Monday 8 October 2012

100% Bergantung Pada Allah..

        



        Era khalifah Umayyah telah berlangsung selama lebih kurang 90 tahun (661m - 750). Bani Umayyah telah mewarisi kepimpinan Islam daripada Khulafa Ar Rasyidin yang empat. Ketika era ini, syiar Islam terus tersebar luas hingga ke Timur. Perluasan Afrika Utara dan Asia Tengah. Pembukaan kota Sepanyol dan India. Juga perluasan ke Nimes, Perancis. Satu kejayaan besar dalam sejarah Islam.
        
        Zaman Bani Umayyah telah melahirkan khalifah-khalifah yang hebat. Antara khalifah yang amat saya kagumi adalah Khalifah Umar Abdul Aziz. Kewarakan dan kezuhudan beliau tidak dapat disangkal lagi. Saya pasti ramai yang sudah tahu kisah-kisah beliau yang mampu memberikan ibrah dan muhasabah kepada diri kita. Salah satu doa beliau yang sungguh menyentuh relung hati saya ialah:

Ya Allah, janganlah Engkau biarkan aku sendiri dalam menguruskan urusanku kerna sungguh aku tidak mampu. Dan jangan pula Engkau letakkan urusanku sepenuhnya pada manusia kerna sesungguhnya mereka akan mempersia-siakan ku. Sesungguhnya aku letakkan segala urusan ku sepenuhnya disisi Mu. Kau yang Maha Mengetahui dan Maha Pemberi yang terbaik.
        
    Sungguh puitis doa beliau. Doa itu menunjukkan betapa saling dekatnya beliau dengan Allah dan meletakkan sepenuhnya pengharapan beliau kepada Allah tanpa sedikit pun menyekutukanNya. Rintihan dalam menyedari betapa lemah dan kerdilnya diri kita ini yang tidak mampu serta tiada daya upaya dalam melakukan satu apa pun tanpa bantuan dariNya. Sedar betapa tiada satu pun makhluk dimuka Bumi ini lebih-lebih lagi manusia yang mampu membantu kita selain kalau menjadi perantaraan atau terus dariNya.

       Wahai orang-orang yang dirindu Syurga! Berhati-hatilah kita. Sungguh kadang-kadang tanpa kita sedari telah pun menyekutukan Allah. Sedarkah kita salah satu dosa besar ialah menyekutukan Allah? Namun sedar tidak sedar kita tersungkur dan akhirnya kita lakukan juga. Nauzubillah Minzalik. 

         Sebagai contoh yang pertama, kita telah dilanda ujian dengan diberikan kesusahan yang datang dari pelbagai rupa. Kita berdoa kepada Allah tapi kita lebih menaruh harapan kepada manusia untuk datang membantu. Sungguh itu telah menyekutukan Allah.

           Contoh kedua, apabila kita dikurniakan sesuatu yang datangnya dari tangan manusia kita terus lupa bahawa pemberian itu sebenarnya dari Allah. Kita lupa yang manusia itu hanya menjadi perantaraan Allah untuk membantu kita. Maka kita telah jatuh menyekutukan Allah.

            Mungkin kita sedar bahawa untuk berharap kepada diri sendiri memang kita tidak mampu.  Namun selalu kita lupa, manisnya doa dan menjadi lafaz yang bukannya datang dari hati yang kukuh jati. Hari-hari kita berdoa agar dikeluarkan dari segala kesulitan dan kepayahan namun kita telah dahulu berharap kepada yang selain Allah dalam menyelesaikan masalah kita. Betapa cemburunya Allah!

Katakanlah: Allah jualah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala jenis kesusahan; dalam pada itu, kamu (masih) mempersekutukan ( Allah dengan sesuatu yang lain). (Surah Al An'aam; 64)

           Wahai penduduk Syurga! Marilah kita sama-sama muhasabah diri. Cemburu Allah itu lebih dari pasangan yang mempunyai rasa cinta. Lupakah kita yang Dia itu 'Maha'? Selalu bila masalah melanda, kita cepat-cepat mencari manusia untuk meluahkan segala rasa. Lupakah kita yang mereka itu juga manusia yang lemah dan mempunyai pelbagai masalah yang mungkin tidak terungkap? Sejadah yang lusuh dipenjuru bilik itu lebih baik buat kita untuk bertemu Allah bagi meluahkan segalanya. Dan selalu pula kita lupa apabila dikurniakan sesuatu yang datangnya dari tangan manusia maka kita telah lupa bahawa pemberian itu tidak bukan datangnya dari Allah semata? Ayuh buka hati kita seluas-luasnya. Letaklah sepenuh pengharapan kepada Allah. 100 peratus penuh. InsyaAllah Dia akan permudahkan segalanya.

             Wallahu Walliyut Taufiq
              

No comments: