Tuesday 17 June 2014

Ada Apa Dengan Wahabi?


Warning:

Diharap bersabar baca artikel ini sebab panjang. Moga Allah beri hidayah dan taufiq buat kita semua.

PROLOG

3 tahun lepas masa saya mula berhijrah. Awal-awal lagi saya sudah dimomokkan dengan bahaya “WAHABI”. Hingga saya merasa takut akan sesiapa yang mungkin wahabi itu. Saya diminta jangan sampai bertembung atau berkawan dengan orang-orang wahabi. Fikiran saya telah dibentuk agar merasa takut akan golongan wahabi. Walau hakikatnya saya tak tahu apakah sebenarnya yang ada dengan wahabi. Apakah ianya lebih bahaya dari Syiah atau pemikiran ke arah Sekular atau yang seangkatan dengannya.

Didalam masa sama sementara saya menunggu tarikh kemasukan saya ke IPT, saya pun tanpa membuang masa mula bekerja di Pavilion. Rakan-rakan sekerja waktu itu ramai yang tak solat. Minum arak dan sebagainya. Walau pekerjaan saya saat itu sangat high-pressure sampai nak buang air pun payah. Pemiliknya pula orang Cina Australia, saya tetap dengan prinsip saya untuk menjaga solat. Dan majikan saya akhirnya benarkan. Membuatkan rakan-rakan sekerja saya yang boleh dikata jahil dan tidak solat itu semua menghormati prinsip saya itu. Solat awal waktu!

Suatu hari sewaktu saya rehat bersama-sama rakan sekerja saya. Saya seperti biasa sangat suka kongsikan impian saya untuk memperdalami ilmu agama. Maklumlah orang baru hijrah saat itu, sangat ‘excited’ jika perihal agama. Mereka itu semua minta saya pergi ke Kedah. Kononnya disana ramai orang alim. Masuk Maahad Tahfiz.

“Kau Nicko nanti jika ilmu kau dah tinggi sampai kau boleh dengar burung berzikir tau. Meja kita ni pun nanti kau boleh dengar berzikir. Belajar betul-betul je. Ilmu ni kadang-kadang jika tak belajar habis boleh jadi gila. Jangan jadi macam kita orang, belajar sikit tarus berhenti. Tak perlu masuk IPT macam UIA semua tu. Ramai orang wahabi.”

Saya semakin takjub. Dalam hati “wah hebat betul kalau tinggi ilmu”. Walau didalam hati yang terdalam bermonolog “Tapi inikah yang dituntut didalam agama sebenarnya?”. Ditambah lagi dengan UIA juga dimomokan dengan ramai orang wahabi. Makin kusut kepala saya.

Masa silih berganti. Setelah hampir setahun belajar di International Islamic College Malaysia. Akhirnya saya kenal dengan tarbiah. Didalam usrah, fikrah saya dibentuk. Manhaj yang haq juga terbentuk. Saya mula faham akan Manhaj Nabawiyyah/Sunnah. Apa yang paling penting sekali, saya perlu bergerak sebarkan Islam.

Tibalah waktunya bila saya bukan sekadar tahu akan Islam. Tapi saya benar-banar faham tuntutan yang diinginkan oleh Islam. Ilmu saya makin bertambah. Saat itu bermulalah ujian dari Allah. Saya juga akhirnya dilabel sebagai wahabi.

ADA APA DENGAN WAHABI?

Sebelum saya kongsikan wahabi ini merujuk kepada siapa? Saya nak bawa pembaca memahami wahabi dari kaca mata masyarakat Muslim Malaysia umumnya. Bagi sebahagian besar, gelaran wahabi dikenakan bagi sesiapa yang tidak sependapat dengan mereka bermula dari masalah khilafiyyah lagi, tidak ikut secara penuh hukum fiqh didalam mazhab Syafie (kerana ada pendapat Ulama’ lain yang lebih kuat contohnya) atau bermazhab Syafie’, berpegang dengan Akidah Salaf, tidak berqasidah, lebih moderat, umumnya pelajar lepasan IPT di Arab Saudi, Jordan. Ironinya di Eropah, Wahabi lebih merujuk kepada pengganas Muslim.

Baiklah, wahabi sebenarnya merujuk kepada Sheikh Muhammad Bin Abdul Wahab yang membebaskan tanah arab dari perkara bida’ah, syirik, tahyul dan khurafat suatu ketika dahulu. Beliau merupakan ulama yang sangat besar jasanya dalam pemurniaan akidah  pada saat itu. Antara Ulama yang sangat dekat dihati beliau saat itu adalah Sheikh Ibn Taimiyyah dan Sheikh Ibn Qayyim yang lebih awal dimusuhi oleh musuh-musuh Allah yang berjuang menghidupkan perkara bida’ah, tahyul, syirik dan khurafat.

Namun diakui gerakan yang dipelopori oleh Sheikh Muhammad Bin Abdul Wahab saat itu sedikit keras. Hingga membuatkan musuh-musuh beliau sangat membencinya. Maka fitnah yang sangat merbahaya tercipta. Dari perkara yang tiada akhirnya diadakan. Bahang fitnah itu terus sampai ke hari ini.

Antara fitnah yang paling tidak masuk akal adalah beliau dituduh anti mazhab. Sedangkan beliau sendiri bermazhab Hanbali dalam menjadikan fiqh didalam mazhab Hanbali sebagai rujukan. Dari segi akidah pula. Beliau beraliran salaf.

Didalam akidah tauhid, sering gelaran wahabi bermula apabila seseorang itu beriktikad bahawa “Allah istiwa’ diatas Arasy”. Sedangkan iktikad ini juga dipegang sejak zaman Para Sahabat. Bukankah Para Sahabat yang paling memahami urusan agama ini? Ulama Salaf. Bahkan kesemua Imam 4 Mazhab beriktikad perkara yang sama.  Jadi adakah mereka yang hidup dizaman 3 generasi awal Islam adalah wahabi? Sedangkan Rasulullah S.A.W sendiri lebih awal mengiktiraf mereka didalam hadithnya:

Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sebaik-baik manusia adalah generasiku ( para sahabat ) kemudian generasi berikutnya (tabi’in) kemudian generasi berikutnya ( tabiu’t tabi’in )”

 (Hadits Bukhari & Muslim)

Maka tidak hairan jika hari ini jemaah Ikhwanul Muslimin yang berpusat di Mesir juga dituduh sebagai wahabi hanya kerana iktikad mereka mengenai sifat Allah mengikuti Akidah Salaf. Ini diakui sendiri oleh pengasasnya Imam Hassan Al Banna didalam kitabnya Risalah Ta’alim didalam bab Usul 20:

Usul Ke-10

“Mengenal Allah, mentauhid dan membersihkan-Nya daripada sesuatu yang menyekutui-Nya adalah akidah yan paling tinggi dalam Islam. Ayat Al-Quran dan hadith yang menyentuh sifat-sifat Allah hendaklah kita terima tanpa melakukan tafsiran dan takwilan. Kita jauhi perselisihan ulama dalam masalah ini. Kita berpada dengan apa yang telah diterima pakai oleh Rasulullah S.A.W dan Para Sahabat.”

Siapa Yang Bertanggungjawab Akan Momokan Ini?

Seperti yang saya kongsikan awal tadi, selalunya yang akan melabel orang lain wahabi di Malaysia ini apabila ada perkara yang tidak sependapat dengan mereka bermula dari masalah khilafiyyah lagi, tidak bermazhab Syafie’, memegang kuat Akidah Salaf, tidak minat berqasidah (sebab banyak bait qasidah burdah yang mengandungi perkara syirik dan khurafat serta ada baitnya yang ghuluw dalam memuji Rasulullah S.A.W), lebih moderat, pelajar lepasan IPT di Arab Saudi dan Jordan secara umumnya. Namun sebenarnya, ada ‘tangan’ disebalik kekacauan ini yang bertanggungjawab dalam menghidupkan momokan wahabi ini.

Mereka adalah golongan yang pernah disebut oleh Sheikh Yusuf Al Qaradhawi:

Semenjak beberapa tahun yang lalu aku (Dr. Yusuf al-Qaradhawi) ada mendengar tentang satu jamaah yang zahir di Lubnan, ia menimbulkan masalah kepada umat Islam di Lubnan dengan pandapat-pendapat yang pelik dan menyeleweng dan pandangan-pandangan yang merbahaya dalam persoalan aqidah, fiqh dan akhlak. Sehingga mereka menggugurkan kewajipan zakat bagi individu yang memiliki sampinan wang yang banyak dari matawang kertas yang digunakan pada hari ini, mereka juga mengharuskan wang tersebut berurusan dengan riba, mereka mendakwa matawang kertas bukanlah matawang yang syar'ie yakni bukan Emas dan Perak. Mereka mengharuskan orang yang memakan bawang atau meletakkannya di dalam poket tidak menunaikan solat Jumaat, dan mereka mengharuskan percampuran antara lelaki dan perempuan tanpa batas.

Dan yang lebih dahsyat bahayanya apabila mereka mengkafirkan setiap orang yang berbeza dengan mereka dari kalangan umat Islam hari ini atau yang dahulu. Mereka mengkafirkan Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyyah, anak muridnya Al-Imam Ibn al-Qayyim, dan sesiapa yang mengikut dua orang tokoh ini seperti Mujaddid Tauhid di al-Jazirah al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab, sepertimana mereka mengkafirkan ramai dari ulama semasa seperti al-'Allamah al-Syeikh 'Abdul 'Aziz bin Baz, Pemikir Islam Syed Qutb, dan selainnya. Aku (Al-Qaradhawi) telah menyebut di dalam buku-ku (al-Sofwah al-Islamiyyah Baina al-Juhud wa al-Tatorruf) bahawa terjatuh ke dalam lubang menghukum kafir adalah tanda-tanda yang paling serius terhadap pemikiran ekstrim dan melampau dalam beragama.

Golongan Ahbash yang pelampau dan penyeleweng ini mendakwa mereka adalah dari mazhab al-Imam Abi al-Hasan al-'Asy'ariy di dalam aqidah, dan mazhab al-Imam al-Syefie di dalam Fiqh, dan mengikut tarikat al-Rifa'iyyah di dalam berakhlak. Akan tetapi hakikatnya mereka mereka amat jauh dari manhaj para imam ini kesemuanya samaada dalam pemikiran, adab dan akhlak.
Kumpulan ini yang mulanya timbul di Lubnan, dinamakan sebagai al-Ahbash, kerana tuan milik dakwah mereka dan pemegang bendera mereka adalah seorang lelaki dari Habashah berasal dari Harara, dia mendakwa dakwahnya ini adalah dakwah yang baharu, yang hasrat utamanya ialah memecah belakkan kesatuan umat Islam, mengucar-kacirkan mereka dan menyalakan api fitnah antara barisan umat Islam dan menghalang setiap usaha untuk membantu perkembangan agama ini.

 (Fatawa al-Muasarah. Cet ke-3 (2003), Dar al-Qalam, Jld 3, ms: 685-686)

Juga disebut oleh Sheikh Dr. Wahbah Al Zuhaili:



Ingin saya katakan bahawasanya mereka yang sering dituduh wahabi di Malaysia ini. Demi Allah setakat apa yang saya lihat dan kenal. Mereka amat mencintai majlis ilmu. Sangat mencintai ilmu hadith. Amanah dalam penyampaian sesuatu disiplin ilmu didalam Islam. Sangat menjaga sunnah. Terlalu ingin menjejaki jejak Para Salafussoleh kerana mereka sangat yakin generasi inilah yang terbaik dalam memahami Islam. Malah telah diiktiraf awal oleh Rasulullah S.A.W. Maka dengan itu mengikuti jejak langkah Salafussoleh menjamin diri kita diatas jalan yang lurus.

Jadi Siapakah Wahabi Hari Ini Sebenarnya?

Wahabi secara khususnya di Malaysia ini adalah mereka yang berpegang dengan Manhaj Salaf. Ahlul Sunnah/Ahlul Hadith. Golongan yang sangat amanah dalam menjaga dan menyebarkan sunnah. Tak perlu pun sebenarnya akan gelaran ‘wahabi’ itu sendiri. Kerana hakikatnya mereka Muslim yang tak perlukan label seperti itu.

Siapa Yang Selalu Termakan Momokan Wahabi?

Mengikut pengalaman saya sendiri. Mereka yang selalu mudah terpengaruh dengan momokan wahabi ini umumnya adalah mereka yang baru berhijrah. Boleh juga orang yang jahil atau malas menuntut ilmu. Atau mereka yang mengikuti jalan selain dari jalan Salafussoleh dalam memahami intipati Islam.

Nasihat Saya Kepada Mereka Yang Baru Berhijrah:

Saya memahami semangat nak belajar Muslim mahupun Muslimah yang baru berhijrah jika perihal agama. Saya juga pernah melalui semua perkara itu seperti anda. Saya sekadar ingin mengajak kepada semua untuk berpegang dengan prinsip ini:

“Memahami intipati Islam seperti mana Rasulullah S.A.W bawa dan Para Sahabat FAHAM”

Islam tidak sekadar memerintahkan kita untuk memuji dan selawat keatas Rasulullah S.A.W dan berzikir sepanjang masa. Bukanlah tidak penting. Tapi ianya baru satu juzu didalam Islam itu sendiri. Namum alangkah indahnya jika umat Islam itu sendiri rajin dan bermujahadah dalam menuntut ilmu agar keluar dari kepompong kejahilan apatah lagi terus merasa diri sudah lebih berilmu dari orang yang awal bermujahadah menuntut ilmu dengan pelbagai guru. 

Dari Abu Umamah al Bahili r.a, katanya Rasulullah pernah bersabda:

"Kelebihan orang yang berilmu atas orang abid (orang yang rajin beribadah) adalah seperti kelebihanku atas orang yang paling rendah darjatnya dalam kalangan kamu."

(Riwayat At-Tirmidzi, Sahih)

Akhir sekali, saya menyarankan agar pembaca budiman rajin-rajinkan diri ke majlis ilmu khusus mengenai disiplin ilmu Al Quran (Tajwid, Qiraat, dll), Hadith (Ulum Hadith, dll), Sirah, Aqidah, Akhlak dan Fiqh. Dari majlis ilmu nantilah insyaAllah anda bukan sahaja tahu tapi akan memahami Islam dengan baik juga.








3 comments:

زليخا said...

syukran shhare
dpt info lebih
uia wahabi?

Naziman Azlye said...

Sebenarnya susah nak dapat gelaran wahabi sebab kena banyak membaca, kena belajar tinggi-tinggi, dan banyak lagi kena buat.

Bukan senang mahu jadi wahabi.

Zahrah said...
This comment has been removed by the author.