Saturday 12 January 2013

Siapakah Imam Nawawi?

          Nama sebenar Imam Nawawi ialah Al Imam Al Hafiz Sheikhul Islam Muhyiddin Abu Zakaria Yahya Bin Syaraf Al-Nawawi Al-Dimasyqi. Beliau dilahirkan pada bulan Muharram, 631H. Beliau meninggal dunia dan dikebumikan dikampung asalnya, Nawa selepas menziarahi Al Quds dan Al Khalil pada bulan Rejab, 676H.

         Beliau dididik oleh bapanya yang terkenal dengan kesolehan dan ketakwaannya. Beliau mula belajar di madrasah bapanya dan telah mula menghafal Al Quran sebelum menginjak usia baligh. Ketika berusia sepuluh tahun, Sheikh Yasin Bin Yusuf Al Zarkasyi melihat beliau dipaksa bermain oleh teman sebayanya. Namun Imam Nawawi cuba mengelakkan diri dengan lari dan menangis kerana paksaan tersebut. Sheikh itu pun berkata

"Anak ini akan menjadi orang paling pintar dan paling zuhuhd pada zamnannya dan dapat memberikan manfaat yang besar kepada Umat Islam."

           Imam Nawawi dikenali sebagai salah seorang tokoh ilmuan yang sangat ulung dalam mazhab Imam Al Syafie'. Di samping itu beliau juga dikenali kerana paling banyak menghasilkan karya bertulis yang hebat, jitu dan kekal manfaatnya hingga kini.

          Beliau telah menulis dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk hadith dan ulum al-hadith (pegantar ilmu hadith). Dalam ilmu bahasa pula, beliau menulis kitabnya yang sangat terkenal, Tahzib Al Asma' Wa Al Lughah.

         Karya beliau tersebar luas ke seluruh pelosok dunia Islam. Salah sebuah kitab beliau yang sangat mahsyur ialah Riyad Al Solihin (Taman orang-orang Soleh) yang diajar hampir di seluruh masjid dan surau di Nusantara, malah di seluruh dunia.

        Para Ulama' berpendapat bahawa penerimaan kitab-kitab tulisan seorang Ulama' secara meluas oleh Umat Islam di seluruh dunia menjadi petanda bahawa penulisannya ikhlas dalam menghasilkan kitab tersebut. Beliau tidak memandang kepentingan duniawi, seperti ganjaran, nama dan sebarang manfaat berbentuk material, kecualiuntuk menharapkan keredaan Allah S.W.T semata-mata.

Antara karya ilmiah Imam Nawawi adalah:

Bidang Hadith:

  • Arba'in, Riyadhus Solihin.
  • Al-Manhaj (Syarah Shahih Muslim)
  • Al-Taqrib wat Tasyir fi Ma'rifat Sunan Al-Basyirin Nadzir
Bidang Fiqh:
  • Minhajuth Thalibin
  • Raudhatuth Thalibin
  • Al Majmuk

Bidang Bahasa:
  • Tahdzibul Asma' Wal Lughah
Bidang Akhlak:
  • Al-Tibyan fi Adab Hamalatil Quran
  • Bustanul Arifin
  • Al Adzkar
       Kitab-kitab diatas terkenal secara meluas termasuk oleh orang awam dan memberikan manfaat yang besar sekali untuk Umat Islam.

         Ini semua tidak lain kerana taufik daripada Allah, kemudian keikhlasan dan kesungguhan beliau dalam berjuang. Secara umum, beliau berpegang teguh kepada Manhaj Ahli Sunnah, tidak terjerumus dalam filsafat dan berusaha meneladani generasi awal umat dan menulis bantahan kepada Ahli Bidaah yang menyelisihi mereka.

         Imam Nawawi juga seorang yang tegas dalam menegakkan amar makruf nahi mungkar, temasuk kepada para penguasa dengan cara yang telah digariskan dalam Islam. Beliau sering menulis surat berisi nasihat untuk pemerintah dengan bahasa yang puitis sekali.

         Antara kisah menarik beliau dengan penguasa besar ketika itu ialah apabila dipanggil oleh Raja Al Zhahir Bebris untuk menandatangani sebuah fatwa. Datanglah beliau yang bertubuh kurus dan berpakaian sangat sederhana. Raja pun meremehkannya dan bekata "Tandatanganilah fatwa ini!" Beliau membacanya dan menolak untuk membubuhkan tandatangan. Raja murka dan berkata, "Kenapa?" Beliau menjawab, "Kerana ia berisi kezaliman yang nyata." Raja semakin marah dan berkata, "Pecat dia daripada kesemua jabatannya!" Para pembantu raja berkata, "Dia tidak punya apa-apa jabatan sama sekali." Raja ingin membunuhnya tapi Allah telah dahulu menghalanginya. Raja ditanya, "Kenapa tidak Tuanku bunuh dia padahal dia sudah bersikap sedemkian dengan Tuanku?" Raja pun menjawab, "Demi Allah, aku sangat segan padanya."

       Kezuhudan, kewarakan dan ketakwaan beliau tidak dapat disangkal lagi. Besarnya sumbangan beliau buat Umat Islam sezaman dengannya hingga ke hari ini. Semoga beliau ditempatkan bersama dengan orang-orang soleh di akhirat kelak. Beliau bukanlah Insan yang maksum sehingga tidak terlepas dari kesalahan. InsyaAllah setiap Insan ada kelemahan semoga Allah ampuni segala dosa-dosanya.

        Imam Nawawi meninggal dunia pada 24 Rejab 676H ketika berusia 48tahun dan tidak pernah berkahwin.

          InsyaAllah tujuan saya menulis serba sedikit tentang Imam Nawawi ialah oleh kerana saya berniat untuk membuat kuliah maya (menulis entry ilmiah) seminggu sekali dengan menggunakan kitab karya beliau iaitu Hadith 40 selepas ini. Doakan saya agar mampu untuk istiqamah. Semoga Allah permudahkan urusan.

          Walaupun nama kitab beliau ialah Hadith 40. Tetapi hadith yang terkandung didalam kitab tersebut adalah 42 buah hadith kesemuanya. Hal ini kerana sudah menjadi tradisi orang arab untuk menggenapkan bilangan kepada angka puluh, ratus dan sebagainya yang terhampir terlebih atau terkurang hingga bilangan 42 menjadi 40.

            42 hadith yang terkandung dalam kitab Hadith 40 karya Imam Nawawi meliputi pelbagai bab atau tajuk seperti akidah, fiqh, muamalah, akhlak dan sebagainya. Saya akan berusaha untuk buat penghuraian dengan intisari yang padat serta ringkas. 

           InsyaAllah semoga selepas ini kita meletakkan niat bersama untuk membaca, menghayati, menghafal dan beramal dengan penuh iltizam kesemua 42 hadith yang terkandung dalam kitab Hadith 40 karya Imam Nawawi.

Wallahu Waliyyut Taufiq


1 comment:

Muhammad Adam bin Roslan said...

alhamdulillah, terima kasih wahai saudara