Friday 22 February 2013

2 Tanda Kita Mencintai Allah S.W.T


Saya begitu tertarik dengan beberapa input yang disampaikan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil mengenai tanda-tanda mencintai Allah. Seorang da’ie tempatan yang pernah menjadi Imam masyarakat Islam di Ireland selama 5tahun. Mungkin sudah ramai yang pernah membaca buku travelog hidupnya iaitu “Di Hamparan Shamrock”. Ketokohannya didalam bidang penulisan dan dakwah tidak dapat disangkal lagi. InsyaAllah saya ingin berkongsikan apa yang beliau telah sampaikan mengenai kecintaan terhadap Allah sebelum ini.


KALAU CINTA, RINDU UNTUK BERTEMU

Bagaimanakah sikap kita dengan janji temu (solat) dengan Allah? Apakah kita datang seawal waktu atau sering menunggu-nunggu masuknya waktu solat? Jika ya, itu petanda yang kita memang cintakan Allah. Sekiranya setiap kali menjelang waktu solat kita telah siap berwudhu’, menunggu di saf hadapan dengan pakaian yang paling bersih, ditambah pula dengan haruman minyak wangi. Alhamdulillah, itu petanda cinta. Jika kesempatan dating dengan kekasih ditunggu-tunggu saat dan ketikanya, maka seharusnya lebih-lebih lagi dengan Allah yang kita cintai.

Jika solat lewat (apa lagi yang langsung tidak solat), datang dengan enggan, muka masam, berat tulang, dan pakaian beserabut, itu petanda tidak cinta. Tidak fokus. Sambil lewa pula. Solat mahu selesai cepat.

Adakah seorang kekasih ingin segera berpisah dalam pertemuannya dengan kekasihnya? Adakah seorang kekasih sampai lewat untuk janji temunya? Atau berpakaian serabut kusut masai, dan berbau ketika menemui kekasihnya? Tidak Mungkin!

Tetapi jika itulah sikap kita, ertinya kita tidak cinta kepada kekasih itu. Maka begitulah juga ukuran cinta kita kepada Allah. Perlu ada rindu, bukan jemu untuk bertemu. Cinta kepada Allah itu tanpa syarat!

KALAU CINTA, SUKA APABILA DISURUH

Seorang kekasih sentiasa suka disuruh oleh kekasihnya. Walau sebesar mana pun kesusahan tidak kisah. Asalkan maksud kekasih dipenuhi, tidak kira apa akan ditempuhi. Oleh sebab amat suka disuruh, hati sentiasa menunggu-nunggu apabila hendak disuruh. Bila lagi? Apa lagi? Begitulah detik hati selalu. Pantang disuruh, macam lipas kudung, segera dilaksanakan.

Teringat saya akan seorang sahabat saya yang tengah sibuk bercinta dahulu. Futur sejenak. Ini lagi hebat tak disuruh pun tapi memang nak buat. Kekasihnya belajar di UIAM. Kehilangan kalkulator. Sedangkan final exam bermula esok. Sanggup dia naik bas awam dari pusat bandar ke UIAM hanya sekadar nak bagi kalkulator miliknya kepada kekasihnya. Tak bagi kekasihnya beli baru atau pinjam orang lain punya. Begitulah kuasa cinta.

Seharusnya begitulah cinta buat Allah. Sentiasa suka apabila diperintahkan. Apabila ada sesuatu yang disuruh buat, terus buat. Tanpa ditanya-tanya lagi. Apabila disuruh tinggal, terus tinggalkan. Sami’na wa ato’na. Itulah bukti cinta. Sebarang suruhan Tuhan akan segera dilaksanakan. Malas, letih, sakit, miskin dan lain-lain tidak menjadi penghalang. Bagaimanakah pula dengan kita?

Mereka akan sentiasa proaktif dan mencari-cari apa lagi suruhan Tuhan yang hendak dilaksanakan. Apabila dapat dilaksanakan, alangkah bahagianya dirasakan.

Sekarang apa respons kita terhadap perintah Allah dan laranganNya? Ya, mungkin kita sudah melaksanakannya. Contohnya, solat subuh. Ya, memang kita menunaikannya. Cermin diri kita. Apakah kita bahagia dan seronok melakukannya. Apakah kita memang willing and able nak lakukannya. Atau rasa terpaksa sahaja?

Jika ada rasa terpaksa untuk bangun solat, itu petanda belum cinta. Besar bezanya antara orang yang mengatakan I have to pray dengan orang yang berkata I need to pray. Memang keduan-duanya sama-sama sembahyang. Tetapi seorang kerana suka dan seorang lagi kerana terpaksa. Seorang sudah benar-benar cinta sedangkan yang seorang lagi sebaliknya.

HAKIMI DIRI

Cukuplah dengan dua tanda sebagai ukur tara, apakah kita sudah cintakan Allah atau belum. Tanyalah kepada hati nurani anda. Berhakimlah kepada diri sendiri. Jika kita masih belum memiliki dua ciri-ciri tersebut itu tandanya kita belum cinta kepada Sang Pencipta. Jika kepada insan yang dicinta kita boleh lakukan apa sahaja maka sewajibnya buat Pencipta insan yang kita cinta itu sendiri diberi lebih lagi.

Wallahu ta’alaalam

No comments: