Tuesday 2 October 2012

Wahai Seorang Kekasih...


Nazrey Johani- Wahai Kekasih

Wahai seorang kekasih,
Telah lama engkau dirindui,
Pilu sedih dalam kerinduan,
Menangis pun tak berair mata,
Namun hati tetap gembira,
Syafaatmu menanti disana,

Sungguh tabahnya hatimu,
Menanggung derita yang melanda,
Biarpun perit pedih tersiksa,
Kerana UMAT kau tempuhi jua,

Wahai Rasul,
Kaulah segalanya,
Contoh terbaik,
UMAT AKHIR ZAMAN!,
Akhlak mu tinggi,
Akan kami jejaki,
Sifatmu sempurna pelengkap peribadi,

Wahai Rasul,
Kami merindui,
Sinaran wajahmu,
Mendamaikan jiwa,
Manis senyum mu penawar hiba,
Di hati kami kaulah segalanya.

        Teringat kali pertama tengok video diatas semasa program mini 3R di Surau Al Izzah, Taman Samudra, Gombak ketika Ramadhan beberapa bulan lepas. Sungguh saya tertarik dengan musik latar belakang video diatas tersebut. Syahdu dan tenang lagunya. Bait-bait lirik yang menyentuh rohani. Lagu mengenai manusia teragung yakni Rasulullah S.A.W. Sungguh ego lelaki ini tidak mampu menahan air mata yang mengalir dihadapan adik-adik peserta mengenangkan baginda dan suasana diakhirat kelak.

           Pembaca yang dikasihi sekalian, beberapa kali agaknya kita ingat pada Rasulullah untuk hari ini sahaja? Berapa banyak kita bersalawat keatas baginda? Itu tidak kira selawat yang ada didalam solat. Atau mungkin kita terlalu sibuk menuntut ilmu dan bekerja? Kononnya ingin menjadi Insan yang berjaya di dunia? Memiliki kehidupan yang selesa dengan mengejar dunia semata? Memiliki Serikandi yang cantik lagi solehah? Memiliki Pahlawan Allah lagi soleh? Persoalannya pula, beberapa kali kita ingat tentang kematian pada hari ini? Berapa banyak pula usaha kita hari ini untuk tegakkan agama Allah S.W.T?

           Adakah kita semua ingat ketika ajal Rasulullah semakin dekat menjemput tiba. Baginda tiada hentinya menyebut UMATKU! UMATKU!. Cukuplah saksi utama Aisyah r.a dan Para Malaikat yang ada disitu ketika itu. Betapa sayang dan cintanya Rasulullah kepada kita. Walau baginda tidak kenal siapa pun kita sebenarnya yang hidup sesudahnya.

            Pembaca sekalian, tiada hentinya Rasulullah S.A.W menangis di padang mahsyar nanti. Sesetengah riwayat mengatakan hingga kering air mata baginda. Adakah kita tahu sebab mengapa? Jikalau kerana akan ada dari umatnya yang menjadi Penzina, Pembunuh, Pemakan Riba, Makan Harta Anak Yatim dan dosa-dosa yang seumpanya tidaklah baginda menangis hingga kering air matanya sebab itu semata-mata. Ini oleh kerana baginda sudah pun tahu memang akan ramai Umatnya yang bakal jadi sebegitu diatas dosa dan kelalaian mereka sendiri. Cuma baginda menangis kerana dia tahu dari kalangan Umatnya, tiada satu pun yang mampu menahan siksaan Allah S.W.T di akhirat kelak. Baginda sedar betapa murkanya Allah ketika itu. Azab api siksaan yang amatlah pedih yang kita tidak akan mampu menerima walaupun sesaat. Hingga Rasulullah berdoa agar kesemua Umatnya dimasukkan kedalam Syurga bersamanya.

        Adakah pembaca tahu mengenai kisah Rasulullah yang sudah tahu akan kematian kedua cucu kesayangannya sesudah wafatnya baginda? Baginda menceritakan mengenai perkara itu kepada Fatimah r.a hingga puteri kesayangan baginda itu menangis. Namun Rasulullah sanggup menyimpan syafaatnya hingga akhirat kelak buat Umatnya walaupun baginda boleh sahaja menggunakan syafaatnya itu untuk menyelamatkan kedua-dua cucunya dari dibunuh kejam.

             Lihatlah betapa besarnya kasih dan sayangnya Rasulullah kepada kita. Baginda lebih mementingkan  Umatnya berbanding dirinya sendiri. Tidak dapat saya bayangkan suasana di padang mahsyar yang amat menggerunkan ketika itu. Hanya Rahmat Allah dan Syafaat Rasulullah yang mampu menjaga kita ketika itu. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang-orang soleh yang dijanjikan nikmat Syurga kelak.

           Wallahu Waliyyut Taufiq

No comments: