Sunday 4 August 2013

Ikhwah Alien

Dah berapa lama sangat tak update entry. Ya Rabb moga Engkau kuatkan diri ini untuk istiqamah kembali pada bidang penulisan. InsyaAllah kali ini saya ingin kongsikan satu lagi kisah realiti. Ini bukan Ikhwah Jadian seperti yang pernah dikongsikan oleh Angel Pakai Gucci (Hehe jangan marah abang APG). Ini Ikhwah Alien. Jauh berbeza dengan apa yang ingin saya sampaikan dari entry ini. Demi Allah, kisah ini sebuah kisah benar. Saya percaya setiap individu pasti ada masalah keluarga yang dihadapinya. Namun saya ingin membawa satu sudut perspektif yang berbeza kepada para pembaca untuk menilai sendiri kehidupan realiti ini.

Ini kisah salah seorang rakan saya.  Saya namakannya sebagai Qais (bukan nama sebenar). Sejujurnya sangat perit juga ujian hidup yang dihadapinya. Apakah kita cukup kuat jikalau berada ditempatnya? Atau mungkin Allah itu menguji seseorang mengikut kemampuannya. SubhanaAllah, namun dia masih gagah dan kental menghadapi onak duri kehidupan. Baginya, ‘Ahh orang di Palestin lebih perit’!

Qais membesar dalam kalangan keluarga yang penuh dengan masalah. Masalah agama, kewangan, pendidikan, moral, maksiat & jenayah. Boleh dikatakan semua masalah itu ada di dalam keluarganya. Qais ada lima adik beradik. Qais merupakan anak kedua. Ada seorang abang. Bermula anak ketiga hingga akhir merupakan adik beradik tirinya. Semua lelaki kecuali adik terakhirnya adalah perempuan.  Pada mulanya boleh dikatakan Qais lahir didalam kalangan keluarga yang sangat kaya dan senang.  bapanya mampu menjana pendapatan sebanyak Rm 10k sehari. Dan mampu membelanjakan untuk Qais sahaja Rm 2k sehari. Melancong sana sini. MasyaAllah. Namun apakah pekerjaan bapanya?

Bapa Qais boleh digelar sebagai Penjenayah Antarabangsa. Sangat pakar dalam bidang samun. Hanya dengan menggunakan kereta Wira berwarna hitam, ayah serta geng samunnya mampu meraih Rm 50k sehari sebelum wang itu diagih-agihkan. Ayah Qais juga seorang pemabuk, penjudi, penghisap Syabu & Ganja (tonton filem Blow kalau nak hayati watak bapa Qais) dan kaki tonton wayang filem porno. Suatu ketika dahulu berlambak CD lucah, bekas botol arak dan ganja segar dirumah Qais. Semua itu sudah terbiasa di mata Qais.

Ibu Qais pula insan yang dari Non Muslim lalu revert (kembali) pada Islam setelah mengahwini bapanya. Namun bapa Qais tak pernah sedikit pun membimbing ibunya. Apakan tidak, bapanya huruf hijaiyah sahaja tidak tahu. Solat? Belum pernah sekali pun Qais melihat bapanya bersolat. Sama juga dengan mengaji Quran. Puasa? Ada sekali dua, itu pun ayahnya jadi seorang yang panas baran. Mungkin tidak tahan kerana terlalu lapar. Maknanya Ibunya memeluki Islam sekadar ingin mengahwini bapanya. Sangat kesian tiada pula yang ingin membimbing ibunya setelah bapa Qais menceraikan ibunya disaat kelahiran Qais dan mengahwini ibu tirinya.

Suatu hari itu, setelah aktiviti menyamun selesai. Salah seorang rakan bapa Qais dikejar polis. Kereta putih BMW yang dipandu rakan bapa Qais terbabas di jalan Bukit Antarabangsa lalu pihak polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah rakan bapa Qais sehingga rakan bapanya itu mati. Saat itu juga bapa Qais membuat keputusan untuk berhenti dari bidang penyamunan dan masuk ke dalam bidang perniagaan.

Pada mulanya bidang perniagaan yang dimulakan oleh bapanya berjalan dengan baik. Namun azab Allah itu hadir tidak beberapa lama kemudian. Mungkin hasil modal perniagaan  yang dimulakan dengan wang haram. Baki wang samun dahulu.  Juga maksiat yang terus menerus dilakukan bapanya seperti berjudi, minum arak dan hisap ganja sehingga Allah menurunkan azabNya dan menarik nikmatNya.
Perniagaan bapa Qais hancur. Ada sahaja badai yang mendatang hingga kerugian sahaja yang datang. Bukan keuntungan. Satu persatu harta yang dimiliki bapa Qais dijual, dipajak atau ditarik oleh pihak bank. Sehingaa bapa Qais benar-benar bankrap.  Tinggal keluarga Qais sebatang kara. Kais pagi makan pagi. Kais petang makan petang.

Ibu Tiri Qais pula mula dilanda tekanan jiwa. Mungkin kerana peritnya menanggung bebanan yang berpunca dari bapa Qais sendiri. Ibu tiri Qais pernah cuba memarangi bapa Qais mungkin kerana terlalu geram. Namun berjaya dipatahkan oleh abang Qais. Kalau tidak mungkin sekarang ini bapa Qais sudah menjadi arwah.

Setelah kesemua harta hilang. Bapa Qais meminta izin bekas isterinya yakni ibu kandung Qais untuk menumpang di rumah sewanya. Bukan dirinya sahaja. Namun satu keluarga. Bapa Qais, ibu tirinya serta adik beradik tirinya. MasyaAllah hebatnya ibu Qais. Ibu Qais terima kehadiran keluarga itu. Wanita mana yang sanggup?

Hampir setahun juga keadaan itu berlarutan. Bapa Qais terus menerus menjadi penganggur. Kesemua ditanggung oleh ibu Qais. Ada kalanya Bapa Qais membawa wang pulang ke rumah. Itu pun hasil kemenangan bermain judi. Atau menang lawan Chess.

Ibu Tiri Qais pula bertambah sakit. Tekanan jiwanya bertambah parah hingga akhirnya bapa Qais membuat keputusan menghantar ibu tiri Qais serta adik perempuannya juga anak paling bongsu yang berusia 4tahun hasil perkahwinan bapa Qais dengan ibu tirinya (sekarang 2013) ke kampung halaman.
Kini bapa Qais tinggal bersama rakannya yang masih membujang. Ibu Qais sudah tidak benarkan bapa Qais menetap dirumahnya. Kerana keadaan itu sungguh tidak baik. Dan bapanya masih terus menganggur. 

Ada sekali itu bapa Qais ingin membawa teksi. Namun bukanlah kerana ingin mencari rezeki sepenuhnya dengan teksi itu selain ada udang disebalik batu. Teksi itu dibiayai oleh seseorang yang ingin menjadikan bapa Qais sebagai seorang penghantar dadah menggunakan teksi itu. Itu peluang untuk bapa Qais menjadi kaya semula. Namun ditentang kuat oleh abang serta Qais sendiri. Bapa Qais juga akhirnya menarik diri dari terlibat dengan kancah itu. Kerana beliau masih sayangkan keluarganya. Sangat risau apa akan terjadi pada keluarganya jika beliau tertangkap. Qais sendiri pernah melihat dadah didepan matanya seberat beberapa kilogram, pistol dan wang sebanyak Rm800k didalam but teksi tersebut. Itu penghantaran bapanya yang pertama dan terakhir.

Bapa Qais juga pernah beberapa kali masuk kedalam lokap. Kerana ujian urinnya positif dadah.  Qaislah yang menguruskan bapanya di lokap. Berjumpa dengan polis itu dan polis ini untuk menjamin bapanya. Selalunya anak yang bermasalah. Jadi rempit dan sebagainya. Tapi situasi Qais sungguh berbeza. Terbalik pula jadinya.

Adik-adik Qais yang dua itu kini ditanggung sepenuhnya oleh Ibu Qais. Adalah juga bapa Qais bagi wang perbelanjaan. Namun sekadar jajan ke sekolah.  Itupu sangat jarang. Ibu Qais sudah menganggap adik-adik Qais seperti anak kandungnya. Sangat sayang kata Qais.

Dan yang klimaksnya saya ingin kongsikan akhirnya Qais diberi hidayah oleh Allah saat tamatnya sesi persekolahan di peringkat menengah. Kini beliau berada didalam IPTA. Qais dahulunya insan yang sangat jahil. Yela cuba bayangkan siapa yang ingin membimbingnya dengan Ilmu agama jika ayahnya sendiri sahaja sudah begitu? Namun Allah itu Maha Penyayang. Sangat kencang gerakan Dakwahnya di kampus. Tarbiahnya sungguh mantap. Memegang pelbagai jawatan kepimpinan di kampus. Dan masih terus menerus perbaiki diri. Tsabat duduk didalam Usrah. Beliaulah yang saya gelar sebagai “IKHWAH ALIEN”.  Seorang Mutarabbi juga Murabbi yang sangat berpotensi untuk Islam insyaAllah.
Qais masih terus berusaha keras berdakwah kepada keluarganya. Ibu yang sangat dicintainya terus menerus dibimbingnya. Adik-adiknya, Qais lah yang mengajar mengaji, solat dan sebagainya. Ibunya yang dulu ‘free-hair’ kini mula bertudung hasil tunjuk ajar Qais.

Walau siapapun ayah Qais. Hakikatnya Qais amat menyayangi bapanya. Qais berharap bapanya sempat diberi hidayah oleh Allah sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Ayuh kita sama-sama doakan untuk rakan saya itu. Saya harap para pembaca dapat tangkap apa yang sebenarnya ingin saya kongsikan dari kisah rakan saya ini. Ini bukan cerita rekaan, novel mahupun fantasi seorang penulis melainkan ianya sebuah kisah realiti. Hayatilah, ambillah sebagai ibrah.
Tingkatkanlah Syukur kita kepada Allah S.W.T.  Ada lagi insan yang lebih berat ujiannya berbanding kita. Namun sabar dan syukurnya amat tinggi buat kekasihnya Allah.

Wallahu Waliyyut Taufiq.


No comments: