Sunday 6 January 2013

Akhirnya Aku Sedar...Aku Da'ei

        
Shoutul Harokah - Bingkai Kehidupan (Nasyid Indonesia)



      Masa mula-mula berjinak dengan Islam pada dua tahun lepas setelah dikurniakan dengan kenikmatan Hidayah. Tenangnya hati bila berzikir. Tunduknya nafsu yang bergelocak bila menikmati puasa. Rasa dekatnya Allah bila sedang sujud (solat).

        Pada masa itu kefahaman saya mengenai Islam masih tidak meluas. Bagi saya pada masa itu, Islam dah cukup sempurna bila kita dah khatam semua seperti yang termaktub dalam buku PAFA yang kita pelajari di sekolah menengah dulu yakni perlaksanaan Fardhu Ain' seperti Bersuci, Solat Fardhu, Puasa Ramadhan, Tunaikan Zakat dan sebagainya yang terkandung dalam buku PAFA.

        Ceteknya pemikiran saya sehingga merasakan dah cukup baik sebagai seorang Muslim apabila:

Oohh Aku dah cukup Solat Lima Waktu ni. Dah jadi Insan yang cukup baik...

Belajar dekat U dapat 4flat memanjang. Aku Muslim baik ni..

Tadabbur sehelai dua muka surat setiap hari, hafal hadith...

Aurat aku dah tutup sempurna. Memang sempurnalah aku...

Puasa Ramadhan aku penuh. Bolehlah ni...

Dah mampu jejak Masjid okaylah ni...

Err kalau aku jadi baik mesti Allah murahkan rezeki. Nanti jadi senang lenang (kaya)...

Dah khatam Al Quran okaylah ni...



       Sehinggalah saya duduk berBulatan Gembira dengan sahabat-sahabat yang lain pada suatu hari ketika Murabbi saya membuka pemikiran saya dengan disematkan Fikriyyah Islamiyyah yang sahih melalui tarbiahnya terhadap saya dengan penuh kelembutan tapi tegas dan jelas. Akhirnya saya sedar tentang satu perkara. Seperti apa yang diturunkan buat Manusia sejagat yang beriman:

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: 'Sesungguhnya Aku hendak menjadikan di atas Muka Bumi itu seorang Khalifah' (Al Baqarah : 30)


       "Islam itu bukan sekadar disimpan didalam poket". Itulah kata-kata seorang pendakwah yang masih bermain-main didalam kepala saya. Selama ini saya telah menjumudkan pemikiran saya mengenai Islam. Saya tidak membuat pengajian dan penelitian yang mendalam mengenai Islam. Saya sangka dah solat, puasa, tutup aurat, tak buat jenayah maka saya dah cukup baik sebagai seorang penganut agama Islam. Tapi akhirnya saya sedar kita dilahirkan sebagai seorang Khalifah. Saya tak nak dicop sebagai Insan yang mementingkan diri di akhirat nanti. Nak masuk Syurga seorang diri. Nauzubillah!

       Khalifah yang dimaksudkan disini ialah yang membawa maksud Menegakkan Kebenaran Dan Mencegah Kemungkaran. Al Amr Bil Ma'ruf Wa Al-Nahy Anil Mungkar. Kita bertanggungjawab dalam menyebarkan Islam itu di serata pelusuk dunia semampu kita. Jikalau nak lebih mendalam lagi kita ini dilahirkan sebagai seorang Da'ei yakni seorang Pendakwah.

        Da'ei itu penyeru kepada Ummah agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Sebarkan segala kebaikan kepada sekalian alam. Bangkitkan Ummah yang semakin lesu dengan tipu daya dunia.

       Sewajibnya seorang Da'ei itu dalam berdakwah tapi dalam masa sama sentiasa didalam proses mentarbiah diri agar menjadi Insan yang lengkap dengan ilmu pengetahuan serta berakhlak mulia lalu bersiap siaga dalam membawa pembaikan kepada Ummah. Da'ei juga bukan sekadar berdakwah kepada masyarakat dan sahabat handai tetapi boleh juga buat keluarga tercinta.

        Da'ei juga tidak boleh terlalu asyik dengan dunia. Pernah saya berkata pada Murabbi saya Akhi Syafiq: "Bang, sungguh ana nak kereta BMW X6 tulah bila Allah dah murahkan rezeki ana nanti. Ana akan kerja bersungguh-sungguh" Lalu beliau jawab: "Boleh. Tiada salahnya akhi. Tapi enta takkan ada masa untuk agama Allah jika terlalu kejar kebaikan dunia. Bagaimana dakwah enta nanti? Minta jela nanti di Syurga. Bahkan lebih canggih dari BMW X6 tu akhi."



BMW X6 (Harga RM5++K - 1Juta keatas)


        Adakah perlu untuk bergelar Ustaz/Ustazah baru layak berdakwah? Saya teringat dengan kata-kata Imam Hassan Al Basri:

"Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti aku yang terbaik dari kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dari kalangan kamu. Karena aku juga pernah melampaui batas terhadap diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan."

         Ya tiada manusia yang sempurna di muka bumi ini. Bahkan seorang pelacur juga selayaknya berdakwah jika apa yang dia cakapkan itu perkara yang benar lagi penuh kebaikan.

"Janganlah engkau lihat siapa yang berkata, tetapi lihatlah apa yang ingin dia perkatakan." (Saidina Ali)
     
         Sejujurnya saya akui saya juga pernah melampaui batas terhadap diri sendiri. Bahkan mungkin pernah melampaui batas terhadap orang lain. Mengguris perasaan ibubapa, sahabat handai, guru. Ye mungkin ada. Cukuplah saya dengan Allah sahaja yang tahu. Boleh jadi para pembaca juga sama seperti saya. Tapi Allah sentiasa sediakan ruang dan peluang buat insanNya untuk  bertaubat dan berusaha jadi Insan yang lebih baik(soleh). Setelah itu kita fikirkan pula apa yang kita mampu lakukan buat orang lain. Jika ambil skop yang lebih luas, maka apa yang kita boleh lakukan buat Ummah.

"Hendaklah ada diantara kamu satu Ummah yang menyeru manusia kepada arah kebaikan. Menguatkuasakan syariat dan mencegah kemungkaran dan mereka adalah golongan yang beroleh kejayaan." (Ali Imran : 104)

       Saya rasa terpanggil dengan seruan Allah seperti ayat diatas itu. Apakah anda tidak terasa sama? Saya teringat sabda Rasulullah S.A.W yang berbunyi:

"Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekalian akan ditanya perihal kepimpinan kamu. Seorang Imam(ketua) adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Isteri adalah pemipin dalam rumahtangga dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang pembantu adalah pemimpin harta majikan dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang anak adalah pemimpin harta bapanya dan dia bertanggungjawab mengenai kepimpinannya. Maka setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya." (Hadith Bukhari & Muslim)

         Tapi sebelum kita keluar kepada Ummah dalam menyebarkan kebaikan marti kita lihat semula adakah kita sudah memiliki 10sifat (Muwasaffat) yang pernah disebut oleh Imam Hassan Al Banna agar kita mampu menjadi Muslim, hamba Allah, anak, sahabat dan yang paling penting Da'ei yang unggul:

  1. Aqidah yang sejahtera
  2. Ibadah yang Sahih
  3. Akhlak yang Mantap
  4. Mampu Bekerja
  5. Berpengetahuan luas
  6. Tubuh yang cergas
  7. Mampu melawan nafsu
  8. Teratur urusannya
  9. Sangat menghargai masa
  10. Bermanfaat kepada orang lain

         Cuba bayangkan jika 1, 2 dan 3 dari 10sifat itu kita dah gagal bagaimana kita nak berdakwah. Jadi ayuh para pembaca sekalian kita rajinkan diri dengan sentiasa duduk didalam proses mentarbiah diri agar menjadi Insan yang lebih baik lalu menjadi Insan yang bukan sahaja baik untuk diri sendiri malah buat orang lain.

        Akhir kata dari saya. Ayuh para pembaca yang dirahmati Allah sekalian. Marilah kita keluar kepada Ummah dengan menyeru akan kebaikan dan mencegah akan kemungkaran. Perangilah kezaliman itu habis-habisan. Tegakkanlah keadilan itu ditiang tertinggi. Takutlah kepada Allah. Selain daripada itu jangan sesekali kita benarkan. Kita adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan buat manusia insyaAllah.

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan buat kesejahteraan manusia." (Ali Imran : 10)

         Tidak lupa juga pesanan Murabbi saya kepada diri saya juga buat Para Da'ei diluar sana:

"Apabila Da'ie tidak menjaga hatinya maka rosaklah dirinya, terfitnahlah Islam kerananya dan runtuhlah dakwah di tangannya. Kejayaan dakwah bukanlah terletak pada kepandaian seorang Da'ie dalam berkata-kata, bukan pula pada paras rupa, bukan juga dengan aktif berpesatuan tetapi ianya terletak kepada keikhlasan dan kejernihan hatinya."

       InsyaAllah.

Wallahu Waliyyut Taufiq





      




         





No comments: