Monday 12 November 2012

La Tahzan...Ada Yang Lebih Berat Ujiannya

        Pada hari Sabtu dan Ahad iaitu pada 10 dan 11 November lepas telah diadakan program Keindahan Bersama Mu khas untuk pelajar IPT (KBM-IPT) di Sabak Bernam, Selangor. Saya telah menjadi salah seorang Fasilitator bagi menjayakan program tersebut. Alhamdulillah program berjalan dengan lancar. Orang-orang di Sabak Bernam pun boleh tahan ramahnya. Saya juga berpeluang merasa Nasi Ambeng khas masakan orang Jawa disana. 

        Para peserta pada kali ini merupakan pelajar tahun akhir Bachelor Of Geomatics di UiTM Shah Alam. Tinggal lebih kurang 2bulan lagi sebelum mereka menamatkan pengajian. Boleh dikatakan semuanya tengah mengerahkan otak dan tengah sibuk bagi menyiapkan Thesis masing-masing ketika mengikuti program. Sebelum itu saya ingin memohon maaf kepada para peserta jika anda terbaca entry ini kerana saya telah merahsiakan umur saya pada mulanya sepanjang program bagi menjaga komunikasi dua hala agar tidak terjejas oleh kerana dek faktor umur yang lebih muda dari anda semua.

         Tujuan saya menulis entry kali ini adalah oleh kerana saya terkesan dengan satu pertanyaan salah seorang peserta lelaki kepada Ummi Ida ketika mengendalikan program bagi slot terakhir iaitu Slot Hijrah. Juga bertepatan dengan Maal Hijrah yang bakal tiba tidak lama lagi. Sebelum itu saya telah diminta untuk berkongsi mengenai kisah saya seperti yang pernah saya ceritakan di entry sebelum ini. Mungkin ianya menjadi asbab buat lelaki itu untuk kuat bagi meluahkan segala isi hatinya.

http://nickozulkarnain93.blogspot.com/2012/11/manisnya-hidayahakhirnya-aku-berubah.html

          Luahan lelaki itu berbunyi seperti ini(Diolah sedikit bagi memudahkan pembaca memahaminya):

"Ummi Ida, bagaimana caranya bagi saya menangkis tohmahan serta sindiran yang dikenakan terhadap diri saya diatas kerelaan dan ketekadan saya ingin berubah. Apa yang paling saya sedih adalah kerana mereka yang kuat memerli saya adalah dari kalangan adik-beradik saya sendiri. IbuBapa saya boleh juga dikatakan baik dari segi agama. Mereka ada juga solat Dhuha, solat malam dan sebagainya. Tetapi adik-beradik saya pula sebaliknya. Saya sangat sedih (sambil menangis) sebab kakak saya yang 'free-hair' diluar rumah. Pakaiannya tidak menutup aurat. Mereka semua tidak solat dan gaya hidup serta sosial yang tidak sihat. Dulu saya juga selalu lepak dengan mereka yang jahil dan tidak mementingkan tuntutan agama tapi kini saya memang nak berubah."

          Suasana menjadi haru sebentar. Ummi Ida terus memberi kata-kata perangsang serta nasihat yang berguna buat lelaki itu. Alhamdulillah saya juga berkesempatan diberi keizinan oleh Ummi Ida memberi kata-kata semangat kepada lelaki itu serta yang lain agar terus tabah serta kuat dalam melalui dugaan yang diberikan oleh Allah S.W.T. InsyaAllah mari kita sama-sama doakan agar lelaki itu menjadi Muslim yang Soleh serta keluarganya jua.

         Seperti yang saya tulis didalam entry sebelum ini, mama saya seorang Christian yang 'converted' kepada Islam. Tapi yang sedihnya tiada yang membimbing dia setelah itu. Mama dan Papa saya telah berpisah semenjak saya didalam kandungan lagi. Sehingga hari ini mama saya merupakan IBU TUNGGAL. Saya tinggal bersama ibu dan abang saya. Ye mama saya juga 'free-hair' seperti kakak lelaki yang saya ceritakan diatas tadi. Setelah saya dapat Hidayah yang Allah berikan ini, saya merasa tanggungjawab untuk membawa mama dan abang saya pula kembali kepada fitrah Islam yang sebenarnya. Menukar mentaliti Sekularisma mereka kepada Islam yang hakiki. Saya juga teringin melihat mama saya mengenakan tudung labuh seperti ibu sahabat sahibah saya diluar sana. Alhamdulillah mama saya kini telah mengalami Monopaus maka dia tidak diwajibkan memakai tudung lagi. Tapi apa salahnya jika dia ditakdirkan untuk pulang kepada Penciptanya lebih awal dari saya, maka sebelum itu saya berusaha agar dia berkesempatan  merasa manisnya mengenakan tudung bukan? Itu cita-cita saya.

         Ada ibubapa yang soleh tetapi anak-anaknya jauh dari jalan Islam yang sebenarnya. Ada pula anak-anak yang ingin dibawah naungan Islam yang sebenarnya tetapi ibubapanya pula atau mungkin keseluruhan keluarganya jauh dari landasan Islam. Yang mungkin beruntung ialah dia dan keluarganya sedia soleh. Namun ada pula mungkin ujian yang lain buat mereka. Mungkin kita yang kedua itu atau lebih tepatnya saya. Itulah ujian Allah buat kita. Sesuai dengan firmannya: 

"Dan kami tidak mengutus rasul-rasul sebelummu (Muhammad), melainkan mereka pasti makan makanan dan berjalan di pasar-pasar. Dan Kami jadikan sebahagian kamu sebagai cubaan bagi sebahagian yang lain. Maukah kamu bersabar? Dan Tuhanmu Maha Melihat." (Al Furqan; 20)

         Bagi saya, mama saya adalah Ma'du (orang yang disantuni) yang saya merasa bertanggungjawab untuk bawa dia kembali kepada landasan yang sebenarnya. Siapa lagi yang boleh bimbing dia jika bukan saya? Dia tiada suami yang boleh menjaga dan membimbing dia. Jadi saya merasa tanggungjawab untuk itu. Saya tidak merasa semua itu sebagai satu masalah melainkan satu ruang dan peluang untuk saya menjalankan misi dakwah selaku seorang Da'i di muka Bumi ini serta menggerakkan diri saya agar terus memperbaiki diri menjadi insan yang baik. Bukankah kita dijadikan sebagai Khalifah?

        Saya juga tidak merasa kesorangan kerana bukan saya sahaja yang lalui ujian seperti ini. Para pembaca juga boleh jadi ada yang seperti saya. Bapa Nabi Ibrahim sendiri memusuhi nabi malah bapanya pengukir berhala. Bapa saudara Rasulullah S.A.W juga ketika meninggal tidak sempat memeluk Islam dan terus mati dalam kekafiran bukan? Allah sahaja yang mampu memberi Hidayah.

        Saya memahami perasaan peserta lelaki yang ada diatas tadi. Mungkin oleh kerana situasi dan ujian saya dekat sama dengan dirinya. Tapi saya sentiasa berpegang dengan satu prinsip dimana Allah tidak akan menguji para hambaNya melainkan mengikut kemampuan hambaNya masin-masing. Ya kita patutnya merasa bersyukur kerana kita sebenarnya mampu dan kuat untuk melalui ujian ini. Hanya kita yang pilih jalan penyelesaiannya harus bagaimana. Minta supaya Allah supaya sentiasa bersama.

        Saya pernah ada seorang kawan pada peringkat menengah dahulu. Dia datang dari keluarga yang sangat berada. Pernah suatu hari tu dia merajuk dengan ibunya hanya oleh kerana tidak dapat RM100 ringgit untuk 'hang-out' bersama rakannya pada hujung minggu. Dia lari dari rumah dekat seminggu. Dia merasa sangat tertekan ketika itu. Baginya itu adalah masalah yang sangat besar. Mungkin dah biasa dengan dunia kesenangan dan permintaannya dipenuhi. Yang saya terkejut dia melayan ganja bagi menghilangkan perasaan kacau bilaunya itu. 

          Mulai hari ini, seharusnya kita sedar apabila kita merasa ujian yang kita lalui ini sangat berat untuk ditempuh maka ingatlah ada lagi insan-insan lain yang jauh lebih berat ujianNya. Namun mereka tetap tabah dan sabar melalui semua itu. Ujian Para Nabi apatah lagi. Cuba semak kembali Sirah Para Nabi agar kita lebih bersyukur dan sekurang-kurangnya kita tidak bersedih hati.

        Pada hari ini, lihat juga di Palestin, Burma dan Syria contohnya. Saban hari mereka hidup dalam ketakutan. Perang dimana-mana. Bila-bila masa sahaja jiwa boleh melayang. Kalau di Syria sekarang ini mungkin mereka nak ke masjid pun takut diatas keganasan musuh-musuh Allah. Didalam masjid pun mereka sanggup membunuh. Yang anak kecil ditembak dikepala, lelaki dewasa dikelar lehermya dan wanita pula tiada hentinya diperkosa. Lebih berat bukan ujian mereka? Namun mereka tetap kuat. Kenapa tidak kita? Jadi tiada alasan lagi untuk kita terus lemah tidak bermaya. Ini masanya untuk kita bangkit!

        Bagi mereka yang mungkin senasib dengan lelaki yang saya ceritakan tadi atau mungkin lebih kurang sama ujian anda dengan saya. La Tahzan, inilah mungkin saatnya anda terus perbaiki diri. Sentiasa siapkan diri anda dalam keadaan yang baik. Antara tips yang ingin saya kongsikan untuk tarik keluarga anda kembali kepada jalan Allah seperti:

  • Bila masuk waktu solat ajak-ajaklah mereka ke masjid untuk solat bersama.
  • Anda juga boleh solat diruang terbuka agar mereka tertarik untuk mencontohi anda.
  • Baca Al Quran berdekatan dengan mereka agar mereka tertarik. Salangkan Saidina Umar sendiri masuk Islam hanya kerana terdengar bacaan Surah Taha bukan?
  • Tunjuk akhlak yang baik dan tunjuk serta praktik Sunnah Rasulullah yang sebenarnya.
  • Yang paling penting tariklah dengan KASIH SAYANG.
         Jangan putus asa. Kita berusaha dan merancang sebaik mungkin. Yang lain kita serah pada Allah. Hanya Allah mampu memberikan Hidayah kepada setiap hambaNya. Kita buat sehabis baik insyaAllah.

Wallahu Walliyyut Taufiq

            


2 comments:

Unknown said...

"mama saya kini telah mengalami Monopaus maka dia tidak diwajibkan memakai tudung lagi"
maaf,boleh saya minta penjelasan tentang ini.adakah ada dalil yang menyatakan apabila telah manapaous tidak diwajibkan pakai tudung?
mohon penjelasan untuk perkongsian..jazakallah khayr..

Unknown said...

Syukran diatas pertanyaan :)

"Dan Para perempuan tua yang telah berhenti (dari haid dan mengandung) yang tidak ingin menikah (lagi), maka tidak ada dosa menanggalkan pakaian luar mereka dengan tidak bermaksud menampakkan perhiasan: tetapi memelihara kehormatan adalah lebih baik bagi mereka. Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui" (An Nur: 60)

Jangan keliru, bagi semua wanita kewajipan menutup aurat masih sama cuma ada sedikit KELONGGARAN bagi mereka yang telah mencapai tahap Menopause(sekitar 50tahun keatas) yang membawa maksud tidak datang haid dan tidak mampu menggandung lagi.

Mengikut tafsir Attabari, Ibnu Jabir kata,
"wanita tua yang sudah tiada keinginan sama berlainan jantina, dimana orang lelaki juga sudah tiada minat terhadapnya(pandangan syahwat)maka diringankan kaedah menutup aurat yang lebih mudah. Tujuan bagi meringankan bebanan yang munkin memenatkan mereka."

Golongan tersebut sudah diberi kelonggaran dan tidak terikat dengan penutupan aurat seperti biasa. Tidak mengapa bagi mereka jika tidak memakai tudung atau mungkin hanya memakai anak tudung dan memakai pakaian lengan pendek asalkan masih kelihatan sopan dan tidak menjolok mata.

Jika kita lihat balik ayat An Nur diatas tadi, "Tetapi memelihara kehormatan... maknanya jika mereka yang telah Menopause ini ingin terus menutup aurat mereka dengan sempurna juga tiada masalah itu lebih baik bagi mereka. Cuma Allah dah beri kelonggaran buat mereka jika mereka mahu.

InsyaAllah itu sahaja dari saya. Maaf jika ada kekurangan.