Saturday 27 October 2012

Dunia Ini Ibarat Kapal Nakhoda

Bismillahirrahmanirrahim.



         InsyaAllah hari ini saya ingin berkongsi satu hadith yang sangat menarik buat para pembaca semua. Semoga post kali ini mampu memberi ibrah kepada kita semua dan meneguhkan hati kita sebagai seorang pendakwah dan khalifah Allah S.W.T di Bumi Sang Khaliq ini.

Sayyidina Nu'man Bin Basyir meriyawatkan bahawa RAsulullah S.A.W bersabda: "Perumpamaan orang yang mentaati perintah Allah dan orang yang melanggari perintah Allah adalah seumpama (orang-orang yang menaiki sebuah kapal yang besar) yang telah menetapkan tempat mereka secara undian. Sebahagian orang ada yang mendapat tempat di dek atas dan sebahagian lagi dibahagian bawah. Apabila orang-orang yang dibawah itu memerlukan air, mereka akan pergi ke atas lalu (berjalan) di celah-celah orang yang berada diatas. Orang-orang yang dibawah itu berfikir, jika kita melubangi bahagian kita (yakni bahagian bawah) ini (supaya kita tidak perlu pergi keatas sebaliknya dapat mengambil air terus dari lubang itu) dan kita tidak akan meyusahkan orang yang diatas (maka alangkah baiknya). Sekiranya orang-orang yang diatas membiarkan orang orang-orang yang dibawah dengan keadaan mereka itu dan tidak mencegah mereka daripada berpendapat sedemikian (dan mereka membuat lubang itu) maka mereka kesemuanya akan karam. JIka orang-orang yang yang diatas lubang itu memegang tangan-tangan orang-orang yang dibawah (menahan mereka daripada melubangi bahagian mereka) maka mereka sendiri serta semua penumpang yang lain akan selamat." (Hadith Bukhari)

       MasyaAllah sungguh cantik dan mudah cara perumpaan yang Rasulullah S.A.W sampaikan agar para sahabat dan kita pada hari ini mudah memahami maksud Baginda tadi. Dan sudah pasti apa yang Baginda sabdakan itu bersumber dari Allah. MasyaAllah sungguh hebat ilmu Allah. Allah Maha Agung!

       Pembaca sekalian, didunia ini sudah pasti Allah akan cipta pasangan masing-masing. Allah Maha Adil bukan? Islam dan Kafir, Suami dan Isteri, Kaya dan Miskin, Jahat dan Baik, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan seumpanya. Semuanya ada hikmah. Begitu juga pasti ada hamba yang taat dan yang tidak taat.

       Dalam hadith diatas tadi, dunia telah diumpamakan seperti sebuah kapal yang semua penumpangnya pasti saling terkesan dengan kesalahan penumpang yang lain. Penduduk seluruh dunia adalah seumpama satu kaum yang menumpang diatas sebuah kapal. Dalam kapal itu ada orang yang taat kepada Allah dan ada juga yang sebaliknya. Jika keadaan mereka yang tidak taat itu lebih berleluasa maka bukan sekadar orang-orang yang melakukan penderhakaan itu sahaja yang akan mendapat kesannya bahkan seluruh kaum didunia turut mendapat kesannya. Oleh sebab itu, untuk menyelamatkan kehidupan insan daripada kemusnahan maka sangat penting untuk kita selaku khalifah Allah ini mencegah penderhakaan terhadap Allah. Sekiranya tidak dilakukan sedemikian maka mungkin seluruh insaniah akan terperangkap dalam azab Allah. Bertepatan dengan satu hadith Rasulullah:

Sayyidina Zainab Binti Jahsy meriwayatkan bahawa beliau berkata kepada Rasulullah "Wahai Rasulullah, apakah mungkin kami akan binasa (diazab) sedangkan dalam kami masih ada orang-orang yang soleh?" Baginda menjawab, "Ya, apabila keburukan berleluasa." (Hadith Bukhari)

        Sebagai contoh ketika bencana Tsunami melanda Aceh suatu ketika dahulu. Aceh juga turut dikenali sebagai Serambi Mekkah tempat kelahiran Wali Songo yang ramai juga orang Soleh disitu sehingga hari ini. Tetapi disebakan penderhakaan terhadap Allah makin berleluasa maka bencana Tsunami telah menimpa di Bumi Aceh sehingga orang-orang soleh disana pasti terkena juga tempiasnya.

        Para pembaca sekalian, kita dilahirkan tidak sia-sia. Allah mencipta kita dengan satu tujuan. Iaitu sebagai hamba yang mengabdikan diri kepadaNya serta menjadi khalifahNya di muka Bumi ini yakni mengerjakan Amar Makruf Nahi Mungkar iaitu menegakkan kebenaran dan mencegah akan kemungkaran.

       Jadi tunggu apa lagi. Ayuh kita bergerak dengan satu tujuan iaitu mengislahkan Ummah masa kini yang telah lesu. Saya mengajak para pembaca sekalian dan diri saya sendiri agar menjadi Insan yang beriman serta bertakwa kepada Allah S.W.T. Ya, kita semua pendakwah. Si Pendosa yang mengajak manusia kearah kebaikan dan ingin meraih SyurgaNya InsyaAllah. Jom!!!







No comments: