kawasan itu sebegitu rupa kenapa saya masih nak lalu juga? Bukan apa, kerana jika saya ingin pulang ke rumah dari masjid saya terpaksa lalu di kawasan tersebut. Dan saya kurang setuju jika kita terus mengelak dari kawasan seperti itu sedangkan mereka amat memerlukan kita dalam menyampaikan risalah Rasulullah S.A.W kepada meraka. Kalau nak kata kawasan seperti itu 'panas' dan sebagainya apa bezanya kawasan tumpuan masyarakat seperti di ibu kota yang banyak juga maksiat berleluasa seperti Bukit Bintang?

       Saya telah terjumpa satu lagu yang sangat sesuai untuk menyampaikan mesej mengenai Lorong Haji Taib. Saya berharap akan ada para da'ie yang sanggup berjuang bersama-sama dalam mengIslahkan kawasan itu suatu hari nanti insyaAllah.

UKAYS- NAFAS ORANG KOTA

Di lorong kota itu yang kemilau,
Termanggulah seorang musafir,
Memerhati nafas-nafas manusia,
Kelesuan Kepasrahan Kepenatan,

Berbisiklah sang musafir sendirian
Oh inikah dikatakan kemodenan,
Sedangkan kejahilan masih ada,
Pada diri generasi berilmu bertamadun dan ceria.

Di lorong kota itu ada pelbagai cerita,
Tentang masyarakat yang hilang punca,
Mereka berpusuan mencari apa-apa saja,
Tanpa hiraukan nasib,
Nusa bangsa.

Wacana hidupmu bagaikan nista,
Disebalik cahaya ada gelapnya,
Moraliti keilmuan keimanan,
Hanya bersalut dinama melindungi kesamaran dimata.

Mengapakah engkau sanggup,
Mendustai yang anarki,
Pandanglah pada alam,
Yang semakin huru-hara.

Dimanakah perananmu
Untuk pertahankan bangsa agama,
Yang semakin terbiar keranamu. 

Dilorong kota itu,
Masih ada tetamu setiap siang malam urusan manusia,

Maharajalela oh serabutnya.

Di lorong kota itu,
Masih ada sendamu sedang bersyair sendu,
Terus menyelusuri oh fantasi ngeri sebelum nafas terhenti,
Simpangan kota ini bangkitlah engkau dari mimpi-mimpi.


Oppa Gangnam Style!

   


        Baru-baru ini kita digemparkan dengan trend  Oppa Gangnam Style. Sehingga ia menjadi ikutan para muda mudi diseluruh dunia sehingga orang dewasa turut terlibat. Jika dilihat di Youtube kini seramai 156,000,000 telah menyaksikan video tersebut hasil nyanyian rapper PSY. Tidak dinafikan sehingga ada satu keluarga ini yang berada di Malaysia melakukan aksi Gangnam Style dengan pakaian serba lengkap berbaju Melayu di rumah mereka hingga mendapat jolokan "Family Paling Happening" ketika awal bulan Syawal lepas. Perdana Menteri Malaysia sendiri iaitu Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak telah tweet satu statement di Twitter beliau yang berbunyi "Been Hearing About Gangnam Style All Of Last Week, Even In the News. What's Your View That Makes It So Popular." Ini satu bukti yang menunjukkan bahawa Gangnam Style kini telah menjadi satu isu yang hangat diperkatakan.

        Saya telah berbincang dengan ahli usrah saya yang lain semalam mengenai isu ini setelah saya melihat sendiri di Facebook, Twitter mahupun di blog ramai yang memperkatakan mengenai trend ini yang menghina Rasulullah S.A.W dan Islam itu sendiri. Jika ianya benar maka kita haruslah berjihad dalam menangani isu ini kerana ia berkenaan kesucian Islam yakni agama Allah S.W.T.

      Setelah berbincang dengan naqib saya dan ahli usrah yang lain, saya dapati ada sedikit ketidakbenaran dalam kita menuduh mengenai Gangnam Style itu sendiri. Sebagai contoh, ada segelintir yang mengatakan Gangnam Style ini menghina Rasulullah S.A.W yang menaiki Burroq ketika Israk & Mikraj kerana Style yang direka PSY itu seperti mereka menunggang kuda. Cuba saya tanya para pembaca, adakah kita tahu bagaimana rupa Burroq itu? Rasulullah tidak pernah bersabda secara spesifik mengenai rupa Burroq walau cara Baginda menaiki Burroq itu sekalipun. Baginda hanya bersabda bahawa dia menaiki Burroq ketika Mikraj dan pergerakan Burroq yang sangat pantas yakni satu langkah Burroq itu sejauh mata memandang. Beliau tidak pernah pula bersabda bagaimana cara beliau menaiki Burroq. Jadi bagaimana kita hendak mengatakan Gangnam Style menghina cara Rasulullah S.A.W menaiki Burroq?

       Saya ingin berkongsi apa yang naqib saya post di group-group Facebook beliau dengan sedikit hujah yang dibincangkan semalam. "Bismillah.. InsyaAllah beberapa ketika ini kita sering mendengar keburukan Oppa Gangnam Style. Sangat ana setuju jika dikatakan OGS itu memang tidak soleh untuk didengar dan ditiru gayanya oleh umum dan perlu dijauhi, namun untuk menyatakan ketidak solehan itu dengan sangkaan-sangkaan yang tidak diketahui kesahihannya, pendustaan dan fakta palsu yang menyanggahi fakta sebenar yang akhirnya memalukan Umat Islam itu sendiri, lalu disebarkan kepada umum adalah sangat tidak mampu diterima oleh agama Islam yang mulia ini. Ini oleh kerana Islam tidak pernah dan tidak akan pernah tertegak diatas kepalsuan dan pendustaan.

 "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sesekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Al Maidah; 8)

 Dari Abu Hurairah r.a bahwa Rasulullah S.A.W bersabda: "Cukuplah seseorang dikatakan berdusta jika dia menceritakan semua yang didengarinya." (Hadith Riwayat Muslim)

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seseorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (Al Hujurat; 6)

Dari Ibnu Mas'ud r.a bahwa Rasulullah S.A.W: "Sesungguhnya dusta itu akan membawa kepada keburukan; sesungguuhnya keburukan itu akan mengheret kepada neraka; dan sesungguhnya orang yang sentiasa berdusta akan dicatat disisi Allah sebagai pendusta." (Hadith Al Bukhari & Muslim)

      InsyaAllah yang dikasihi Allah sekalian, sampaikanlah keburukan mengenai OGS ini dengan kebenaran bukan dengan pendustaan. Sampaikanlah ianya dalam keadaan kita sendiri tidak dimurkai Allah S.W.T kerana berdusta, menyebarkan perkara dusta dan perkara-perkara yang kita sendiri tidak tahu kebenaran dan kesahihannya. Supaya maklumat-maklumat yang kalian sampaikan nanti menjadi asbab lahirnya golongan Ulul Albab yang soleh pemikirannya, bukan sembab dan lembab kerna terpengaruh dengan pendustaan yang tiada benarnya. Sungguh jika saya sendiri melihat video Gangnam Style ini di Youtube tersangatlah lucah. Tidak dapat dibayangkan bagaimana kanak-kanak kecil yang melihat video tersebut. Semoga ibubapa lebih pantau dan ambil berat mengenai isu ini kerana kanak-kanak zaman ini memang mudah terdedah dengan dunia IT yang tidak menjauhkan mereka dengan doktrin sebegitu rupa. Kita sedia maklum bukan di akhbar ada kes kanak-kanak lelaki yang masih di sekolah rendah telah merogol rakan sebayanya di sekolah? Ya dengan video seperti Gangnam Style itu boleh menjadi punca besar terjadinya kes-kes sebegitu.

     Maaf jika ada kekasaran dalam membahas isu ini. InsyaAllah jika ada hujah yang lebih tepat dan sahih diharap boleh berkongsi bersama saya. Wallahu Waliyyut Taufiq.
     

Saturday 8 September 2012

Maafkan Aku Kekasih


Maafkan aku Kekasih,
Kerana aku sentiasa tidak adil dalam hubungan ini,
Aku tidak pernah berbuat baik padaMu,
Seperti Kau berbuat baik padaKu,
Aku tidak pernah mampu setia pada janji-janjiku padaMU,
Seperti kau berpegang pada janji-janjiMu,
Aku tidak pernah mampu mendengarkan ayat-ayat suci kiasan cintaMu,
Seperti Kau yang tidak pernah jemu mendengar aduan dan keluhanku saban waktu,
Aku tidak pernah mampu mengikuti segala suruhanMu,
Seperti Kau yang tidak pernah berkira menunaikan permintaan-permintaan dalam doaku,
Maafkan aku Kekasih,
Atas segala saat-saat alpaku padaMu,
Sedangkan saat-saat itu adalah pinjamanMu jua,
Maafkan aku atas segala janji-janji yang aku khianati,
Meskipun ini entah kali keberapa,
Maafkan aku bila aku hilang percaya dan buruk sangka padaMu,
Sedangkan ujian-ujian itu adalah tanda kasihMu supaya aku lebih ingat padaMu,
Maafkan aku bila aku tidak jujur padaMu
Dan mengasihi hambaMu lebih dari cintaku padaMu,
Sedangkan Kaulah pemilik mutlak diriku dan segala yang ada padaku,
Maafkan aku,
Kerana aku hanyalah hamba biasa yang ingin jadi kekasihMu,
Meskipun aku tidak pernah mampu,
Aku ingin menjadi hambaMu yang LUAR BIASA!




Credit by: FB: Ika Dekchik     Blog:  http://www.zalikha-iluvislam.blogspot.com/

Saturday 1 September 2012

Jangan Putus Asa!

        Berapa ramai hari ini Insan yang berputus asa dari rahmat Allah. Mereka merasakan bahawa mereka tiada lagi peluang untuk kembali kepada Allah sehingga mereka meneruskan jua jalan ke arah kegelapan. Berapa ramai pula Muslim yang sanggup keluar dari agama Allah kerana merasakan ada 'tuhan' lain dalam agama yang dipilihnya itu yang mampu mengampuni segala kesalahan mereka. Sudahkah kita lupa Rahmat Allah itu begitu luas? Sudahkah kita lupa bahawa Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang? Sudahkah kita lupa kasih sayangNya mendahului murkaNya?

      Mungkin ada yang frust, kecewa dengan setiap dosa yang pernah dia lakukan. Ditambah lagi dengan kata-kata sumbang "Allah tak ampun dosa macam kau ni." hingga dia rasa berputus asa nak berubah. Allah telah dahulu jawab didalam firmanNya:



"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya dia lah jua yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Surah Az Zumar : 53)


        Mungkin pernah kita lalui hari dimana apabila kita melakukan satu kesalahan terhadap orang lain hingga harus menunggu berhari-hari malah berbulan untuk orang itu maafkan kita . Tetapi bagi Allah, jika kita benar-benar rasa menyesal dan ingin kembali kepadaNya tiada kiraan masa buat Allah untuk mengampuni kita. Walau sebesar gunung dosa-dosa kita. 

Hadith Qudsi menceritakan:

Ada satu kisah dimana seorang Hamba Allah ingin bermujahadah untuk meninggalkan segala perbuatan maksiat namun sedang dia bermujahadah lalu dia tergelincir:

 Allah S.W.T: Dia tahu ada tuhan yang boleh mengampunkan segala dosa dia dan bertindak diatas dosa-dosanya. Aku ampunkan dia. AKU TIDAK PEDULI.

Setelah tidak lama dia bertaubat bersungguh-sungguh dari dosanya yang lalu namun tiba-tiba dia TERGELINCIR lagi.

Hamba Allah: Wahai Tuhan, Aku telah buat dosa lagi. Ampunkan daku.

Allah Jawab: Dia tahu bahawasanya ada tuhan yang boleh ampunkan dosanya dan bertindak diatas dosa-dosanya. Aku ampunkan dia. Aku tidak peduli.

       Islam tidak mengajar kita membuat pengakuan di mata dunia dengan setiap dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Hatta buat pengakuan didepan Ulama'. Islam tidak menyuruh kita membeli Surat Pengampunan seperti di Zaman Renaissance untuk minta diampunkan segala dosa. Bukankah kalau begitu hanya orang kaya sahaja yang mampu untuk dibersihkan dari segala dosa? Hanya orang kaya sahaja yang berhak masuk ke Syurga sedangkan orang miskin ke Neraka? Islam tidak pernah menyuruh kita membuka aib insan lain apatah lagi aib diri sendiri.

        Jika ada Insan yang sedang baca artikel ini, mungkin dahulunya anda seorang Pembunuh, Perogol, Penzina, Penabur Fitnah, derhaka terhadap kedua ibu bapa malah ingkar untuk mendirikan segala yang diperintah oleh Allah hingga setinggi gunung dosa anda. Kemudian anda menyesal dan ingin bertaubat. Adakah anda sanggup untuk menceritakan segala dosa-dosa anda ini terhadap orang lain? JANGAN! Anda tidak perlu melakukan sebegitu rupa. Malah Allah suruh tutup aib kita. Allah telah sediakan masa yang terbaik untuk kita bertemu dan merintih kepadaNya. Bangun dan dirikan solat di malam hari dalam memohon keampunan terhadapNya. Bermujahadah untuk meninggalkan segala perbuatan maksiat yang pernah kita lakukan. Menyesal dengan segala dosa yang pernah dilakukan. InsyaAllah Dia pasti mengampunkan segala dosa kita.

       Allah tak pandang siapa pun ibubapa kita, atuk dan nenek kita, keturunan apa kita, namun jika memang kita ingin kita kembali kepadaNya tiada satu hijab pun yang mampu menghalang antara Allah dengan HambaNya. Marilah kita kembali kepada fitrah dalam memburu Syurga Allah. Sungguh jika kita memang Pendosa maka jadilah Pendosa yang dicintai oleh Allah dengan sentiasa memohon ampunanNya. Kita Insan biasa yang pasti tidak boleh lari dari dosa namun dengan RahmatNya yang begitu luas maka Allah sentiasa menantikan hambaNya yang memohon ampunan kepadaNya.


Wallahu Waliyyut Taufiq.