Friday 8 February 2013

Berkatalah Benar Walaupun Pahit...

   



        Sungguh besar erti tajuk entry pada kali ini. InsyaAllah saya ingin berkongsikan satu kisah benar turun temurun dari naqib saya sendiri ketika mengikuti satu program remaja dengan beliau.

      Sebelum itu kita mungkin pernah atau sering menghadapi situasi ketika mana kita ingin menegur sahabat-sahabat kita atau sesiapa pun dengan berkata benar tapi berasa serba salah kerana khuatir insan yang kita tegur itu akan berkecil hati. Walau sebenarnya kita mampu untuk berkata benar dengan penuh hikmah tapi disebabkan tiada keberanian dalam berkata benar maka akhirnya kita jadi terdiam seribu bahasa untuk menyampaikan kebenaran. 

Daripada Abi Zar Al Ghiffari r.a katanya:
   Kekasihku S.A.W telah memerintahkan kepadaku tujuh perkara:


1) Memerintahkan  agar aku mengasihi orang-orang miskin dan merendahkan diri terhadap mereka. 2) dan memerintahkan agar aku melihat orang yang dibawahku(kurang dariku)dan tidak melihat orang yang berada di atasku(lebih dariku). 3) dan memerintahkan agar aku menyambung silaturrahim walaupun aku dibenci. 4) dan memerintahkan agar aku tidak meminta kepada seseorang sesuatu apa pun. 5) dan memerintahkan agar aku berkata benar walaupun ianya pahit. 6) dan memerintahkan agar aku tidak takut kerana Allah walaupun dicela oleh orang yang mencela. 7) dan memerintahkan agar aku memperbanyakkan menyebut: “ La haula wala Quwwata Illa billah” kerana ianya sebahagian dari khazanah dibawah A`rsy. 


  (HR Ahmad,berkata Al-Imam Al-Wadi`i Rahimahullah: hadith ini hasan.Rujuk As-Shahih Al-Musnad Mimma Laisa Fi As-Shahihain 1/23, dishahihkan oleh Al-Imam Al-Albani dalam Silsilah As-Shahihah no:2166)


         
         Pentingnya dalam menyampaikan kebenaran hingga sudah sepatutnya pendirian ini diterapkan dalam diri setiap muslim. Saya juga pernah menghadapi situasi yang sama hanya kerana bila mana seorang sahabat saya menghadapi nafas berbau mungkin kerana giginya berlubang atau masalah gusi tapi saya telah mengambil masa berbulan-bulan lamanya untuk menyampaikan kebenaran kepada dia hanya kerana khuatir dia akan berkecil hati dengan saya. Sedangkan kemungkinan besar insan yang ditegur itu tiada apa. Tetapi hanya kerana sifat saya saat itu yang terlalu pengecut dan terlalu ingin menjaga perasaan orang lain. Sepatutnya saya berpada-pada dalam bersikap seperti itu.

        Alhamdulillah. InsyaAllah lepas ini saya akan menjadi lebih berani dan berkemampuan untuk menyatakan kebenaran setelah mendengar kisah naqib saya ini.

         Ianya kisah dimana lima sahabat yang bersahabat baik semenjak kecil hingga ke peringkat menengah. Mereka ini ibarat aur dengan tebing. Menangis dan ketawa bersama. Berjanji setia ingin menuntut di universiti yang sama iaitu di UIAM. Cuma masalahnya sewaktu mereka semua ditingkatan lima bila mana mereka akan menduduki peperiksaan SPM salah seorang dari sahabat ini telah terjebak didalam kancah rempit. Dia ini amat minat berlumba motorsikal bersama rakan rempitnya yang lain. 4 sahabat yang lain pula gigih belajar bagi menghadapi SPM yang mendatang. Sedihnya tiada seorang pun dari 4sahabat ini berani menegur sahabatnya yang terjebak tersebut kerana khuatir sahabat yang ditegur akan merajuk dan berkecil hati. Maka akhirnya 4sahabat ini mengambil keputusan untuk mendiamkan diri.

          Tiba saat semasa ingin menduduki peperiksaan SPM yang pertama iaitu Bahasa Melayu, sahabat yang terjebak dengan kancah rempit ini terlibat dengan kemalangan motorsikal kerana membawa motorsikal Honda EX5-nya dengan had kelajuan yang dilarang lalu terlantar di hospital. Dia terpaksa menduduki SPM di hospital. Saat keputusan keluar, SPM dia terjejas teruk sedangkan 4sahabat yang lain dapat keputusan yang cemerlang dalam SPM hingga berjaya sambung belajar di UIAM. 

            Sahabat yang terbabit kemalangan tersebut terpaksa dirawat di hospital berbulan lamanya kerana kerosakan buah pinggang. Perutnya terpaksa ditebuk bagi memasukkan salur tiub untuk mengeluarkan bahan kumuh kerana sistem pembuangan najisnya sudah tidak mampu berfungsi lagi. Bayangkan pedihnya saat salur tiub dimasukkan ditempat yang ditebuk bagi mengeluarkan najis tanpa suntikan penahan sakit.

              Suatu hari tu 4sahabat ini melawat sahabat mereka yang sedang terlantar di hospital:

"Kau sihat Qais?"

"Beginilah nasib aku. Macam mana kuliah korang?"

"Alhamdulillah best sangat. Kitorang semua satu Mahallah. Bertuah sangat. Munawwar pegang jawatan Presiden dalam Mahallah kitorang."

"Bertuahnya korang semua. Korang sayangkan aku?"

"Kitorang sayang sangat dengan kau Qais. Kau sahabat kitorang hingga hujung nyawa. Syafakillah. Semoga cepat sembuh."

"Korang bohong! Kalau korang sayang aku korang takkan biarkan aku terjebak dalam kancah rempit. Korang akan tegur aku. Kalau aku tak eksiden pasti kita berlima dapat belajar sama-sama. Korang pembohong. Korang tak sayangkan aku."

          Kelima-lima sahabat ini menagis keesakan. Semua perasaan bercampur baur saat itu.

        Begitulah pengakhiran ceritanya. Apa yang mampu saya selitkan dari ibrah kisah diatas ialah kita haruslah beranikan diri dalam apa jua keadaan sekalipun untuk menyatakan kebenaran. Walau mungkin pedang yang terhunus sudah berada dileher kita. Biar jika teguran kita membuatkan insan yang disayang menjadi benci tapi apa yang kita lakukan semata-mata untuk kebaikan mereka juga. Cukuplah Allah yang menilai setiap amal kebajikan hambaNya.

Wallahu Ta'ala Alam.
         


1 comment:

Muhammad Adam bin Roslan said...

saat diuji, mudah saja manusia ini menuding jari kepada orang lain.

Sebelum diuji dengan kemalangan, adakah dia akan mendengar nasihat sahabat-sahabat tersebut?

Persoalan ini yang harus dijawab oleh remaja tersebut. Setiap ujian dia perlu redha dengan apa yang dihadapi. Namun, kesalahan tidak boleh juga diletakkan kepada dia seorang. Sahabat-sahabatnya juga perlu mengambil tanggunjawab tersebut.