Sunday 14 October 2012

Mutarabbi #Bab 1


            Jam sudah menunjukkan pukul 5 petang. Lebih kurang dua jam lagi sebelum Qais pulang ke rumah. Qais kelihatan tekun mengemas buku-buku dari troli ke rak masing-masing. Perpustakaan Tan Sri Dato’ Seri Sanusi Junid di Kolej Islam Antarabangsa mula kelihatan lenggang dengan kelibat para pelajar. Qais terus mengerjakan tugasnya tanpa menghiraukan mata yang memandang.
         Qais seorang penuntut di Kolej Islam Antarabangsa dalam jurusan Diploma Pentadbiran Perniagaan. Dia kini di semester empat dan menuntut di tahun dua. Tinggal lebih kurang setahun setengah sebelum dia menamatkan pengajiannya di kolej itu dan bercita-cita melanjutkan pelajaran pula di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Qais juga berkerja sebagai pekerja separuh masa di perpustakaan kolej tersebut.
          Setiap kali sesi kuliahnya selesai. Dia akan bergegas ke perpustakaan untuk mula bekerja. Begitulah rutin harian Qais di kolej. Kerap kali sahabat Qais menemaninya di perpustakaan. Salam dan Bakriy juga penuntut dalam jurusan yang sama dengan Qais. Boleh dikatakan dari semester pertama lagi mereka tidak pernah berenggang. Persahabatan mereka bagai aur dengan tebing. Bila tiba waktu mendaftar mata pelajaran untuk semester baru mereka pasti berusaha untuk mendapatkan kelas yang sama.
        Separuh dari warga kolej mengelar mereka ‘Bujang Lapuk’. Mana tidaknya, kemana sahaja pasti bertiga. Ibarat filem lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham Sudin dan Dato’ Aziz Satar didalam filem Bujang Lapuk. Sungguh epik filem tersebut. Kisah tiga sahabat yang ingin menuntut ilmu persilatan.
 “Salam…Bakriy…kamu semua tak balik lagi ke? Aku hari ini pulang naik bas. Korang pulanglah dulu ye. Tak perlu tunggu aku”, Qais menegur sahabatnya yang sedang khusyuk menelaah buku.
“Err..baiklah jikalau begitu. Kami pulang dulu Qais. Kau hati-hati ye, kata Bakriy.”
        Di suatu sudut di dalam perpustakaan itu ada meja yang bertentangan dengan tingkap. Seorang gadis sedang sibuk menaip sesuatu didalam laptopnya di meja itu. Jarang sekali dia menoleh ke kiri dan kanan. Sentiasa fokus dengan kerjanya.
        Gadis itu kerap memakai jubah dan jilbab serba hitam. Jilbabnya labuh hingga ke paras pinggang. Dia juga turut mengenakan sehelai purdah bagi menutupi mukanya. Hanya mata dan dahinya kelihatan.
        Sudah lama Qais memerhatikan gadis tersebut. Semenjak Qais mula bekerja di perpustakaan di semester  tiga. Sering kali Qais pulang ke rumah dalam pukul tujuh malam namun gadis itu belum juga pulang ke rumah. Perpustakaan akan tutup dalam pukul lapan malam. Selalunya hanya tinggal seorang librarian iaitu Abang Noah bertugas di kaunter pertanyaan sedangkan gadis itu pula di meja tersebut.
        Kadang-kadang timbul rasa risau dihati Qais mengenai gadis itu. Apa tidaknya hari sudah lewat malam maka sudah sepatutnya gadis itu berada dirumah. Qais terfikir bahawa kolej terletak dekat dengan kawasan kilang dan laluan diluar kolej terlalu gelap apabila menjelang malam kerana lampu pejalan kaki di sekitar jalan ditutupi oleh pokok-pokok yang tebal. "Bukankah ianya amat bahaya buat gadis seperti itu", desis hatinya.
         Apatah lagi gadis seperti itu yang berpakaian mengikuti sunnah Ummul Mukminin. Bagi Qais, dia sepatutnya sedar akan hal itu dan lebih memahami akan perkara itu berbanding gadis-gadis biasa diluar sana. Ada juga terlintas dihati Qais untuk menegur gadis itu tapi selalu tidak kesampaian kerana sifat Qais yang sangat pemalu.   
        Setelah selesai tugas Qais jam juga tepat menunjukkan pukul tujuh malam. Qais bergegas ke bilik Chief Librarian iaitu Abang Arif untuk punch card keluar. 
       Hari itu Qais pulang dengan kelegaan dan merasa puas kerana dapat selesaikan tugasnya dengan sempurna. Perpustakaan kelihatan kemas dan bersih hasil kerajinan Qais. Qais juga pulang dengan sedikit hampa memikirkan nasib gadis itu. Terdetik dihatinya lalu mendoakan agar Allah melindungi gadis itu dari mara bahaya.

No comments: