Thursday 11 October 2012

Ikhlaskan Dirimu Kerana Allah...

        



         Assalamualaikum. Apa khabar iman kita hari ini? Makin meningkatkah ketakwaan kita hari ini atau masih statik seperti semalam tanpa peningkatan? Ayuh orang-orang yang dirindu syurga, kita terus memperbaiki diri dan menjadi insan yang lebih baik dari semalam. Jangan lupa mari kita sama-sama berselawat ke atas Rasulullah S.A.W. Sollualannabi!

        InsyaAllah hari ini saya ingin berkongsi satu Hadith Qudsi yang sangat menarik.  Bak kata orang-orang sekarang. Ohsem! Sebelum itu dah berapa banyak ibadat yang kita lakukan hari ini? Adakah semata-semata kerana Allah? Ayuh pembaca sekalian, jom baca hadith dibawah:

        Abu Hurairah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Mula-mula manusia yang akan diadili pada hari kiamat ialah seseorang yang gugur dalam peperangan. Dia didatangkan, lalu Allah memperlihatkan nikmat yang telah Allah berikan kepadanya semasa didunia sehingga dia melihatnya. Allah bertanya: 'Apakah yang telah kamu buat ke atas nikmat-nikmat tersebut?' Dia menjawab: 'Aku berperang di jalanMu sehingga aku gugur syahid.' Allah berfirman: 'Kamu berdusta, sebaliknya kamu berperang supaya kamu digelar seorang yang berani dan gelaran itu telah diberikan.' Kemudian diperintahkan supaya wajahnya diseret dan dilemparkan kedalam neraka.' 
        "Lalu seorang yang belajar ilmu dan mengajarkannya serta membaca Al Quran didatangkan, lalu Allah memperlihatkan nikmatNya yang telah diberikan kepadanya sehingga dia ditanya: 'Apakah yang telah kamu buat atas nikmat-nikmat tersebut? Dia menjawab: 'Aku belajar ilmu serta mengajarkannya dan aku membaca Al Quran keranaMu.' Allah berfirman: 'Kamu berdusta, sebaliknya kamu belajar ilmu supaya disebut sebagai seorang yang alim dan kamu membaca Al Quran supaya disebut sebagai qari. Dan gelaran tersebut telah diberikan.' Kemudian diperintahkan supaya wajahnya diseret dan dilemparkan kedalam neraka.' 
        "Kemudian orang yang Allah luaskan dan kurniakan kepadanya berbagai-bagai jenis harta seluruhnya, dia didatangkan kepada Allah lalu diperlihatkan nikmatNya yang telah diberikan kepadanya sehingga dia melihatnya, Allah bertanya: ' Apa yang yang telah kamu buat dengan nikmat-nikmat tersebut?' Dia menjawab: ' Aku tidak meninggalkan satu jalan yang engkau sukai supaya bersedekah keranaMu.' allah berfirma: 'Kamu berdusta, tetapi kamu melakukannya supaya disebut sebagai dermawan, dan gelaran tersebut telah diberikan.' Kemudian diperintahkan supaya wajahnya diseret dan dilemparkan kedalam neraka."   (Riwayat Muslim dan al-Nasa'i)

        Bagaimana setelah membaca hadith diatas? Mari kita sama-sama muhasabah diri. Sungguh tiada siapa pun mampu menilai keikhlasan kita melainkan Allah. Sesungguhnya keikhlasan itu adalah hak Allah yang apabila kita beribadat lakukanlah sepenuhnya hanya keranaNya bukan kerana yang selain dariNya. Jangan lupa bahawa tiada sekutu bagi Allah.

         Keikhlasan itu hadir dari hati yang tawadduk dan memurnikan tujuan bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah dari sesuatu yang mampu mengotorinya. Ikhlas adalah salah satu pilar terpenting dalam Islam. Ini oleh kerana ikhlas adalah salah satu syarat ibadah kita diterima oleh Allah. Ikhlas juga melahirkan kekhusyukan dalam melaksanakan ibadah  terutamanya tiang agama kita iaitu solat.

    Amalan seseorang  yang berbuat riya' (tidak ikhlas), itu adalah amalan batil yang tidak berpahala apa-apa, bahkan ia akan mendapatkan dosa (Syarh Muslim 9/370, Imam An Nawawi)

"Katakanlah, sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama" (Az Zumar; 11)

         Keikhlasan juga seiring dengan niat. Ini kerana setiap ibadat itu bermula dengan persoalan untuk apa kita kerjakan ibadat tersebut. Niat semata-mata kerana Allah maka keikhlasan itu akan lahir dengan sendirinya.

"Amalan yang dilakukan tanpa disertai dengan ikhlas dan tanpa mengikuti tuntutan Rasulullah S.A.W bagaikan seorang musafir yang membawa bekal berisi beras . Bekal itu hanya memberatkan tapi tidak memberi manfaat apa-apa." (Ibnu Qayyim dalam kitab Al Fawaid)

           Wallahu Waliyyut Taufiq

No comments: