Monday 15 October 2012

Duhai Wanita #1


         Kali ini saya ingin berkongsi mengenai wanita. Satu isu yang mungkin sedikit sensitif .Saya mungkin bukanlah seorang yang arif mengenai wanita tapi InsyaAllah saya ingin berkongsi permasalahan mengenai isu wanita dan fitnah-fitnah yang timbul dari wanita era ini. Pendapat kita mungkin sangatlah berbeza dari segi penelitian dan hujah. Pendapat saya boleh jadi benar dan boleh jadi salah. Didalam konteks ini, saya hanya ingin berkongsi mengenai wanita Islam kerana untuk memasukkan sekali isu mengenai wanita bukan Islam memerlukan hujah dan pandangan yang lebih luas dan teliti. Pendapat saya ini jika benar ambillah sebagai ibrah namun jika salah sila tegur saya. Komentar anda sangatlah diperlukan dan amat saya hargai.Mungkin kita sudah sedia maklum mengenai satu hadith yang berbunyi:

 Rasulullah S.A.W bersabda, “Tidak aku tinggalkan fitnah yang lebih dahsyat selepas pemergianku melainkan fitnah wanita” (Hadith Bukhari)


         Adakah kita benar-benar faham mengenai hadith tersebut. Maksud baginda sangatlah mendalam. Dan hadith itu sudah pun terbukti kini. Saya sedar ramai wanita yang ‘terasa’ mengenai hadith tersebut namun saya akan cuba untuk terangkan mengenai maksud baginda tadi.

        Sebelum itu saya akan menghuraikan maksud fitnah yang sebenarnya. Fitnah bukanlah sekadar kita menuduh seseorang tanpa bukti dan saksi. Tapi maksud fitnah yang sebenarnya adalah kucar-kacir. Sudahkah hari ini dunia menjadi kucar-kacir? Ya sudah terbukti. Lihatlah sekeliling anda.

        Sebagai contoh maksud fitnah yakni kucar-kacir: "Ketika itu semua keluar untuk makan tengah hari dan tinggal anda seorang di dalam pejabat.  Didalam pejabat itu penuh dengan CCTV. Suatu ketika itu, barang seorang kakitangan telah hilang. CCTV telah membuktikan bahawa anda tidak mencuri.  Para saksi juga tiada bukti untuk menuduh anda. Tapi syak wasangka terhadap anda tetap ada dikalangan mereka. Dan itulah maksud sebenar fitnah. Kucar-kacirnya pemikiran mereka dan bersikap buruk sangka terhadap anda." Wallahualam.

        Antara fitnah-fitnah mengenai wanita pada masa kini bukanlah secara langsung diatas kehendak mereka sendiri namun kerana eksploitasi dan rancangan pihak tertentu dalam menjalankan agenda mereka bagi menggunakan kaum yang lemah dan mudah terpengaruh dengan hawa nafsu ini sebagai umpan mengkucar-kacirkan dunia.

        Fitnah-fitnah yang sudah mula tersebar luas kini seperti pertunjukkan fesyen muslimah. Masih gah dan angkuhnya segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab ini menggunakan terma ‘muslimah’ sedangkan pakaiannya langsung tidak menepati piawaian syarie. Lihat sahaja ketika pertunjukkan fesyen, bukan main tinggi lagi bonggol unta di kepala model yang dikatakan ‘muslimah’ itu. Pakaiannya juga ketat dan menunjukkan bentuk badan si pemakai.  Hanya kerana menggenakan tudung atau selendang maka ianya dikatakan pakaian muslimah tanpa memikirkan aspek lain berpakaian menutup aurat. Ini jelas satu kejahilan yang tidak boleh disangkal lagi.

       Iklan-iklan di televisyen, pengacara, duta sesuatu produk, artist-artist semuanya menggunakan wanita. Ini mampu menggugat dan menggoncang dunia bagi mereka yang benar-benar nampak dan sedar. Ramai wanita tidak sedar mereka telah dieksploitasi oleh pihak tertentu.

       Aurat wanita dan lelaki sedikit berlainan. Mereka bukan hanya wajib menutup aurat bahkan wajib untuk tidak menampakkan susuk badan mereka. Sedangkan lelaki hanya harus untuk tidak mendedahkan susuk tubuh mereka. Sebagai contoh: harus bagi lelaki memakai seluar jeans ‘skinny’ selagi cukup syarat menutup aurat sedangkan haram pula bagi wanita.


“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan(ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al Ahzab; 59)


    Rasullah S.A.W bersabda: “Dua golongan penghuni neraka yang mana aku sendiri belum pernah melihat keadaan mereka didunia iaitu golongan yang membawa cemeti seperti seekor lembu lalu menggunakannya untuk memukul manusia dan juga kaum wanita yang berpakaian seperti bertelanjang, menggoyangkan badan dan berlenggak-lenggok, kepala mereka ada suatu seperti bonggol di kepala unta yang bergoyang-goyang. Mereka tentu tidak akan memasuki syurga atau mencium baunya. (Hadith Muslim)



          Baiklah, jika wanita sendiri sahaja sudah terkena tempias fitnah tersebut apatah lagi lelaki bukan? Sebab itu baginda dah bersabda awal 1400 tahun dahulu seperti hadith pertama tadi. Fitnah seperti ini amatlah dahsyat buat lelaki yang nafsu utamanya hanya wanita. Sedangkan wanita nafsunya ada sembilan. Oleh itu tidak hairan jika kita lihat kini seorang lelaki yang gagah walau dia seorang cendikiawan, pemimpin hatta seorang raja mudah tersungkur jatuh hanya kerana seorang wanita.

           Ingin saya berkongsi satu travelog sepanjang di kampus tempat saya menuntut. Sudah dua tiga kali perkara ini berlaku kepada saya. Pada mulanya saya amat malu untuk berkongsi disini dan hentikan niat saya ini. Tapi jika ianya dapat menjadi ibrah dan kebaikan buat para saudari seIslam saya maka ianya tidak salah. Rasulullah S.A.W lebih malu dari seorang gadis pingitan namun baginda tidak malu dalam menyampaikan kebenaran hatta menyampakain mengenai permasalahan wanita. Kita semua harus mencontohinya.

            Selalu ketika saya berjalan di kaki lima di blok kolej setelah selesai kuliah. Lalu tidak jauh dari saya ada segelintir wanita tengah berborak. Sedia maklum yang diwajibkan menundukkan pandangan ketika ada mahram berdekatan. Saya berjalan seperti biasa memandang ke hadapan bagi memastikan perjalanan saya. Mereka ketika itu lima puluh meter dari saya. Lalu dengan tidak sengaja saya ternampak bentuk tubuh mereka.  Saya lantas mengalihkan pandangan. Astagfirullah! Kesan cahaya matahari telah ‘membogelkan’ mereka yakni pakaian yang mereka pakai menjadi ‘transparent’ ketika ada cahaya.

            Mereka ketika itu memakai baju kurung. Setelah dua tiga kali kes itu terjadi pada saya dan saya yakin pasti ada lagi ikhwah yang mengalami nasib sama seperti saya akhirnya saya sedar dan ingin buat satu konklusi bahwa para wanita harus teliti dalam memilih dan membeli baju kurung. Carilah kain yang bukan sekadar sejuk dan selesa dipakai tetapi juga sedikit tebal agar tidak mudah tembus dek cahaya. Ye sudah terbukti banyak baju kurung yang ‘mudah tembus’ ketika dibawah panahan cahaya matahari. Alhamdulillah mungkin mereka dah pakai serba lengkap bagi menutupi aurat mereka seperti memakai sarung kaki dan lengan namun mereka tidak sedar akhirnya mereka terbuka juga aurat mereka hasil ‘rakusnya’ mentari.

    Rasulullah S.A.W pernah memalingkan muka kerana Asma’ Binti Abu Bakar lalu didepan baginda dan memakai pakaian yang tipis hingga mudah tembus dan menampakkan tubuhnya. Lalu baginda bersabda: “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh maka tidak boleh baginya menampakkan ini dan ini. Yakni muka dan telapak tangannya. (Hadith Abu Dawud)  


             Cuba kita bayangkan jika perkara yang saya lalui tadi terjadi terhadap lelaki yang memang dah jelas penyakit didalam hatinya. Apakah perasaan mereka ketika itu? Apakah tidak bergelocak iman dan nafsu mereka? Saya rasa ketika itu sudah tidak perlu wanita yang dah memang berpakaian menjolok mata untuk menjadi penyebab ramainya kes rogol dan pemerkosaan kerana pemakaian wanita Islam sendiri yang tidak memakai pakaian menurut tuntutan syarie. Itulah maksud fitnah wanita yang cuba disampaikan Rasulullah S.A.W hingga mampu mengkucar-kacirkan dunia kerana telah ‘menggilakan’ para lelaki diluar sana.

Seorang Ulama’ terkemuka iaitu Sheikh Ali Tentawi pernah mengatakan: “Mata lelaki itu mampu membogelkan wanita yang dalam berpakaian lengkap.”


         Wallahualam Bissawab. Mari sama-sama renungkan dan muhasabah. InsyaAllah saya akan terus berkongsi mengenai isu yang sama mengenai wanita mengenai post yang akan datang nanti.





No comments: