Tuesday 12 February 2013

Ustaz Nicko...Haram Tak Bercinta Sebelum Nikah???

         

        Satu soalan yang sering diajukan oleh anak-anak muda yang mula berjinak dengan rasa cinta. Namun sering kali mereka yang bertanya itu berasa hampa bila soalan ini diajukan tetapi mendapat jawapan tidak seperti yang diinginkan.

Antara soalan lazim yang ditanya oleh pemuda pemudi tentang Cinta:

"Ibu haram tak along bercinta?"
"Ayah angah sukakan perempuan tu."
"Ustaz boleh ke saya bercinta?"

Lalu jawapan yang menghampakan mereka selalunya:

"Baru setahun jagung dah gatal!"
"Kau nak dekati zina ke? Haram!"
"Boleh..bercintalah dengan Allah."

         Baru-baru ini saya ditanya oleh beberapa rakan lama ketika makan malam berseorangan di sekitar Kampung Baru. Makan Chicken Chop di Kedai Kapal. Mereka datang menegur menanya khabar saya. Kemudian tengah rancak dalam perbualan, satu soalan yang ditanya dengan gaya sinis sambil asap rokok mereka dikepul-kepulkan ke udara. Saya mengharapkan gelaran hari itu menjadi doa buat saya. "Ustaz Muda Nicko...err haram ke bercinta? Kitorang couple-couple ni okay ke?"



Baca juga artikel Dr MAZA yang bertajuk: "Apakah Terlarang Bercinta Sebelum Kahwin?"

http://drmaza.com/home/?p=1729

Bismillahirrahmanirrahim,

             Cinta tidak Haram. Bahkan cinta merupakan satu fitrah insaniah yang dikurniakan Allah kepada setiap para hambaNya. Cinta Allah, Cinta Para RasulNya, Cinta Agama, Cinta Negara, Cinta Ibu Bapa, Cinta Anak-anak, Cinta Haiwan dan Tumbuhan juga Cinta Antara Dua Insan. Naluri cinta tidak boleh dinafikan. 

        Justeru itu perasaan mencintai seseorang atau bercinta sebelum nikah tidak seharusnya diharamkan sewenang-wenangnya apatah lagi buat para mereka yang tidak bertanggunjawab hanya kerana takut akan terjadinya masalah zina yang berleluasa. Bukan perasaan cinta yang seharusnya jadi mangsa!

                Cinta antara dua insan itu asalnya suci dan fitrah. Ianya tidak seharusnya dimomokkan dengan zina semata. Penjelasan mengenai cinta terhadap anak-anak muda harus jelas. Jangan biarkan mereka terus hampa, malu dan tiada daya upaya untuk menceritakan masalah cinta mereka kepada ibubapa mahupun kepada para asatizah yang ada disekeliling mereka. Ya akhirnya ianya menjadi satu igauan kerana kita tidak membantu mereka untuk menguruskan perasaan cinta mereka. Sebab itu juga akhirnya zina berleluasa!

                Zina tidak mengenal siapa mangsanya atau kategorinya. Yang berilmu agama mahupun yang jahil. Yang memakai jeans ataupun berjubah. Yang bertopi mahupun berkopiah atau serban. Yang membuka aurat mahupun muslimah atau juga yang berniqab. Buktinya bacalah kisah sahabat saya ini:

http://nickozulkarnain93.blogspot.com/2012/12/kisah-rakanku-yang-hampir-berzina.html


               Berbalik kepada cinta, Allah dan Rasulullah S.A.W tidak pernah mengharamkan cinta sebelum nikah. Malah Allah dan Rasulullah meraikan mereka yang mempunyai perasaan cinta tetapi dengan kadar ketetapan yang telah diperintahkan.

Allah Berfirman:
“dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran) untuk meminang perempuan (yang dalam edah kematian suami), atau tentang kamu menyimpan dalam diri (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan mengingati mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis edah yang ditetapkan itu. dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam dada kamu, maka beringat-ingatlah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar”. (Surah al-Baqarah: 235)


        Berdasarkan ayat ini, " atau tentang kamu menyimpan dalam diri (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan mengingati mereka, (yang demikian itu tidaklah salah)...." Jadi kita dapat buat tafsiran bahawa Allah tidak mengharamkan perasaan cinta sebelum berlangsungnya nikah yang Dia sendiri kurnia kepada para hambaNya. 

Rasulullah S.A.W bersabda:

"Aku tidak melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta seperti nikah" (riwayat al-Baihaqi dan Ibn Majah, sahih).

        Jelas jika kita tafsir hadith sahih diatas, kalau Rasulullah S.A.W mengharamkan perasaan cinta sebelum nikah maka Rasulullah tidak akan bersabda seperti itu. Hadith diatas tidak akan wujud!

       Rasulullah juga tidak pernah mengharamkan syair-syair yang mengagungkan cinta yang dialunkan oleh para pujangga di zamannya selagi mana ianya tidak menunjukkan sentimen lucah dan syirik kepada Allah. Maka apa salahnya jika memang ada anak muda yang lembut hatinya mengenai cinta lalu mendengar lagu-lagu cinta seperti Inteam - Nur Kasih, Impian Kasih dan sebagainya selagi mana tiada unsur lucah?

        Cinta itu satu sumber kekuatan. Saya kurang setuju bagi mereka yang terus menempelak atau bernada skeptik  buat mereka yang berkata "Kerana cinta lautan luas sanggup ku redah". Kerana hakikatnya cinta memang begitu. Dari selekeh jadi kemas. Dari pemalas jadi rajin. Hanya kerana ingin menunjuk dihadapan insan yang kita cinta bahawa kitalah yang terbaik untuknya. Tidak percaya? Tunggu saat Allah kurniakan perasaan cinta terhadap anda!

Saya ditanya mengenai falsafah saya mengenai Cinta lalu jawapannya:

"Cinta itu mengajar erti perjuangan, yang lemah menjadi gagah. Cinta itu mengajar untuk mencintai setiap Insan yang kita Cinta. Cinta itu melahirkan Para Sarjana dan Panglima. Cinta didahulukan dengan pemberian. Cinta itu mengenai kepercayaan dan tanggungjawab. Dan kemuncaknya, Cinta yang sempurna itu hanya buat Allah Ta'ala."


              
           Juga satu kenyataan dangkal bila mana mereka yang berkata bahawa rindu, suka, sayang dan cinta itu menjurus kepada Zina Hati. Sedangkan hakikatnya Zina Hati yang dimaksudkan oleh Rasulullah S.A.W adalah perasaan ingin mengadakan hubungkan seks terhadap insan yang dibayangkan, bukannya perasaan cinta. Harus jelas!

              Jika naqib saya berkata bahawa sayang itulah cinta. Namun menurut saya bahawa sayang, rindu dan suka perlu digabungkan barulah menjadi cinta. Jadi satu lumrah biasa bila kita merindui seseorang, menyayangi seseorang mahupun sukakan seseorang. Raikan perasaan cinta itu berpada-pada. Jangan terus menafikan perasaan cinta sehingga akhirnya merosakkan jiwa sendiri hanya kerana kenyataan mereka yang terlalu dangkal mengenai cinta.

                Apa pun bagi mereka yang bercinta. Utamakanlah cinta utama yakni Allah S.W.T. MilikNya jua cinta di hamparan bumi ini. Sungguh Allah akan cemburu jika kita mendahulukan cinta lain selain dariNya. Utamakanlah cinta buatNya maka insyaAllah cinta yang lain akan akur sama.





PERINGATAN

                 Cinta tidak sama dengan ber-couple. Cinta bila mana kita benar-benar serius ingin menikahi insan yang dicinta. Rasa ingin bertanggungjawab terhadapnya. Bersedia meletakkan kepercayaan terhadap insan itu. Si lelaki bersedia berjumpa dengan ibubapa si wanita. Si wanita pula terima si lelaki seadanya. Couple pula boleh jadi sama tetapi ditambah dengan keluar berdua-duaan dengan ikatan yang masih belum halal hingga akhirnya diselangi dengan hawa nafsu lalu berzina.

           Cinta sebelum nikah harus diurus dengan efektif agar tidak terjerumus kepada zina. Ya memang benar cintalah yang selalunya menjerumuskan kepada zina. Tetapi bukanlah kerana cinta sepenuhnya. Ianya kerana cinta itu telah didorong oleh hawa nafsu yang memuncak. Bukan salah si pencinta wanita/lelaki semata. Tetapi ibubapa dan para asatizah juga harus memainkan peranan yang sewajarnya untuk membantu mereka yang telah dikurniakan cinta.

            Ada pasangan muda yang ingin bernikah lalu ditegah habis-habisan. Akhirnya mereka berzina. Mahu salahkan siapa? Ada yang ingin bertanya soal cinta lalu buat tak endah. Akhirnya mereka menjalani cinta mereka dengan acuan jahiliyyah. Nak salahkan siapa?

           Ada juga cinta yang dahulunya suci dan indah lalu punah ditengah jalan hanya kerana telah didorongi oleh hawa nafsu hanya kerana menghidupkan budaya couple dengan berjumpa berdua-duaan hingga akhirnya mendekati perbuatan zina mahupun berzina. Akhirnya si wanita akan berkata "Jika lelaki tu sentuh kita dia tidak cintakan kita." Yang lelaki pula nak menangkan ego mereka "Sudahlah banyak lagi wanita yang lebih baik daripada si dia." Eh mana pula cinta yang dimuliakan dahulu itu? 


          Jadi buat anak-anak muda yang ingin bercinta sebelum nikah anda seharusnya memikirkan risiko ini. Saya juga bersetuju jika cinta selepas nikah memberikan seribu satu 'suprise' yang lebih bemakna buat kita. Tidak kurang juga cinta sebelum nikah. Setiap pasangan ada cerita cinta mereka masing-masing.

     Ibubapa dan para asatizah juga harus memandang serius soal ini. Bukan dengan hanya mengharamkan cinta. Tetapi dengan nasihat kaedah dan cara menjalani cinta yang lebih baik. Mungkin kisah-kisah travelog cinta seperti buku karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan Hilal Asyraf boleh diambil sebagai iktibar untuk menangani dan menjalani cinta sebelum nikah seperti pertunangan dan sebagainya. Nasihat cinta dari Ustaz Pahrol Mohd Juoi dan Ustaz Mohd Nor Mamat antara yang harus diutamakan. Artikel bertajuk "Cinta Ana Enti" karya Ustaz Maszlee Malik juga boleh dijadikan rujukan.

Wallahu Waliyyut Taufiq

            

No comments: