Tuesday 27 August 2013

Ikhtilat Di Dalam Tanzim




Masalah ikhtilat bukanlah masalah yang baru.  Bahkan didalam tanzim atau biasa disebut sebagai organisasi sering terjadinya masalah ikhtilat yang tidak sihat antara lelaki dan wanita. Apatah lagi jika ianya terjadi didalam sebuah tanzim yang berasaskan Dakwah & Tarbiah sebagai gerak kerja utamanya. Sebelum kita menyentuh isu ini didalam konteks ikhtilat brothers & sisters didalam tanzim yang bergerak aktif di kampus. Ayuh kita menelusuri definisi ikhtilat dan sejarah Islam di awal kemunculannya.

Dari segi bahasa, ikhtilat bermaksud maramukan atau menggaul sesuatu dengan sesuatu yang lain yakni mencampurkannya. Dari segi syarak pula, ikhtilat bermaksud pencampuran antara lelaki dan wanita yang bukan mahramnya sama ada secara berkumpulan mahupun individu.

Jika dipandang pada sudut fiqh pula, hukum ikhtilat asalnya adalah haram melainkan adanya darurat dan hajat maka ada rukhsah (keringanan) untuk mengharuskan ikhtilat tersebut.

Seterusnya ayuh kita menelusuri sirah Baginda S.A.W pula. Rasulullah S.A.W sendiri ada berikhtilat dengan para wanita dalam keadaan yang perlu. Malah ikhtilat antara lelaki dan wanita dizaman baginda terjadi dengan luasnya secara normal tetapi terhormat. Antara hujahnya ialah:

Ummu Atiyyah berkata: "Saya telah menyertai Rasulullah S.A.W dalam tujuh siri peperangan. Ketika angkatan bergerak, saya berada dibarisan belakang. Tugas saya ialah menyediakan makanan, merawat mereka yang cedera serta menjaga mereka yang sakit." (Hadith Riwayat Muslim)

Abu Talhah berkata kepada Rasulullah S.A.W semasa perang Hunain: "Wahai Rasulullah ini Ummu Sulaim berserta bersamanya khanjar. Lalu Baginda berkata kepada Ummu Sulaim: "Khanjar apakah ini?" Ummu Sulaim menjawab: "Aku membawa khanjar bersamaku maka jika ada Musyrikin menghampiriku nescaya aku belah perutnya dengan ini" (Hadith Riwayat Muslim)

"Dan orang yang beriman lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setangah yang lain. Mereka menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran... (Surah At Taubah; 71)



Saya hanya kongsikan tiga. Hadith diatas itu antara salah satu dalil dimana ikhtilat dizaman Rasulullah berlaku. Ayat Quran diatas pula menunjukkan lelaki dan wanita itu saling bekerjasama menegakkan Amar Makruf Wa Nahi Mungkar. Dan banyak lagi riwayat yang menyatakan ikhtilat dizaman Rasulullah S.A.W berlaku. Tidak jumud seperti yang disangkakan sesetangah pihak. Namun sudah pasti ikhtilat itu berlaku dengan cara terhormat.

Situasi dizaman ini menyaksikan ikhtilat antara lelaki dan wanita berlaku dengan pesatnya. Sukar untuk dielak. Maka dengan berpandukan Al Quran & Sunnah, kita disarankan untuk mengatasinya dengan bijaksana.

Bagi siswa dan siswi yang bergerak aktif didalam kelab di kampus masing-masing. Jika dilihat dari sudut carta organisasi seperti biasa sudah pasti ada Pengerusi, Timb. Pengerusi, Naib Presiden, Setiausaha, Bendahari dan Biro-biro lainnya. Selalunya akan ada dari kalangan siswa dan siswi yang mengisi jawatan tersebut. Sudah pasti ikhtilat itu tidak dapat dielak. Kerana akan adanya mesyuarat, program, jamuan kelab dan sebagainya yang akan melibatkan kerjasama antara  lelaki dan wanita. Jadi disinilah Profesional Mukmin itu dituntut bagi setiap ahli.

Akhlak yang baik serta Iman & Takwa yang sentiasa dipasak akan dapat menjaga ikhtilat itu ke arah kebaikan. Adab-adab bertutur, pandangan mata, sensitif dengan suasana sekeliling serta profesional dalam berurusan akan menjamin pergerakan tanzim dan menghindar ikhtilat yang tidak sihat.

Selanjutnya, jika anda sudah tahu akan adanya urusan yang melibatkan lelaki dan wanita sehingga ikhtilat akan terjadi maka dari awal lagi jaga niat hanya kerana Allah, terus mengetahui matlamat anda hanyalah untuk membincangkan urusan yang mustahak, tidak berlakunya sentuhan fizikal, menutup aurat dengan sempurna, pengasingan tempat yang jelas agar tidak duduk saling berdekatan, jaga adab tutur kata dan amat digalakkan setiap urusan diketahui pihak yang lebih dewasa seperti penasihat kelab.




Antara tips-tips menjaga ikhtilat:


  • Mesyuaratlah berkumpulan dalam keadaan tertutup. Jarangkan mesyuarat antara lelaki dan wanita di tempat terbuka kerana akan mengundang fitnah mata yang memandang.
  • Jaga akhlak sepanjang berlakunya mesyuarat.
  • Menguasai adab-adab mesyuarat.
  • Minimumkan program-program yang melibatkan lelaki dan wanita secara bersama.
  • Berurusanlah sekadarnya hanya bila perkara-perkara yang melibatkan tanzim bukan peribadi.
  • Fatwa hati akan mengetahui keadaan sekeliling. Jika sudah mula rasa tidak selesa maka selesaikanlah segera urusan yang dibuat.
  • Amat tidak digalakkan lelaki & wanita berurusan berdua. Selalunya Ketua Biro dan Penolong Biro. Jika urusannya darurat pastikan di kawasan terbuka. Yang wanita disarankan membawa kawan.

Di era IT ini juga menyaksikan satu lagi inovasi minda yang tercapai. Bagi tanzim yang adakan 'meeting online' sama ada di facebook atau di laman sesawang mana pun cuba pastikan ianya berlaku dalam keadaan private. Tidak terdedah kepada umum. Dan jangan salah sangka. Sudah pasti ikhtilat didalam dunia maya juga perlu dijaga dengan sebaiknya. Jangan saat bersemuka, sopan santun orangnya. Namun bila mula berurusan didalam facebook, twitter dan sebagainya maka bermulalah galaknya.

Saya amat tidak setuju apabila adanya urusan yang perlu dibincangkan antara lelaki & wanita maka harus saling tidak memandang satu sama lain. Tertunduk-tunduk. Tutur katanya terlalu over dijaga hingga kadang-kadang suaranya tidak kedengaran. Itu bukanlah sifat malu yang dimaksudkan. 

Teladanilah Rasulullah S.A.W. Akhlaknya sempurna dan terpuji untuk diikuti. Baginda amat meraikan setiap umatnya sama ada dari kalangan lelaki dan wanita. Saat berurusan walaupun dengan wanita, Baginda amat menjaga etika ketika bercakap dengan orang dihadapannya dengan memandang wajahnya. Tidak tertunduk-tunduk. Para sahabiyat pada zaman itu pun bila berkata akan menghasilkan suara yang lantang dan jelas didengari. Tidak sayup-sayup kedenganran seperti kebanyakan Muslimah hari ini. Generasi Rasulullah S.A.W lah generasi terbaik untuk diikuti. Buat lelaki sudah pasti saat berurusan dengan wanita dinasihatkan agar menjaga pandangan mata. Hormatilah setiap wanita dihadapanmu.

Dalam kita berikhtilat. Bukan sahaja perlu menjaga mata insan sekeliling agar tidak tertimbulnya fitnah buat diri kita apatah lagi kepada tanzim. Jagalah maruah diri dan nama baik tanzim.

"Janganlah engkau mencampakkan diri sendiri kedalam ruang fitnah." (Saidina Umar Al Khattab) 

Dan yang paling penting sekali biarlah ikhtilat itu mendapat ganjaran disisi Allah S.W.T. Bukan murka Allah.

Wallahu Waliyyut Taufiq









1 comment:

ENCIK MUSAB said...

Alhamdulillah. Nice post :)

Salam ukhuwah ya akhee :)