Saturday, 1 September 2012

Jangan Putus Asa!

        Berapa ramai hari ini Insan yang berputus asa dari rahmat Allah. Mereka merasakan bahawa mereka tiada lagi peluang untuk kembali kepada Allah sehingga mereka meneruskan jua jalan ke arah kegelapan. Berapa ramai pula Muslim yang sanggup keluar dari agama Allah kerana merasakan ada 'tuhan' lain dalam agama yang dipilihnya itu yang mampu mengampuni segala kesalahan mereka. Sudahkah kita lupa Rahmat Allah itu begitu luas? Sudahkah kita lupa bahawa Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang? Sudahkah kita lupa kasih sayangNya mendahului murkaNya?

      Mungkin ada yang frust, kecewa dengan setiap dosa yang pernah dia lakukan. Ditambah lagi dengan kata-kata sumbang "Allah tak ampun dosa macam kau ni." hingga dia rasa berputus asa nak berubah. Allah telah dahulu jawab didalam firmanNya:



"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya dia lah jua yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Surah Az Zumar : 53)


        Mungkin pernah kita lalui hari dimana apabila kita melakukan satu kesalahan terhadap orang lain hingga harus menunggu berhari-hari malah berbulan untuk orang itu maafkan kita . Tetapi bagi Allah, jika kita benar-benar rasa menyesal dan ingin kembali kepadaNya tiada kiraan masa buat Allah untuk mengampuni kita. Walau sebesar gunung dosa-dosa kita. 

Hadith Qudsi menceritakan:

Ada satu kisah dimana seorang Hamba Allah ingin bermujahadah untuk meninggalkan segala perbuatan maksiat namun sedang dia bermujahadah lalu dia tergelincir:

 Allah S.W.T: Dia tahu ada tuhan yang boleh mengampunkan segala dosa dia dan bertindak diatas dosa-dosanya. Aku ampunkan dia. AKU TIDAK PEDULI.

Setelah tidak lama dia bertaubat bersungguh-sungguh dari dosanya yang lalu namun tiba-tiba dia TERGELINCIR lagi.

Hamba Allah: Wahai Tuhan, Aku telah buat dosa lagi. Ampunkan daku.

Allah Jawab: Dia tahu bahawasanya ada tuhan yang boleh ampunkan dosanya dan bertindak diatas dosa-dosanya. Aku ampunkan dia. Aku tidak peduli.

       Islam tidak mengajar kita membuat pengakuan di mata dunia dengan setiap dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Hatta buat pengakuan didepan Ulama'. Islam tidak menyuruh kita membeli Surat Pengampunan seperti di Zaman Renaissance untuk minta diampunkan segala dosa. Bukankah kalau begitu hanya orang kaya sahaja yang mampu untuk dibersihkan dari segala dosa? Hanya orang kaya sahaja yang berhak masuk ke Syurga sedangkan orang miskin ke Neraka? Islam tidak pernah menyuruh kita membuka aib insan lain apatah lagi aib diri sendiri.

        Jika ada Insan yang sedang baca artikel ini, mungkin dahulunya anda seorang Pembunuh, Perogol, Penzina, Penabur Fitnah, derhaka terhadap kedua ibu bapa malah ingkar untuk mendirikan segala yang diperintah oleh Allah hingga setinggi gunung dosa anda. Kemudian anda menyesal dan ingin bertaubat. Adakah anda sanggup untuk menceritakan segala dosa-dosa anda ini terhadap orang lain? JANGAN! Anda tidak perlu melakukan sebegitu rupa. Malah Allah suruh tutup aib kita. Allah telah sediakan masa yang terbaik untuk kita bertemu dan merintih kepadaNya. Bangun dan dirikan solat di malam hari dalam memohon keampunan terhadapNya. Bermujahadah untuk meninggalkan segala perbuatan maksiat yang pernah kita lakukan. Menyesal dengan segala dosa yang pernah dilakukan. InsyaAllah Dia pasti mengampunkan segala dosa kita.

       Allah tak pandang siapa pun ibubapa kita, atuk dan nenek kita, keturunan apa kita, namun jika memang kita ingin kita kembali kepadaNya tiada satu hijab pun yang mampu menghalang antara Allah dengan HambaNya. Marilah kita kembali kepada fitrah dalam memburu Syurga Allah. Sungguh jika kita memang Pendosa maka jadilah Pendosa yang dicintai oleh Allah dengan sentiasa memohon ampunanNya. Kita Insan biasa yang pasti tidak boleh lari dari dosa namun dengan RahmatNya yang begitu luas maka Allah sentiasa menantikan hambaNya yang memohon ampunan kepadaNya.


Wallahu Waliyyut Taufiq.

      









1 comment:

jambu ata said...

kalau dosa yang kita lakukan secara terang terangan sperti minum arak di khalayak ramai pun kita kena tutup ke?