Friday 16 November 2012

Hijrah Diri

           Hari ini merupakan Jumaat pertama dalam tahun hijrah yang baru iaitu tahun yang ke 1434. Teringat tajuk khutbah sebentar tadi di Masjid Kampung Baru iaitu "Hijrah Diri". Alhamdulillah khutbah tersebut banyak memberikan ilmu serta motivasi yang bermanfaat buat saya. 

        Definisi hijrah mempunyai makna yang sangat luas. Tahun hijrah diambil sempena  hijrahnya Rasulullah S.A.W dan kaum Mujahirin ke Madinah dari Makkah setelah mendapat perintah dari Allah S.W.T. Tahun hijrah mula diguna pakai ketika zaman kekhalifahan Saidina Umar Al Khattab kerana ketika itu Islam belum ada tarikh yang khusus untuk diguna pakai sebagai tarikh dan sejarah seharian. Tidak dinafikan hijrah mengandungi hikmah yang sangat luas. Rasulullah S.A.W bersabda:

"Tiada hijrah selepas al-Fath (Pembukaan Makkah), tetapi jihad dan niat. Dan apabila kamu dikerah untuk pergi berjuang, maka segeralah menyahutnya!" (Riwayat Bukhari & Muslim)

         Saya pasti para pembaca yang dirahmati Allah sekalian mempunyai azam dan target-target baru yang ingin dicapai sempena Maal Hijrah tahun ini. Menjadi seorang muslim yang lebih berjaya di masa hadapan InsyaAllah. Dari entry ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat bermujahadah kepada para pembaca agar menjadi insan yang lebih sukses di masa hadapan insyaAllah.  

         Saya masih ingat ketika pertama kali mendapat Hidayah dan Taufiq dari Allah S.W.T di kem PLKN dulu. Memang payah pada mulanya tetapi hasilnya pada hari ini sungguh tidak mampu terkata oleh lisan apatah lagi nak ditaip didalam entry ini. ALHAMDULILLAH. Bagi saya itu merupakan hijrah yang pertama buat saya. Sesiapa yang ingin berhijrah tidak semestinya kena menunggu masa Maal Hijrah bukan? Sungguh hijrah memerlukan pengorbanan yang sangat besar mungkin juga mengambil masa yang sedikit lama. Kesabaran dan kesungguhan amat diperlukan bagi sesiapa yang ingin berhijrah.

          Kemuncak dari apa yang ingin saya kongsikan dalam entry ini ialah cadangan saya buat para pembaca supaya buat senarai-senarai apa yang ingin anda hijrahkan sepanjang tahun ini. Dibawah ini merupakan contoh juga senarai hijrah saya sendiri. Kelihatan bersahaja dan biasa. Mungkin anda lebih kreatif untuk menghasilkan satu senarai hijrah yang lebih 'trendy' dan menarik supaya anda sendiri lebih bersemangat untuk bermujahadah bersama-sama saya. Saya akan lekat senarai ini didepan meja belajar saya. Semoga anda juga insyaAllah. Doakan saya agar mampu bermujahadah untuk melaksanakan segala yang telah saya senaraikan dalam kertas senarai hijrah saya tersebut. JazakAllahu Khairan Katsira.


                
         "Dan barangsiapa berhijrah dijalan Allah, niscaya mereka akan mendapatkan di bumi ini tempat hijrah yang luas dan (rezeki) yang banyak. Barang siapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kerana Allah dan RasulNya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh, pahalanya telah ditetapkan di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (An Nisa': 100)

No comments: