Friday, 25 January 2013

Cinta Pertama VS Cinta Utama







Dalam proses tarbiah diri antara kaedah terbaik ialah melalui kisah-kisah yang mampu memberikan ibrah kepada diri kita. InsyaAllah hari ini saya akan berkongsikan satu kisah dari pengalaman Ustaz Pahrol Ahmad Juoi sendiri didalam bukunya yang bertajuk "Nota Hati Seorang Lelaki."

Mungkin sudah ramai para syabab yang memiliki buku Ustaz Pahrol ini. Dan mungkin sampai sudah hafal setiap isi cerita didalamnya. Tidak terkecuali saya. Buku ini antara penguat serta panduan saya untuk menjadi seorang anak, suami, ayah dan da'ie yang soleh.

Cinta Pertama VS Cinta Utama ini berada dihalaman muka surat 35 iaitu di bahagian dua buku tersebut. InsyaAllah kisah ini juga saya dedikasikan kepada sahabat-sahabat saya yang telah berkahwin tetapi mungkin sedang mengalami situasi seperti ini juga buat mereka yang mendahulukan cinta lain selain Allah Ta'ala. Ayuh baca sahabatku.

Hati seorang lelaki...
Kekadang perlu sekeras waja..
Ada masanya mesti selembut sutera..
Ah, lelaki,
Jika jiwamu tulus kerana Ilahi,
Pasti lurus perananmu sebagai LELAKI!
(Kata-kata hikmah Ustaz Pahrol)

Beria-ria benar pertanyaan itu diajukan kepada saya. Ya sukar benar dia melupakan cinta pertamanya.
"Sudah 10tahun berlalu, tapi hati masih teringat si dia," akuinya terus terang.
"Kenapa terpisah?" tanya saya simpati.
"Orang tua ada pilihan lain."
"Dia telah berkahwin?"
"Sama macam saya. Kami sama-sama sudah berkahwin. Saya mempunyai dua orang cahaya mata, dia baru seorang."
"Cinta isteri sekarang?" tusuk saya perlahan.
Dia termenung.
"Tidak cinta barangkali, cuma terpaksa," tebak saya.
Eh, tidak. Dia seorang isteri yang baik, cuma..."
"Cuma tak dapat melupakan cinta pertama?"
Dia mengangguk.
"Cinta bukan Tuhan," tegas saya.
"Maksudnya?"
"Kita tak perlu tunduk kepadanya. Jangan apa sahaja perintahnya diikuti. Jangan menjadi hamba cinta pertama!"
"Entahlah, keliru pula."
"Jadi hamba cinta utama."
"Cinta utama?"
"Cintakan Allah cinta yang utama. Bila kita telah cinta yang utama, cinta yang lain akan tunduk akur kepadanya."
"Mungkin bekas kekasih saya dulu terbaik."
"Mungkin juga. Tapi dia terbaik untuk suaminya kini. Dan awak juga terbaik, untuk isteri awak kini."
"Siapa yang boleh menjamin kata itu?"
"Cinta utama, Allah. Bila Allah mentakdirkan sesuatu, sesuatu itu pasti yang terbaik untuk hambaNya. Maha suci Allah daripada sifat zalim."
"Saya tak pasti. Benarkah begitu?"
Saya tepuk belakangnya.
"Ilmu kita terbatas, ilmu Allah Maha Luas. Tidak dapat kita jangkau hikmah takdir Allah yang tersirat. Jika belum nampak kebaikannya masa kini, masa akan datang pasti terserlah jua. Sebagai hamba yang beradab, katakan begini: Ya Allah, aku belum nampak lagi kebaikan takdirMu kini tetapi aku pasti ketentuanMu pasti ada kebaikannya nanti."
"Jadi apa jalan keluarnya?"
"Cintailah apa yang ada, jangan cintai apa yang tiada. Keluar daripada kenangan masa lampau, hadapi kenyataan hari ini."
"Ah sukarnya..."
"Lebih sukar jika yang ada sekarang terlepas dari genggaman?"
"Maksud awak?"
"Seorang isteri, dua orang anak, sanggup awak korbankan kerana cinta pertama?"
"Tergamaklah saya buat begitu?"
Matanya memandang redup, jauh ke hadapan.
"Awak yang mesti menjawab soalan tu. Bukan saya."
"Kalau awak jadi saya?"
"Jika saya jadi awak, jawapannya ya. Awak kan mengagungkan cinta pertama? Bukan saya."
"Tak sanggup..."
"Jika tak sanggup, lupakan. Kita tidak boleh mengubah peristiwa yang telah berlaku tetapi kita boleh mengubah perasaan kita terhadapnya. Jika kita tak dapat apa yang kita suka, sukailah apa yang telah dapat. Jangan putus cinta dua kali."
"Apa caranya?"
"Cintailah cinta yang utama. Bila kita cintakan Allah. Kita mampu mengubah cinta kita selaras dengan kehendakNya."
"Apa kehendak Allah terhadap saya?"
"Mencintai isteri. Setiap suami mesti mencintai isterinya, bukan bekas kekasihnya!"


2 comments:

nadia amalina said...

Thumbs up . Nanti nak beli buku ni jugak . Perempuan pun boleh baca buku ni kan ...

Nicko Zulkarnain said...

Boleh. Sangat digalakkan buat wanita juga membelinya. Banyak yang boleh dijadikan pelajaran dari pengalaman Ustaz Pahrol sendiri.