Wednesday 23 January 2013

Hadith 1: Pahala Amal Bergantung Pada Niat

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsah, Umar Bin Al khatab r.a berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

"Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung pada kepada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, dia akan sampai kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah menuju dunia yang akan diperolehinya atau menuju wanita yang hendak dinikahinya, dia akan mendapatkan apa yang diniatkannya."

(Riwayat al Bukhari no.1, 54, 2529, 3898,5070, 6689, 6953, Muslim no. 1907, Abu Daud. 2201, Al Tirmidzi no.1646, al Nasa'i no.1/59-60, VI/158, Ibnu Majah no 4227 dan Ahmad no. 1/25,43)

Asbab utama untuk turunnya hadith ini ialah kerana seseorang lelaki yang mengikuti Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Madinah semata-mata kerana ingin mengahwini seorang perempuan cantik yang bernama Ummu Qais. Dia berhijrah bukan kerana ingin mendapatkan pahala hijrah malah sebaliknya. Kerana itu dia telah digelar sebagai Muhajir Ummu Qais.

Dalam hadith ini disebutkan kalimah "Diterima amal perbuatan bergantung kepada niatnya." Yang dimaksudkan dengan amal disini ialah semua jenis amal yang dibenarkan syariat. Jadi maknanya disini walaupun sesuatu amal itu dibenarkan syariat tapi jika ianya dilakukan tanpa niat maka tidak bernilai apa-apa.

Adapun amal yang tidak memerlukan niat seperti meninggalkan perbuatan yang haram, mengembalikan barang pinjaman, menyampaikan pemberian atau hadiah orang dan membersihkan diri daripada najis kerana perbuatan ini termasuk perbuatan menghilangkan barang yang tidak baik.

Sebahagian memahami niat itu sebagai syarat, iaitu amal itu sah hanya apabila disertai niat dan sebahagian yang lain memahami niat itu sebagai penyempurna yang bermaksud amal itu menjadi sempurna dengan niat.

Seterusnya kalimah "Sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya" menurut Khathabi menunjukkan pengertian yang berbeza daripada sebelumnya, iaitu menegaskan bahawa sah atau tidaknya amal itu bergantung kepada niatnya. Imam Nawawi juga menerangkan bahawa niat itu menjadi syarat sah sesuatu amal.

Berhubung kalimah "Sesiapa berhijrah kerana Allah dan RasulNya, dia akan sampai kepada Allah dan RasulNya", ahli bahasa Arab menetapkan bahawa kalimah "syarat dan jawabnya", begitu juga "mubtada" (subjek) dan khabar (predikat)" haruslah berbeza. Sedangkan dalam kalimah diatas ternyata kedua-duanya sama. Kerana itu, kalimah syaratnya bermakna niat atau maksud, baik secara bahasa mahupun syariat. Ianya juga bermaksud, sesiapa berhijrah dengan niat kerana Allah dan RasulNya, maka dia akan mendapat pahala daripada hijrahnya kepada Allah dan RasulNya itu.

Perbuatan yang diluar lingkungan ibadah iaitu perbuatan yang menjadi tabiat hidup manusia seperti makan, minum, tidur dan sebagainya turut mendapat pahala jika diniatkan untuk memelihara keselamatan dan kesihatan tubuh badan supaya dapat beribadah.

Apa yang paling penting sekali ialah kita hendaklah ikhlas dalam amal ibadah dan setiap pekerjaan agar mendapat kemudahan dan kebahagiaan didunia dan mendapat pahala diakhirat.

Sebelum saya menutup kuliah maya berkenaan hadith pertama daripada kitab Hadith 40 Imam Nawawi ini, Imam Nawawi telah membahagikan amal ibadah kepada tiga:

  • Ibadah Hamba: Ibadah orang yang takut kepada Allah.
  • Ibadah Saudagar: Ibadah orang yang ingin mendapatkan ganjaran Syurga dan Pahala.
  • Ibadah Merdeka: Ibadah yang sebenar kerana menunaikan tanggungjawab, rasa syukur dan berasa malu kepada Allah.

Wallahu Waliyyut Taufiq




No comments: